Mengapakah dalam hidup ini kita sering menggugat suasana harmoni dan tenteram yang telah kita bina dan nikmati. Mengapakah kita sering meminta dan menuntut sesuatu yang boleh mengeruhkan keharmonian yang ada. Mengapakah kita mencalarkan kedamaian hidup beragama dengan meminta sesuatu yang mengguris hati dan perasaan orang lain. Mengapakah kita menyalakan rasa marah orang lain sehingga mencetuskan sesuatu yang tidak baik untuk kehidupan bersama. Mengapakah kita suka meniupkan api kemarahan dan kebencian yang tidak sepatutnya. Pentingkah apa yang dituntut itu berbanding dengan nilai sebuah keharmonian yang susah payah kita bina selama ini? Berbaloikah tuntutan itu ?
Mengapakah dikocak air yang tenang? Apakah kita jenis makhluk yang tidak sukakan ketenangan, keharmonian dan kedamaian? Sesuatu yang sememangnya baik mengapa perlu dikocak dan dikacau. Sistem sosial yang sudah berjalan lancar dan harmoni, mengapa perlu diganggu gugat? Umpama rumah tangga yang sedang harmoni, apakah perlu dikocak apatah lagi dibadaikan sehingga nantinya sukar untuk dikemudikan ke landasan yang betul. Apakah tiada kepuasan hidup, jika kita tidak membuat angkara atau musibah. Mengapakah kita perlu menjadi pengacau dan pengguris hati insan lain termasuk sahabat,jiran atau orang yang rapat dengan kita.
Tidak kira apa alasannya, tidak kira apa justifikasinya, tidak kira atas nama apa sekali pun, mengapa dikocak air yang tenang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan