Jumaat, Julai 02, 2010

Saat Mereka Tidur

Tidur adalah saat untuk manusia merehatkan badan dan melupakan segalakisah keperitan dan kepayahan hidup pada siang hari. Pada ketika tidur jugalah segala kepura-puraan dan sandiwara hidup ditinggalkan. Namun begitu kelenaan tidur pastinya berbeza bagi setiap insan. Ada insan yang tidurnya tidak lena diganggu oleh masalah hidup pada siang hari. Ada insan yang saban malam tidurnya dibayangi igauan rona-rona hidup. Ramai yang tidak lena beradunya kerana pada saat insan lain lena tidur, dia dihantui oleh kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan pada siang hari. Emosi kita biasanya tersentuh apabila memerhatikan insan lain terutama orang yang yang kita sayangi atau rapat dengan kita sedang tidur.

Lihatlah orang-orang yang rapat dengan kita sewaktu mereka tidur pada lewat malam. Tataplah wajah ayah dan ibu kita ketika mereka tidur? Apakah perasan kita terutama jika pada siang harinya kita telah berbuat salah kepada mereka? Bayangkan jika pada siang harinya kita baru sahaja melawan cakap mereka atau lebih teruk lagi menengking mereka. Begitu juga apakah perasaan siayah ketika menatap anak kecilnya yang sedang tidur, jika pada siang harinya anak itu telah dipukul sehingga dalam tidurnya merengek kesakitan?

Apakah pula perasaan sewaktu melihat pasangan kita nyenyak tidur sedangkan pada siang harinya kita baru bertengkar dan menengkingnya. Bagi sang suami cuba ingat kembali detik ketika isteri bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kita.

Rasailah perasaan yang bermain dalam sanubari kita apabila menatap wajah orang yang kita sayangi saat mereka tidur.

Saat Mereka Tidur


Jumaat, Jun 11, 2010

Ahad, Mei 02, 2010

) Apakah mahar perkahwinan Ali dengan Fatimah?

Daripada Ibn Abbas r.a katanya: Ketika Ali mengahwini Fatimah, Rasulullah SAW bertanya kepada beliau: “Berikanlah (sebagai mahar) sesuatu kepadanya (Fatimah).” Beliau menjawab: “Aku tidak memiliki apa-apa.” Kata baginda SAW: “Di mana perisaimu yang berat itu?”

Hadith riwayat Abu Daud, an-Nasai’e dan Ibn Hibban dalam Sahihnya.

Berdasarkan hadith ini, ternyata mahar yang diberikan oleh Ali Bin Abi Talib kepada Fatimah puteri Nabi SAW ialah sebuah perisai yang berat. Rasullullah SAW sendiri yang meminta mahar sebegitu, selepas Ali tidak memiliki apa-apa. Dakwaan menyatakan maharnya dibayar dengan dinar adalah dakwaan yang tidak tepat.

Sebahagian riwayat menyatakan bahawa perisai itu kemudiannya dijual, sebagaimana riwayat Ibn Sa’ad, Abu Ya’la dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi daripada seorang tabi’ien bernama ‘Ilba’ Bin Ahmar.

2) Berapa harga perisai itu?

Ibn Ishaq, ad-Dhiya’, al-Baihaqi dan lain-lain menceritakan kisah perkahwinan tersebut daripada Ali r.a bahawa harga perisai itu adalah 400 dirham. At-Tabrani pula meriwayatkan dalam al-Awsat dengan isnad yang hasan bahawa harganya ialah 480 dirham.

Umar Bin al-Khattab r.a pernah berkhutbah, katanya: “Ketahuilah! Janganlah kamu melampau-lampau dalam memberi mahar wanita, kerana sesungguhnya jikalau ia merupakan penghormatan di dunia ataupun ketaqwaan di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW adalah yang paling utama melakukannya (beri mahar yang melampau mahalnya). Baginda SAW tidak pernah memberi mahar kepada sesiapapun daripada isteri-isterinya dan tiada seorangpun dari kalangan puteri-puterinya yang diberi mahar lebih daripada 12 uqayyah.”Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban. Ia disahihkan oleh at-Tirmizi dan al-Hakim.

