Tidur adalah saat untuk manusia merehatkan badan dan melupakan segalakisah keperitan dan kepayahan hidup pada siang hari. Pada ketika tidur jugalah segala kepura-puraan dan sandiwara hidup ditinggalkan. Namun begitu kelenaan tidur pastinya berbeza bagi setiap insan. Ada insan yang tidurnya tidak lena diganggu oleh masalah hidup pada siang hari. Ada insan yang saban malam tidurnya dibayangi igauan rona-rona hidup. Ramai yang tidak lena beradunya kerana pada saat insan lain lena tidur, dia dihantui oleh kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan pada siang hari. Emosi kita biasanya tersentuh apabila memerhatikan insan lain terutama orang yang yang kita sayangi atau rapat dengan kita sedang tidur.
Lihatlah orang-orang yang rapat dengan kita sewaktu mereka tidur pada lewat malam. Tataplah wajah ayah dan ibu kita ketika mereka tidur? Apakah perasan kita terutama jika pada siang harinya kita telah berbuat salah kepada mereka? Bayangkan jika pada siang harinya kita baru sahaja melawan cakap mereka atau lebih teruk lagi menengking mereka. Begitu juga apakah perasaan siayah ketika menatap anak kecilnya yang sedang tidur, jika pada siang harinya anak itu telah dipukul sehingga dalam tidurnya merengek kesakitan?
Apakah pula perasaan sewaktu melihat pasangan kita nyenyak tidur sedangkan pada siang harinya kita baru bertengkar dan menengkingnya. Bagi sang suami cuba ingat kembali detik ketika isteri bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kita.
Rasailah perasaan yang bermain dalam sanubari kita apabila menatap wajah orang yang kita sayangi saat mereka tidur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan