Rabu, Mac 24, 2010

Hang Tuah Munshi Gagal SPM

video

Saat mendebarkan telah pun berlalu. Keputusan SPM sudah diumumkan. Pelbagai reaksi diberi. Mereka yang berjaya melonjak gembira manakala yang gagal merintih kecewa. Bagi pendidik yang anak didiknya cemerlang menghela seribu kelegaan, lafaz kesyukuran kepada Pencipta Yang Penyayang. Kepada pendidik yang gagal mencipta kejayaan seribu rasa bisa menyelinap dalam sanubari hati yang penuh kekecewaan.

Segala usaha dan pahit jerih yang dikorbankan secara sendirinya ternafi. Keikhlasan pengorbanan tertimbus oleh kecundangan. Kemalasan, kurang keikhlasan, kemiskinan iltizam dan kereputan komitmen didendangkan sebagai penyebab kegagalan. Hanya diri sendiri dan sesama kami yang mengerti kesungguhan perjuangan kami di sini . Mungkin tiada siapa yang sudi memahami dan mengakuri pengorbanan kami.

Usahlah bertegang urat, berhujah debat mempertahankan hak. Kerana kita ibarat berseru di tengah padang. Kita tidak mampu membela diri kerana kita umpama kancah ditawar. Usaha dan pengorbanan kita selama ini umpama menanti orang dulu, mengejar orang kemudian. Dalam banyak situasi dan ketika kita seperti pikat kehilangan mata dan lebih mengharukan lagi kita seperti mayat ditegakkan

Walau apa pun usah bersedih dan meratap kecewa. Teruskan keikhlasan perjuangan kita. Semoga akan tiba nanti sinar kejayaan untuk kita.

Sabtu, Mac 13, 2010

Sentuhlah hati mereka dahulu...

Dalam hidup ini walau siapa pun kita, pastinya kita mendepani pelbagai masalah, cabaran, konflik dan sebagainya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita perlu menyelesaikan semua cabaran ini terutama yang melibatkan manusia. Dalam keghairahan mencapai hasrat dan hajat, kita jangan melupakan belas ihsan dan kemanusiaan kerana kita menangani isu yang melibatkan manusia. Justeru itu kita perlu bijak menggunakan kuasa pengaruh untuk memenangi hati dan perasaan insan lain. Ugutan, kekerasan dan ancaman bukanlah satu-satunya senjata untuk tujuan mencapai matlamat yang murni.

Kuasa pengaruh merupakan satu wahana yang wajar digunakan untuk menguruskan manusia. Kuasa pengaruh dapat mengubah insan mengikut keperluan dan kehendak organisasi. Dalam sejarah negara kuasa pengaruh digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menumpaskan ancaman komunis pada era Darurat. Hati dan fikiran rakyat agenda utama untuk dimenangi selain kaedah kekerasan dan kuat kuasa undang-undang.

Dalam perjuangan nabi Muhammad saw menyebarkan kesyumulan Islam dan seterusnya menguruskan negara Islam, kaedah kelembutan dan sentuhan hati digunakan. Kesannya kedegilan golongan kafir Quraisy dapat dilembutkan. Gunakanlah kuasa pengaruh dengan menyentuh hati hati mereka dan seterusya memenangi hati mereka.

Allah juga memerintahkan dua orang nabi iaitu Musa bin Imran dan Harun bin Imran supaya mendepani Firaun yang zalim dengan kata-kata yang lemah lembut. Ini direkodkan dalam Surah Taha ayat 44, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut". Jika Firaun yang maha zalim, perlu ditarbiah dengan kata-kata yang lembut, siapakah lagi yang lebih zalim atau sezalim dengan Firaun untuk ditengking atau dijerkah?