1 Uqayyah = 40 Dirham 12 Uqayyah = 480 Dirham

Oleh itu, nilai mahar Ali r.a kepada Fatimah r.a ialah sekitar 400-480 dirham. Ianya bukan dibayar dengan dinar seperti yang didakwa.

3) Apa hukum memberi mahar sebanyak itu?

Di kalangan ulama yang menggemari pemberian mahar sebanyak 480 Dirham ialah Ahmad dan Ibn Taymiyyah. Ia lebih dekat dengan jejak sunnah rasulullah SAW.

Oleh itu jika harga 1 dirham hari ini ialah sekitar RM 10.00 – RM 15.00, maka mahar yang mungkin wajar mengikut nilaian hari ini ialah kira-kira sekitar RM 4,800.00 – RM 7,200.00. Walau bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya dirham yang sebenar (fizikal) digunakan dalam urusan mahar ini. Itulah yang saya cadangkan kepada adik-adik saya yang masih belum bernikah.

Berdasarkan hasil kajian di atas, ternyata dakwaan untuk point yang pertama adalah tidak tepat. Point kedua dan seterusnya belum sempat utk dikaji. Tetapi sepatutnya pihak yang membuat dakwaan perlulah menyokong dakwaan tersebut dari mana sumber asalnya kerana ianya telah dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Apabila bercakap atau mendakwa sesuatu dari sunnah Rasulullah SAW, ianya BUKANLAH sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang hal ini dalam sebuah hadith yang mutawatir, maksudnya, "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

JAUHI SIKAP GHULU

Perbahasan sama ada dinar emas sepatutnya berketulenan 999 atau 916 bolehlah dilakukan sekiranya ianya membabitkan hanya buku-buku sejarah dan manuskrip-manuskrip lama. Tetapi apabila ianya melibatkan nama Rasulullah SAW, ia perlu disokong dengan bukti dan sumber yang sahih. Janganlah atas semangat untuk menegakkan keadilan ekonomi dan muamalat menyebabkan kita menyanggahi batas-batas yang telah ditetapkan syara'. Itu ghulu (melampau) namanya, dan Rasulullah SAW melarang kita bersikap sedemikian.

http://3.bp.blogspot.com/_bN2AVmNoVPo/S4i3Cxy9VbI/AAAAAAAAB3o/niry21byuZ8/s320/jumrah-aqabah-th-1920.jpg
Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: "Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. "(Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Lihatlah, dalam perkara yang mungkin nampak kecil (batu) itu pun, Rasulullah SAW melarang kita dari bersikap ghulu. Inikan pula satu dakwaan yang lebih besar dari itu. Justeru, berhati-hatilah. Tujuan yang murni tidak mengharuskan tindakan kita untuk berbuat sesuatu yang ghulu.

JANGAN JAJA AGAMA UNTUK YAKINKAN ORANG LAIN

Saya tidak hairan sekiranya golongan bukan Muslim menggunakan pelbagai dakwaan atas nama agama bagi melariskan produk mereka. Hal ini bukan sesuatu yang baru. Jadi tidak hairan sebahagian pengusaha BUKAN Muslim sanggup menggunapakai kata-kata para ulama', menggunakan para ustaz, mengupah ejen dikalangan kaum Muslimin, dan pelbagai taktik lain lagi kerana mereka sedar disitulah lubuk "emas". Ya, kaum Muslimin lah pengguna dan pembeli terbesar produk-produk mereka. Sehinggakan ada yang sanggup memfitnah saudara Muslimnya yang lain kerana memperjuangkan Tuannya yang BUKAN Muslim, atau mungkin memperjuangkan rezeki yang diperolehi melalui Tuannya yang BUKAN Muslim. Entahlah! Yang pastinya, pengusaha BUKAN Muslim itu sendiri pun kemungkinan tidak langsung mempercayai kata-kata ulama' yang digunapakai itu, tetapi disebabkan ianya boleh digunakan sebagai "marketing strategy" dan boleh menarik lebih ramai ustaz-ustaz untuk menjadi ejen jualan mereka, so why not?

