) Apakah mahar perkahwinan Ali dengan Fatimah?
Berdasarkan hadith ini, ternyata mahar yang diberikan oleh Ali Bin Abi Talib kepada Fatimah puteri Nabi SAW ialah sebuah perisai yang berat. Rasullullah SAW sendiri yang meminta mahar sebegitu, selepas Ali tidak memiliki apa-apa. Dakwaan menyatakan maharnya dibayar dengan dinar adalah dakwaan yang tidak tepat.
Sebahagian riwayat menyatakan bahawa perisai itu kemudiannya dijual, sebagaimana riwayat Ibn Sa’ad, Abu Ya’la dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi daripada seorang tabi’ien bernama ‘Ilba’ Bin Ahmar.
2) Berapa harga perisai itu?
Ibn Ishaq, ad-Dhiya’, al-Baihaqi dan lain-lain menceritakan kisah perkahwinan tersebut daripada Ali r.a bahawa harga perisai itu adalah 400 dirham. At-Tabrani pula meriwayatkan dalam al-Awsat dengan isnad yang hasan bahawa harganya ialah 480 dirham.
Umar Bin al-Khattab r.a pernah berkhutbah, katanya: “Ketahuilah! Janganlah kamu melampau-lampau dalam memberi mahar wanita, kerana sesungguhnya jikalau ia merupakan penghormatan di dunia ataupun ketaqwaan di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW adalah yang paling utama melakukannya (beri mahar yang melampau mahalnya). Baginda SAW tidak pernah memberi mahar kepada sesiapapun daripada isteri-isterinya dan tiada seorangpun dari kalangan puteri-puterinya yang diberi mahar lebih daripada 12 uqayyah.”Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban. Ia disahihkan oleh at-Tirmizi dan al-Hakim.
1 Uqayyah = 40 Dirham 12 Uqayyah = 480 Dirham
Oleh itu, nilai mahar Ali r.a kepada Fatimah r.a ialah sekitar 400-480 dirham. Ianya bukan dibayar dengan dinar seperti yang didakwa.
3) Apa hukum memberi mahar sebanyak itu?
Di kalangan ulama yang menggemari pemberian mahar sebanyak 480 Dirham ialah Ahmad dan Ibn Taymiyyah. Ia lebih dekat dengan jejak sunnah rasulullah SAW.
Oleh itu jika harga 1 dirham hari ini ialah sekitar RM 10.00 – RM 15.00, maka mahar yang mungkin wajar mengikut nilaian hari ini ialah kira-kira sekitar RM 4,800.00 – RM 7,200.00. Walau bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya dirham yang sebenar (fizikal) digunakan dalam urusan mahar ini. Itulah yang saya cadangkan kepada adik-adik saya yang masih belum bernikah.
Berdasarkan hasil kajian di atas, ternyata dakwaan untuk point yang pertama adalah tidak tepat. Point kedua dan seterusnya belum sempat utk dikaji. Tetapi sepatutnya pihak yang membuat dakwaan perlulah menyokong dakwaan tersebut dari mana sumber asalnya kerana ianya telah dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Apabila bercakap atau mendakwa sesuatu dari sunnah Rasulullah SAW, ianya BUKANLAH sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang hal ini dalam sebuah hadith yang mutawatir, maksudnya, "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
JAUHI SIKAP GHULU
Perbahasan sama ada dinar emas sepatutnya berketulenan 999 atau 916 bolehlah dilakukan sekiranya ianya membabitkan hanya buku-buku sejarah dan manuskrip-manuskrip lama. Tetapi apabila ianya melibatkan nama Rasulullah SAW, ia perlu disokong dengan bukti dan sumber yang sahih. Janganlah atas semangat untuk menegakkan keadilan ekonomi dan muamalat menyebabkan kita menyanggahi batas-batas yang telah ditetapkan syara'. Itu ghulu (melampau) namanya, dan Rasulullah SAW melarang kita bersikap sedemikian.
Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: "Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. "(Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).
Lihatlah, dalam perkara yang mungkin nampak kecil (batu) itu pun, Rasulullah SAW melarang kita dari bersikap ghulu. Inikan pula satu dakwaan yang lebih besar dari itu. Justeru, berhati-hatilah. Tujuan yang murni tidak mengharuskan tindakan kita untuk berbuat sesuatu yang ghulu.
JANGAN JAJA AGAMA UNTUK YAKINKAN ORANG LAIN
Saya tidak hairan sekiranya golongan bukan Muslim menggunakan pelbagai dakwaan atas nama agama bagi melariskan produk mereka. Hal ini bukan sesuatu yang baru. Jadi tidak hairan sebahagian pengusaha BUKAN Muslim sanggup menggunapakai kata-kata para ulama', menggunakan para ustaz, mengupah ejen dikalangan kaum Muslimin, dan pelbagai taktik lain lagi kerana mereka sedar disitulah lubuk "emas". Ya, kaum Muslimin lah pengguna dan pembeli terbesar produk-produk mereka. Sehinggakan ada yang sanggup memfitnah saudara Muslimnya yang lain kerana memperjuangkan Tuannya yang BUKAN Muslim, atau mungkin memperjuangkan rezeki yang diperolehi melalui Tuannya yang BUKAN Muslim. Entahlah! Yang pastinya, pengusaha BUKAN Muslim itu sendiri pun kemungkinan tidak langsung mempercayai kata-kata ulama' yang digunapakai itu, tetapi disebabkan ianya boleh digunakan sebagai "marketing strategy" dan boleh menarik lebih ramai ustaz-ustaz untuk menjadi ejen jualan mereka, so why not?
Bagi kaum Muslimin pula, janganlah kita bertindak seperti itu. Menggunakan nama agama dan mendakwa sesuatu atas nama Rasulullah SAW sedangkan ianya tidak benar adalah sesuatu yang keji. Satu masa dahulu ada syarikat yang menjual sandal dan menyatakan ianya adalah sandal yang digunapakai oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Apabila diminta untuk memberikan dalil berkenaan hal tersebut, ianya gagal dikemukakan. Tidak salah menjual sandal, tetapi mensabitkan ianya atas nama Rasulullah SAW adalah satu jenayah yang besar di dalam Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan