Isnin, Ogos 31, 2009

Salam Kemerdekaan

Terima kasih kepada para pejuang kemerdekaan dan pahlawan negara yang telah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara tercinta ini. Takziah dan Al-Fatihah untuk pejuang-pejuang yang terkorban dalam perjuangan mulia ini.

Semoga kita yang mewarisi kemerdekaan, kekayaan dan kemakmuran negara akan dapat mempertahan serta memajukannya.



Kita perlu memastikan negara ini terus merdeka dan berdaulat. Kemajuan dan kemakmurannya akan terus dapat diwarisi oleh anak cucu kita yang akan datang. Semoga mereka ini tidak mengemis di bumi sendiri yang melimpah ruah kekayaannya. Semoga mereka ini tidak melukut di tepi gantang. Jangan nantinya mereka ini menjadi itik di air mati kehausan dan ayam di kepuk mati kelaparan. Jangan nantinya ' isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita'.


Sabtu, Ogos 29, 2009

Renungan Kematian


"Praise to ALLAH the Almighty Creator of the Universe

Blessings and Peace on the Muhammad s.a.w,

his Family, and his Companions.''



Maksud hadis Nabi:

'' Perbanyakkanlah mengingat kematian, sebab yang demikian itu akan menghapuskan dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan dunia" ( Riwayat Ibn Abiddunya )

Maksud Firman Allah swt:

" Dari bumi (tanah) itulah kami menjadikan kamu dan daripadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain". ( Thaha: 55 )

Maksud Firman Allah:

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar". ( At Taubah 129 )
("Allah Almighty suffices me. There is no authority but Him. In Him alone I place my trust because He is the Rabb and commands supremacy over all the things in the universe").

Khamis, Ogos 27, 2009

AL-FATIHAH

AL-FATIHAH BUAT NORAZMAH ISMAIL ( 29.08.69 - 08.10.05). KEMBALI KE RAHMATULLAH ( 4 Ramadan 1426H / 08.10.05 ).