Bagi kaum Muslimin pula, janganlah kita bertindak seperti itu. Menggunakan nama agama dan mendakwa sesuatu atas nama Rasulullah SAW sedangkan ianya tidak benar adalah sesuatu yang keji. Satu masa dahulu ada syarikat yang menjual sandal dan menyatakan ianya adalah sandal yang digunapakai oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Apabila diminta untuk memberikan dalil berkenaan hal tersebut, ianya gagal dikemukakan. Tidak salah menjual sandal, tetapi mensabitkan ianya atas nama Rasulullah SAW adalah satu jenayah yang besar di dalam Islam.

Rabu, Mac 24, 2010

Hang Tuah Munshi Gagal SPM

video

Saat mendebarkan telah pun berlalu. Keputusan SPM sudah diumumkan. Pelbagai reaksi diberi. Mereka yang berjaya melonjak gembira manakala yang gagal merintih kecewa. Bagi pendidik yang anak didiknya cemerlang menghela seribu kelegaan, lafaz kesyukuran kepada Pencipta Yang Penyayang. Kepada pendidik yang gagal mencipta kejayaan seribu rasa bisa menyelinap dalam sanubari hati yang penuh kekecewaan.

Segala usaha dan pahit jerih yang dikorbankan secara sendirinya ternafi. Keikhlasan pengorbanan tertimbus oleh kecundangan. Kemalasan, kurang keikhlasan, kemiskinan iltizam dan kereputan komitmen didendangkan sebagai penyebab kegagalan. Hanya diri sendiri dan sesama kami yang mengerti kesungguhan perjuangan kami di sini . Mungkin tiada siapa yang sudi memahami dan mengakuri pengorbanan kami.

Usahlah bertegang urat, berhujah debat mempertahankan hak. Kerana kita ibarat berseru di tengah padang. Kita tidak mampu membela diri kerana kita umpama kancah ditawar. Usaha dan pengorbanan kita selama ini umpama menanti orang dulu, mengejar orang kemudian. Dalam banyak situasi dan ketika kita seperti pikat kehilangan mata dan lebih mengharukan lagi kita seperti mayat ditegakkan

Walau apa pun usah bersedih dan meratap kecewa. Teruskan keikhlasan perjuangan kita. Semoga akan tiba nanti sinar kejayaan untuk kita.

Sabtu, Mac 13, 2010

Sentuhlah hati mereka dahulu...

Dalam hidup ini walau siapa pun kita, pastinya kita mendepani pelbagai masalah, cabaran, konflik dan sebagainya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita perlu menyelesaikan semua cabaran ini terutama yang melibatkan manusia. Dalam keghairahan mencapai hasrat dan hajat, kita jangan melupakan belas ihsan dan kemanusiaan kerana kita menangani isu yang melibatkan manusia. Justeru itu kita perlu bijak menggunakan kuasa pengaruh untuk memenangi hati dan perasaan insan lain. Ugutan, kekerasan dan ancaman bukanlah satu-satunya senjata untuk tujuan mencapai matlamat yang murni.

Kuasa pengaruh merupakan satu wahana yang wajar digunakan untuk menguruskan manusia. Kuasa pengaruh dapat mengubah insan mengikut keperluan dan kehendak organisasi. Dalam sejarah negara kuasa pengaruh digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menumpaskan ancaman komunis pada era Darurat. Hati dan fikiran rakyat agenda utama untuk dimenangi selain kaedah kekerasan dan kuat kuasa undang-undang.