Seorang ibu dan bapa perlu menyentuh hati anak masing-masing dalam proses mendidik mereka. Guru mempunyai pengaruh ke atas anak muridnya. Ketua organisasi berpengaruh ke atas orang bawahannya. Imam mempunyai pengaruh terhadap jemaahnya sehingga mereka yakin dan sedia menurutnya dalam solat. Begitu juga individu-individu yang lain terutama pemimpin-pemimpin besar mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas pengikutnya.

Sentuhlah hati mereka dahulu, sentuhlah soft spot mereka sebelum mencapai dan menggenggam tangan mereka. Jika kelembutan dapat memenangi hati dan sokongan mereka mengapa perlu jerkahan, ugutan dan ancaman? Sentuhlah hati mereka dahulu sebelum mencapai tangan mereka....

Isnin, Mac 08, 2010

Cerminan Diri

Ketika ada kesempatan waktu untuk memuhasabah diri, mulalah memikirkan apakah kebaikan yang telah dilakukan dan apa pula keburukan yang sering menjadi amalan hidup ini. Terlalu banyak sifat-sifat amarah atau buruk yang diamalkan. Lebih menyedihkan lagi keburukan ini merangkumi apa yang disebut sebagai 'al-Kabair' ( Dosa-dosa Besar).


Rasa sombong dan besar diri sering muncul dan terjelma dalam perlakuan hidup sehari-hari. Bila mendapat pangkat dan kuasa mula berlaku 'seperti gajah masuk kampung' dan ada kalanya 'seperti merak mengigal di hutan'. Kita mula menunjukkan kepandaian dan kekuasaan kepada orang lain, sehingga seolah-olah kita ini sempurna sepanjang perkhidmatan, kehidupan dan apa sahaja yang kita lalui.

Kita kadang kala lupa bahawa beradanya kita di kedudukan sekarang mungkin atas ketentuan nasib atau atas bantuan dan simpati orang lain. Lebih sedih lagi kita mungkin berada di atas kerana kita amat mengharapkannya dan kerana kita yang meminta-minta. Kita' berusaha' menonjolkan diri untuk mendapatkan sesuatu walau pun mungkin ada orang lain yang lebih wajar. Kita mungkin berada di sini atas sebab ketuaan kita.

Jika direnung mungkin ada orang lain yang lebih berwibawa daripada kita tetapi oleh kerana ketuaan atau senioriti maka kita diangkat. Mungkin juga kita diangkat kerana telah tiba masanya, walau pun catatan sejarah kita tidak secemerlang mana. Justeru itu setelah berada di atas kita kena merenung sejarah kita. Janganlah kerana ghairah berjawatan kita lupa sejarah kekurangan dan kelemahan kita. Kita bertindak seolah-olah kita insan terbilang sejak dilahirkan, sedangkan antara kita dengan mereka mungkin tiada bezanya. Malah mungkin mereka lebih baik daripada kita. Janganlah kita bersikap umpama 'pot calling the cattle black'. Cermin-cerminlah diri kita.

Khamis, Mac 04, 2010

Kasihan Ibuku...

Lama tidak menjenguk ibu di kampung. Mungkin dekat pada ukuran jarak tetapi ada ketikanya amat sukar untuk menjenguk ibu. Secara emosi, 'berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati' tetapi ada sahaja kesibukan yang menjadi aral menghalang aku untuk kerap menjenguk ibu. Minggu lalu aku pulang menjenguk apabila menerima berita ibu diragut di dalam rumahnya sendiri. Aku bergegas pulang.

Pipi ibu lebam dan ada giginya yang tertanggal akibat tekapan kuat tangan dua lelaki ke mulutnya. Mujur ibu tidak terkejut teruk, jika tidak ini memberi kesan kepada masalah jantungnya. Ibu meluahkan rasa terkejut dan sedihnya. Aku memujuk ibu agar bersabar dan bersyukur kerana tidak mengalami perkara yang lebih buruk. Kasihan ibu...