video


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Isnin, Ogos 24, 2009

Perpaduan:Bahasa Mandarin, Kiasu Dan Melayu

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah melalui rencananya 'Ancaman akhbar perkauman kepada perpaduan' dalam Mingguan Malaysia, Ahad 23 Ogos 2009, mendedahkan bahawa sejak dari dahulu, laporan akhbar-akhbar perkauman ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Beliau memetik pendapat A.F.Yasin (1986), yang mengatakan sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.
Dr. Mohd Ridhuan juga menulis kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap 'menyerang' orang Melayu dan Islam. Menurut beliau lagi, walaupun kadang kala akhbar Melayu juga menulis dan menyampaikan berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus terang. Bahasa akhbar Melayu dapat difahami oleh semua warga Malaysia termasuk mereka yang berada dalam sektor persuratkhabaran Cina.
Dr Mohd Ridhuan juga menegaskan, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Beliau mencadangkan diadakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum untuk mengelakkan prasangka. Jika tidak apa yang diberitakan tidak sampai langsung kepada orang Melayu.
Jika fenomena ini benar, jika begini keadaannya, ini tidak adil kepada masyarakat Melayu. Oleh kerana tidak memahami apa yang ditulis dan dilaporkan oleh akhbar bukan Melayu, maka orang Melayu tidak mampu menjawabnya. Jika apa yang ditulis tidak benar dan menjejaskan hak orang Melayu, orang Melayu juga tidak berupaya dan berpeluang membela diri kecuali ada pihak yang peka dan mahu menjawab bagi pihak orang Melayu. Keadaan ini merupakan suatu 'advantage' kepada bukan Melayu dan 'disadvantages' bagi kaum Melayu. Ini mungkin selari dengan apa yang disuarakan oleh Dr Mohd Ridhuan di mana akhbar perkauman suka memperbesar-besarkan (mensesasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku.
Apakah yang wajar kita orang Melayu lakukan untuk membela dan mempertahankan hak dan milik kita? Kita mesti mempunyai kemampuan untuk menjawab setiap tuntutan palsu dan dakwaan songsang yang dibuat oleh akhbar perkauman dan golongan ultra kiasu ini. Mereka ini sentiasa mencari keuntungan diri dan kelompok. Menurut Dr Ridhuan, sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menguntungkan dan menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.
Sebagai orang Melayu Islam, kita tidak diajar bersikap tamak haloba, jauh sekali memungkiri janji. Kita juga dilarang sama sekali bersikap tidak rasional dan kejam kepada makhluk, apatah lagi manusia. Dr Ridhuan Tee, seorang Cina Muslim mengakui orang Melayu Islam amat terpuji kerana mempunyai toleransi yang tinggi. Ini terbukti, apabila orang Melayu bertolak ansur dan membelakangkan kepentingan kaumnya untuk menjayakan Kontrak Sosial antara masyarakat majmuk. Ini tercatat dalam sejarah negara kita yang tercinta ini.
Orang Melayu perlu mendepani cabaran akhbar perkauman ini dengan bijaksana dan bukannya bersenjatakan api perkauman. Kita perlu menjawab tuduhan, dakwaan dan tuntutan yang tidak wajar ini. Justeru itu kita perlu menguasai bahasa Mandarin agar kita boleh menjawab isu-isu perkauman oleh akhbar perkauman ini jika ianya benar-benar wujud. Kita tidak boleh berharap akhbar-akhbar ini membuat terjemahan isi kandungan akhbar mereka ke bahasa Melayu. Bersediakah mereka melakukannya atau jujurkah mereka menterjemahkannya? Demi maruah Melayu dan survival Melayu, orang Melayu perlu menguasai bahasa Mandarin. Dengan ini kita tidak akan di'buli' dan diperkotak-katikkan oleh orang-orang yang ultra kiasu serta tidak jujur dalam pembinaan perpaduan kaum dalam negara kita.
video
Anak-anak Melayu perlu menguasai bahasa Mandarin. Jika tidak akhbar perkauman ini akan terus berkuasa mendendangkan perjuangan tidak wajar mereka dengan berselindung di sebalik bahasa Mandarin. Usaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan dengan mengajar bahasa Mandarin untuk murid-muridnya adalah suatu langkah yang bijak. Tapi sejauhmana implimentasinya. Alternatif lain, Apa salahnya jika anak-anak kita memenuhi sekolah-sekolah SJK untuk menambahkan ilmu demi survival Melayu pada masa depan. Ketinggian ilmu, ketajaman artikulasi dan kemantapan pena merupakan senjata ampuh untuk mendepani cabaran ini. Kita jangan mudah melatah dan hilang kewarasan apabila diserang dengan provokasi yang penuh manipulasi. Jika kita melatah dan hilang kewarasan bertindak, kita pula yang akan dilabel perkauman manakala golongan ini akan mengaut sokongan dan keuntungan.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadan Bertandang Lagi

Rasulullah saw mengajar sahabat berdoa: "Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan". Ramadan bulan yang memberi banyak keberkatan kepada hambaNya. Setiap yang memohon ampun akan diampuni, setiap yang meminta akan dipenuhi permintaannya, dan setiap yang bertaubat akan diterima taubatnya. Pada bulan Ramadan terdapat malam Al-Qadar yang lebih baik daripada seribu malam. Ramadan itu bulan sabar. Pahala sabar adalah syurga. Rezeki orang mukmin akan ditambah pada bulan ini. Terpulanglah kepada hambaNya untuk merebut kenikmatan dan kelebihan yang disediakan oleh Maha Pencipta.
Hari ini 1 Ramadan 1430H. Bersyukur kerana dapat menemui Ramadan pada kali ini, ramai insan lain yang tidak lagi diizinkan oleh Allah menikmati kemuliaan Ramadan. Mereka lebih dahulu dijemput oleh Rabbul Jalil.
Sesungguhnya tragedi sedih 1 Ramadan 1426H terpahat kekal dalam ingatan kami sekeluarga. Setiap kali menjelma subuh 1 Ramadan, ianya mengembalikan ingatan kami kepada tragedi tersebut. Selesai menunaikan solat subuh, berita sedih yang disampaikan amat merobek hati dan perasaan. Penderitaanmu amat memilukan kami. Menjadi igauan dan traumatik buat ibu tua yang kehilangan anak perempuan bongsunya dalam sekelip mata. Anak-anak yang ditinggalkan merintih pilu dan berasa kehilangan hingga kini. Saudara kandungmu memendam kesedihan dan kehilangan yang tersangat. Terasa berat ujian ini
Kami akur, janji kematian suatu yang pasti. Qada' dan Qadar diimani. Keampunan Ilahi kami pohoni. Semoga kau dalam keampunanNya. Semoga rohmu mendapat rahmat Ilahi. Semoga dihindari siksaan kubur. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solehah.
Ramadan Al-mubarak amat bermakna sekali. Semoga Ramadan kali ini dapat sempurna dilalui agar ketakwaan dapat dipertingkatkan untuk kebaikan diri. Al-fatihah...