Dalam perjuangan nabi Muhammad saw menyebarkan kesyumulan Islam dan seterusnya menguruskan negara Islam, kaedah kelembutan dan sentuhan hati digunakan. Kesannya kedegilan golongan kafir Quraisy dapat dilembutkan. Gunakanlah kuasa pengaruh dengan menyentuh hati hati mereka dan seterusya memenangi hati mereka.

Allah juga memerintahkan dua orang nabi iaitu Musa bin Imran dan Harun bin Imran supaya mendepani Firaun yang zalim dengan kata-kata yang lemah lembut. Ini direkodkan dalam Surah Taha ayat 44, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut". Jika Firaun yang maha zalim, perlu ditarbiah dengan kata-kata yang lembut, siapakah lagi yang lebih zalim atau sezalim dengan Firaun untuk ditengking atau dijerkah?

Seorang ibu dan bapa perlu menyentuh hati anak masing-masing dalam proses mendidik mereka. Guru mempunyai pengaruh ke atas anak muridnya. Ketua organisasi berpengaruh ke atas orang bawahannya. Imam mempunyai pengaruh terhadap jemaahnya sehingga mereka yakin dan sedia menurutnya dalam solat. Begitu juga individu-individu yang lain terutama pemimpin-pemimpin besar mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas pengikutnya.

Sentuhlah hati mereka dahulu, sentuhlah soft spot mereka sebelum mencapai dan menggenggam tangan mereka. Jika kelembutan dapat memenangi hati dan sokongan mereka mengapa perlu jerkahan, ugutan dan ancaman? Sentuhlah hati mereka dahulu sebelum mencapai tangan mereka....

Isnin, Mac 08, 2010

Cerminan Diri

Ketika ada kesempatan waktu untuk memuhasabah diri, mulalah memikirkan apakah kebaikan yang telah dilakukan dan apa pula keburukan yang sering menjadi amalan hidup ini. Terlalu banyak sifat-sifat amarah atau buruk yang diamalkan. Lebih menyedihkan lagi keburukan ini merangkumi apa yang disebut sebagai 'al-Kabair' ( Dosa-dosa Besar).


Rasa sombong dan besar diri sering muncul dan terjelma dalam perlakuan hidup sehari-hari. Bila mendapat pangkat dan kuasa mula berlaku 'seperti gajah masuk kampung' dan ada kalanya 'seperti merak mengigal di hutan'. Kita mula menunjukkan kepandaian dan kekuasaan kepada orang lain, sehingga seolah-olah kita ini sempurna sepanjang perkhidmatan, kehidupan dan apa sahaja yang kita lalui.

Kita kadang kala lupa bahawa beradanya kita di kedudukan sekarang mungkin atas ketentuan nasib atau atas bantuan dan simpati orang lain. Lebih sedih lagi kita mungkin berada di atas kerana kita amat mengharapkannya dan kerana kita yang meminta-minta. Kita' berusaha' menonjolkan diri untuk mendapatkan sesuatu walau pun mungkin ada orang lain yang lebih wajar. Kita mungkin berada di sini atas sebab ketuaan kita.

Jika direnung mungkin ada orang lain yang lebih berwibawa daripada kita tetapi oleh kerana ketuaan atau senioriti maka kita diangkat. Mungkin juga kita diangkat kerana telah tiba masanya, walau pun catatan sejarah kita tidak secemerlang mana. Justeru itu setelah berada di atas kita kena merenung sejarah kita. Janganlah kerana ghairah berjawatan kita lupa sejarah kekurangan dan kelemahan kita. Kita bertindak seolah-olah kita insan terbilang sejak dilahirkan, sedangkan antara kita dengan mereka mungkin tiada bezanya. Malah mungkin mereka lebih baik daripada kita. Janganlah kita bersikap umpama 'pot calling the cattle black'. Cermin-cerminlah diri kita.