Petang itu aku dan ibu bersembang sambil duduk di hujung dapur menghalakan pandangan kami ke kebun di belakang rumah. Ibu yang semakin pendiam rupa-rupanya banyak bernostalgia. Ketika kami bercerita tentang kisah lalu, ibu bercerita tentang reban ayam lama yang tidak lagi berpenghuni. Kata ibu, dahulu ketika abah ada, abah selalu memberi makan ayamnya. Setiap kali abah menyembelih ayam kampung untuk dibuat juadah, beliau akan menangkap tiga ekor ayam. Seekor untuk hidangan di rumah dan dua ekor untuk kakak-kakakku. Ibu begitu bernostalgik menceritakan kenangannya itu. Rupa-rupanya setelah hampir sepuluh tahun pemergian teman hidupnya, ibu masih membugar ingatannya kepada abah. Mungkin selama ini ibu bersendirian mengingati abah. Kasihan ibu.

Ibu terus bercerita pilu membawa kenangan kami kepada arwah adikku yang pergi menuruti abah lima tahun kemudiannya. Adik perempuanku ini merupakan anak bongsu dan sememangnya kesayangan ibu. Pemergiannya yang tragis memberi trauma kepada ibu hingga kini. Melihat wajah dan kerenah anak bongsu siarwah kerap kali mengingatkan ibu kepada adikku. Pada saat sebegitu ibu akan bermonolog dan beremosi. Kasihan ibu...

Sesungguhnya aku kerap rasa bersalah apabila tidak menjenguk ibu. Aku sering bimbangkan kesihatan ibu, bimbang emosinya yang ku lihat sering terganggu dengan kenangan pilu masa lalu. Tidak siapa dizinkannya menyelam seribu rasa dalam benak fikiran dan sanubarinya. Kami tidak berupaya menyelaminya apabila melihat air matanya setiap kali kami mula berbicara. Ibu menanggungnya bersendirian. Aku sukar membayangkan jika kehilangan ibu apabila tiba qadar tentuan Illahi nanti. Kasihan ibu...

Selasa, Mac 02, 2010

Sukarnya Memerah Otak...



Semakin meningkat usia semakin sukar mengingati sesuatu. Kerap kali kita merasakan yang kita tahu segala-galanya. Kita malas untuk menambah ilmu. Kita malas untuk membaca, malas menghadiri majlis ilmu atau muzakarah yang banyak disusun dan dilaksanakan di masjid-masjid atau surau. Pada hal dalam majlis ini kita hanya perlu mendengar dan mencatat dalam buku kecil. Kita mendapat ilmu yang amat berguna tanpa perlu meletihkan mata untuk membaca.

Pada suatu subuh guruku pernah melontarkan ungkapan bahawa "... sukarnya untuk memerah otak dan lebih mudah memerah santan kelapa...." Katanya lagi "... semakin tua usia kita semakin jauh dunia kita tinggalkan meski pun kita belum meninggal dunia".

Apabila direnung, sah kebenaran kata-kata ini. Semakin kita tua banyak perkara tidak lagi dapat kita lakukan atau dengan kata lain terpaksa ditinggalkan. Umpamanya makanan dan minuman telah banyak yang kita elakkan. Kita tidak lagi mampu menjalani hidup yang penuh dengan kelasakan fizikal atau yang menuntut ketahanan stamina. Semakin banyak 'pantang larang' yang terpaksa dibuat untuk meneruskan kesejahteraan hidup. Justeru itu walaupun kita belum meninggal dunia, namun semakin banyak perkara di dunia telah kita tinggalkan.

Kelanjutan usia juga membuatkan kita semakin sukar mengingati banyak perkara. Ada ramai yang sukar mengingati nama anak apatah lagi cucunya. Mungkin lebih sukar mengingati nama-nama rasul dan pelbagai hukum hakam termasuk rukun sembahyang, sunat ab'ad dan sunat haiat. Berkerut dahi dan mata memerah otak untuk mengingati sesuatu apabila diperlukan atau dipersoalkan. Inilah mungkin sebab diungkapkan lebih mudah memerah santan kelapa berbanding memerah otak.