Isnin, Ogos 03, 2009

Bulan Kemerdekaan:Mengimbau Semangat Rosli Dhobi



Rosli Dhoby merupakan tokoh utama yang menentang penyerahan Sarawak kepada British selepas kekalahan Jepun. Anak muda berusia 18 tahun ini berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British dan telah mati di tali gantung pada 2 Februari 1950.Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua Sarawak Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.


Anak muda Melanau yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang menentang tindakan Charles Vyner Brooke yang mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.Sarawak dikuasai oleh penjajah swasta British Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS.

Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan ketika Gabenor British itu melawat Sibu pada 3 Disember 1949.Pada pagi hari tersebut, Rosli telah menikam Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang. Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, kedua-duanya ditangkap oleh polis British.Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Pegawai British itu meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morsidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong, yang juga berketurunan Melanau, telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching. Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan.

Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac 1996, di Sibu dengan upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor.

Renungan buat kita semua terutama anak-anak muda:

1. Andainya, negara, bangsa dan agama menuntut perjuangan sebagaimana perjuangan Rosli Dhobi, adakah kita sanggup?

2. Mengapakah ramai anak muda sekarang tidak sanggup berkorban untuk kejayaan dan kemajuan diri sendiri demi kehidupan masa depan mereka. Perjuangan mereka pada hari ini hanyalah untuk diri sendiri seperti cemerlang dalam pelajaran dan menjadi insan yang berguna serta tidak menyusahkan ibu bapa. Itu pun mereka tidak ikhlas dan komited melaksanakannya. Bagaimanakah agaknya jika perjuangan itu menuntut pengorbanan keringat, darah dan air mata serta berkorban nyawa ( seperti Rosli Dhobi dan sahabat-sahabatnya) pastinya mereka akan cabut lari dan tidak berupaya menempuhnya.

3. Lebih malang lagi pada hari ini bukan anak-anak muda sahaja yang mengabaikan masa depan mereka, malah ada orang dewasa dan yang telah lanjut usianya masih berpeleseran dan membuang masa tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah. Mereka ini bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah mengheret sama keluarga mereka ke arah masa depan yang gelap. Bagi yang telah beristeri dan beranak, mereka ini menyiksa anak-anak dan isteri dengan perangai mereka serta mewariskan kemiskinan dan penderitaan hidup kepada anak-anak.

4. Adakah generasi masa kini termasuk yang telah dewasa kurang kematangannya berbanding dengan generasi muda pada zaman Rosli Dhobi dalam menghayati perjuangan. Generasi hari ini, berjuang untuk diri sendiri pun mereka tidak berupaya, apatah lagi berjuang untuk gagasan yang lebih besar dan mencabar seperti Rosli Dhobi. Jika Rosli Dhobi 'hidup kembali' mungkin beliau akan berasa sedih dan malu dengan sikap dan perlakuan anak muda bangsanya pada hari ini.
5. Rosli Dhobi dan ramai pejuang lain telah meninggal dunia dibunuh oleh penjajah. Bukan sejarah dan tragedi ini yang kita sedihkan terus-terusan. Rosli Dhobi dalam warkah terakhirnya juga tidak mahu keluarganya bersedih dan menyesali nasibnya. Kita sewajarnya berasa malu, sedih dan kesal kerana bukan sahaja tidak menghargai jasa mereka malah mempersia-siakan pengorbanan mereka. Jika begini sikap dan minda, apakah nasib bangsa kita pada masa hadapan?