Khamis, Mac 04, 2010

Kasihan Ibuku...

Lama tidak menjenguk ibu di kampung. Mungkin dekat pada ukuran jarak tetapi ada ketikanya amat sukar untuk menjenguk ibu. Secara emosi, 'berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati' tetapi ada sahaja kesibukan yang menjadi aral menghalang aku untuk kerap menjenguk ibu. Minggu lalu aku pulang menjenguk apabila menerima berita ibu diragut di dalam rumahnya sendiri. Aku bergegas pulang.

Pipi ibu lebam dan ada giginya yang tertanggal akibat tekapan kuat tangan dua lelaki ke mulutnya. Mujur ibu tidak terkejut teruk, jika tidak ini memberi kesan kepada masalah jantungnya. Ibu meluahkan rasa terkejut dan sedihnya. Aku memujuk ibu agar bersabar dan bersyukur kerana tidak mengalami perkara yang lebih buruk. Kasihan ibu...

Petang itu aku dan ibu bersembang sambil duduk di hujung dapur menghalakan pandangan kami ke kebun di belakang rumah. Ibu yang semakin pendiam rupa-rupanya banyak bernostalgia. Ketika kami bercerita tentang kisah lalu, ibu bercerita tentang reban ayam lama yang tidak lagi berpenghuni. Kata ibu, dahulu ketika abah ada, abah selalu memberi makan ayamnya. Setiap kali abah menyembelih ayam kampung untuk dibuat juadah, beliau akan menangkap tiga ekor ayam. Seekor untuk hidangan di rumah dan dua ekor untuk kakak-kakakku. Ibu begitu bernostalgik menceritakan kenangannya itu. Rupa-rupanya setelah hampir sepuluh tahun pemergian teman hidupnya, ibu masih membugar ingatannya kepada abah. Mungkin selama ini ibu bersendirian mengingati abah. Kasihan ibu.

Ibu terus bercerita pilu membawa kenangan kami kepada arwah adikku yang pergi menuruti abah lima tahun kemudiannya. Adik perempuanku ini merupakan anak bongsu dan sememangnya kesayangan ibu. Pemergiannya yang tragis memberi trauma kepada ibu hingga kini. Melihat wajah dan kerenah anak bongsu siarwah kerap kali mengingatkan ibu kepada adikku. Pada saat sebegitu ibu akan bermonolog dan beremosi. Kasihan ibu...

Sesungguhnya aku kerap rasa bersalah apabila tidak menjenguk ibu. Aku sering bimbangkan kesihatan ibu, bimbang emosinya yang ku lihat sering terganggu dengan kenangan pilu masa lalu. Tidak siapa dizinkannya menyelam seribu rasa dalam benak fikiran dan sanubarinya. Kami tidak berupaya menyelaminya apabila melihat air matanya setiap kali kami mula berbicara. Ibu menanggungnya bersendirian. Aku sukar membayangkan jika kehilangan ibu apabila tiba qadar tentuan Illahi nanti. Kasihan ibu...

Selasa, Mac 02, 2010

Sukarnya Memerah Otak...



Semakin meningkat usia semakin sukar mengingati sesuatu. Kerap kali kita merasakan yang kita tahu segala-galanya. Kita malas untuk menambah ilmu. Kita malas untuk membaca, malas menghadiri majlis ilmu atau muzakarah yang banyak disusun dan dilaksanakan di masjid-masjid atau surau. Pada hal dalam majlis ini kita hanya perlu mendengar dan mencatat dalam buku kecil. Kita mendapat ilmu yang amat berguna tanpa perlu meletihkan mata untuk membaca.

Pada suatu subuh guruku pernah melontarkan ungkapan bahawa "... sukarnya untuk memerah otak dan lebih mudah memerah santan kelapa...." Katanya lagi "... semakin tua usia kita semakin jauh dunia kita tinggalkan meski pun kita belum meninggal dunia".

Apabila direnung, sah kebenaran kata-kata ini. Semakin kita tua banyak perkara tidak lagi dapat kita lakukan atau dengan kata lain terpaksa ditinggalkan. Umpamanya makanan dan minuman telah banyak yang kita elakkan. Kita tidak lagi mampu menjalani hidup yang penuh dengan kelasakan fizikal atau yang menuntut ketahanan stamina. Semakin banyak 'pantang larang' yang terpaksa dibuat untuk meneruskan kesejahteraan hidup. Justeru itu walaupun kita belum meninggal dunia, namun semakin banyak perkara di dunia telah kita tinggalkan.

Kelanjutan usia juga membuatkan kita semakin sukar mengingati banyak perkara. Ada ramai yang sukar mengingati nama anak apatah lagi cucunya. Mungkin lebih sukar mengingati nama-nama rasul dan pelbagai hukum hakam termasuk rukun sembahyang, sunat ab'ad dan sunat haiat. Berkerut dahi dan mata memerah otak untuk mengingati sesuatu apabila diperlukan atau dipersoalkan. Inilah mungkin sebab diungkapkan lebih mudah memerah santan kelapa berbanding memerah otak.

Rabu, Februari 03, 2010

Antara Dua Dunia: Bersyukurkah Anak-Anak Kita?



" PULITZER PRIZE " winning photo taken in 1994 during the Sudan famine.The picture depicts a famine stricken child crawling towards an United Nations food camp, located a kilometer away.The vulture is waiting for the child to die so that it can eat it. This picture shocked the whole world. No one knows what happened to the child, including the photographer Kevin Carter who left the place as soon as the photograph was taken.Three months later he committed suicide due to depression.




Dua dunia berbeza. Kehidupan yang berbeza antara di Malaysia dan Sudan. Malah banyak lagi negara di Afrika. Kanak-kanak di sana hidup serba kekurangan terutama makanan dan bekalan air bersih. Kebuluran menjanjikan kematian pada bila-bila masa. Manusia sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya haiwan mungkin lebih mudah mendapatkan habuan untuk dimakan berbanding kanak-kanak yang melata. Tidak tergamak menyaksikan fizikal kanak-kanak yang menderita. Untuk sekadar mengenyangkan perut terlalu mahal nilainya buat mereka. Makanan bergizi dan enak rasa merupakan suatu ilusi buat mereka.

Bagaimana dengan anak kita. Pilihan makanan tidak terkata, kekerapan makan tidak terkira, pembaziran sudah malas hendak diucap kata. Bersyukurkah mereka?




Ahad, Januari 17, 2010

ADAB BERDEBAT DAN BERDIALOG

ADAB BERDEBAT DAN DIALOG


Debat dan dialog adalah diskusi antara dua orang atau lebih untuk menyelesaikan permasalahan atau perselisihan yang timbul. Pada umumnya semua perlakuan dan acara dalam hidup ini perlu mempunyai etika untuk dipegang sebagai perkara dasar dalam gerakan kita. Selari dengan itu etika untuk berdebat dan berdialog perlu diketahui dan dipatuhi supaya tidak terjadi perselisihan dalam menyelesaikan masalah yang ada. Etika ini perlu kita hormati agar kita dapat menghormati orang yang kita lawan bicara dan khalayak ramai yang ada. Tidak kurang pentingnya kita perlu mematuhi etika ini agar orang lain akan menghormati kita sebagai insan yang profesional, sabar dan rasional.

LURUSKAN NIAT; MENCARI KEREDHAAN ALLAH DAN MEMBELA KEBENARAN.

Inilah adab pertama yang mesti dipegang dalam diskusi dan dialog yang kita lakukan kerana mencari redha Allah dan mendapatkan kebenaran. Perdebatan bukan untuk mencari kemenangan atau ingin dipuji oleh manusia. Hendaklah kita patri dalam lubuk hati bahawa perdebatan atau dialog adalah menyampaikan kebenaran kepada lawan bicara kita dan khalayak yang ada. Mencari dan membela kebenaran serta membasmi segala kebathilan.

JUJUR DAN JAUHI KEDUSTAAN
Jujur adalah akhlak yang mulia. Hujah yang kita lontarkan mestilah benar-benar nyata dan ada kesahihannya. Apabila kedua belah pihak yang berdialog berpegang dengan landasan yang kuat, maka dialognya akan lebih membuahkan hasil yang diharapkan. Sebaliknya apabila kita berdialog tanpa fakta dan ilmu, tidak menguasai isu pokok yang diperselisihkan, bukan mustahil kebenaran akan dikalahkan oleh kebatilan, karena lemahnya orang yang menyampaikan kebenaran tersebut.

BERDEBAT PADA PERMASALAN YANG BERMANFAAT
Hendaklah debat yang kita lakukan pada permasalahan yang penting dan mendesak, bukan pada masalah yang tidak bermanfaat. Sebagai contoh berdebat tentang apakah yang lebih dahulu diciptakan, telur atau ayam? Semua ini harus ditinggalkan karena tidak membawa manfaat.

MENAHAN DIRI DARI BEREMOSI
Perkara ini sering diabaikan oleh orang yang berdialog. Bahkan pada umumnya kedua belah pihak saling beremosi, baik yang membawa panji kebenaran mahupun pihak yang satu lagi. Yang benar, hendaklah menampakkan nada kelembutan dalam berdebat. Menggunakan kalimat yang baik sepanjang debat. Seperti memanggil lawan bicara dengan panggilan yang sopan.

TAMPAKKAN RASA CINTA DAN PERSAUDARAAN SEBELUM, KETIKA DAN SETELAH BERDEBAT.LEMBUT DAN SABAR DALAM DIALOG
Hal ini perlu diperhatikan. Hendaklah kedua pihak yang berdebat saling berlaku lembut dan sabar dalam berdialog. Tidak tergesa-gesa dalam menyanggah, hingga menjawab tanpa akal dan beremosi belaka. Perlu sedia mendengar pandangan dan luahan bicara orang yang kita lawan bicara. Sedia mendengar hujah lawan bicara atau dialog dengan sabar dan tenang. Jauhi meninggi dan melantangkan suara. Akhiri debat dengan kemesraan dan semangat persaudaran

KEMBALI KEPADA KEBENARAN.AKHIRI DEBAT APABILA LAWAN BICARA TERUS BERKERAS.
Mengalah dan berundurlah dari arena debat apabila lawan bicara terus berkeras kepala. Berundur bukan bererti kalah. Jika berlanjutan debat yang sebegini akan membawa permusuhan, rasa benci, marah, emosi yang tidak terkendali. Hingga tujuan asal debat atau dialog akan menyempang dan tidak tercapai. Disinilah perlunya pandangan yang tajam dalam menilai lawan bicara. Apabila kita teruskan debat tidak ada manfaatnya, segara tamatkan pembicaraan dan beri nasihat tentang tujuan asal dialog.

Inilah adab berdialog yang harus diketahui sebelum seseorang mencari kebenaran melalui jalan perdebatan atau dialog.

Khamis, Januari 14, 2010

Pemimpin Sejati

Ramai pemimpin dan negarawan mengaku berjuang dan berkorban untuk negara dan umatnya. Namun benarkah mereka begitu ketulusan hatinya? Mereka mungkin secara lahiriah ketika memimpin begitu bersemangat dan patriotik sifatnya. Rakyat menyanjung dan memujanya atau mungkin takutkannya. Ada detiknya kejujuran dan ketulusan ini pasti menjelma. Saat kematian kerap menjadi saksi keikhlasan dan ketulusan perjuangan.

Sejarah mencatatkan kehebatan Napoleon Bonaparte. Pahlawan terkenal, singa Peranchis gelaran disebar. Tiada ketakutan ketika memimpin soldadu di medan perang. Bendera Peranchis keagungannya, negara dan bangsa Peranchis kecintaannya. namun akhirnya ditangkap, tersingkir ke Pulau Elba yang kecil dan terpencil.Pengakhiran hayatnya bukan negara, atau bangsanya, jauh sekali rakyatnya menjadi ingatan tetapi nama Josephine kekasihnya diulang-ulang jadi sebutan.

Begitu juga, Adolf Hitler Fuhrer menjadi kegerunan. Tenungan matanya yang tajam petanda darah pasti mengalir. Tundingan telunjuknya bererti ratusan ribu manusia akan menjadi korban gas beracunnya. Teriakan mulutnya bererti ledakan ratusan bom penghancur dan pembawa kehuru-haraan. Kesombongan Hitler sering menobatkan kemuliaan bangsanya kaum Aria. Mendabik dada sebagai penentu maut dan malapetaka. Namun apabila ditewaskan menjadi kerdil bersembunyi di sebuah gua di kota Berlin. Membunuh diri sendiri sehingga terlupa Swastika kebanggaannya. Jauh sekali menyebut negara dan bangsa yang konon dicintai. Eva Braun kekasih hatinya diucapkan sebelum menembak sendiri dirinya.

Berbeza dengan Muhammad, pemimpin besar, nabi dan kekasih Allah. Kehadirannya tidak diwarnai dengan kesombongan, kezaliman kebanggaan. Datangnya membawa rahmat ke sekelian alam. Saat kewafatannya bukan isteri tercinta atau anak kesayangan Fatimah atau cucu tersayang yang menjadi sebutan tetapi "Umatku! Umatku! Umatnya adalah keutamaan sebelum pemergiannya. Cinta kepada umatnya menjadi sebutan menjelang detik kewafatannya.

Inilah beza antara pemimpin sesama pemimpin. Inilah beza pemimpin yang penuh keimanan dengan pemimpin penuh kekufuran.

Mengapa Dikocak Air Yang Tenang?

Mengapakah dalam hidup ini kita sering menggugat suasana harmoni dan tenteram yang telah kita bina dan nikmati. Mengapakah kita sering meminta dan menuntut sesuatu yang boleh mengeruhkan keharmonian yang ada. Mengapakah kita mencalarkan kedamaian hidup beragama dengan meminta sesuatu yang mengguris hati dan perasaan orang lain. Mengapakah kita menyalakan rasa marah orang lain sehingga mencetuskan sesuatu yang tidak baik untuk kehidupan bersama. Mengapakah kita suka meniupkan api kemarahan dan kebencian yang tidak sepatutnya. Pentingkah apa yang dituntut itu berbanding dengan nilai sebuah keharmonian yang susah payah kita bina selama ini? Berbaloikah tuntutan itu ?

Mengapakah dikocak air yang tenang? Apakah kita jenis makhluk yang tidak sukakan ketenangan, keharmonian dan kedamaian? Sesuatu yang sememangnya baik mengapa perlu dikocak dan dikacau. Sistem sosial yang sudah berjalan lancar dan harmoni, mengapa perlu diganggu gugat? Umpama rumah tangga yang sedang harmoni, apakah perlu dikocak apatah lagi dibadaikan sehingga nantinya sukar untuk dikemudikan ke landasan yang betul. Apakah tiada kepuasan hidup, jika kita tidak membuat angkara atau musibah. Mengapakah kita perlu menjadi pengacau dan pengguris hati insan lain termasuk sahabat,jiran atau orang yang rapat dengan kita.

Tidak kira apa alasannya, tidak kira apa justifikasinya, tidak kira atas nama apa sekali pun, mengapa dikocak air yang tenang?