Hampir masuk minggu kedua isu kematian suspek curi kereta A. Kugan disiarkankan di dada-dada akhbar. Takziah buat keluarga mendiang atas pemergian orang yang dikasihi. Berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul. Walau apa pun, mereka perlu bersabar dan tabah menghadapi tragedi ini. Yang pergi tetap pergi manakala yang masih hidup perlu meneruskan kehidupan ini. Bukan sahaja keluarga mendiang Kugan perlu terus tabah menjalani hidup ini tetapi kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mesti terus mengekalkan keharmonian hidup kita.
Justeru itu janganlah kita runtuhkan apa yang yang telah kita ada iaitu keharmonian yang telah kita bina sekian lama terutama selepas Peristiwa 13 mei 1969 dengan menyemarakkan unsur-unsur perkauman. Berilah pihak berkuasa terutama polis menjalankan tugas dan amanah yang dipikulnya untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Kugan. Berilah mereka peluang dan ruang menjalankan penyiasatan dan pembuktian yang sahih tentang kes ini. Biarlah kes jenayah jika ianya benar berlaku diuruskan secara prosedur jenayah. Janganlah kes dan isu ini bersemarak dan melencong mengheret masyarakat kita ke kancah perkauman. Amat membimbangkan jika ini berlaku mungkin tidak ada mahkamah yang dapat menyelesaikannya seperti sejarah 13 Mei 1969 itu.
Sebagai warganegara yang rata-rata berpendidikan dan rasional, janganlah kita bergerak dan bertindak atas sentimen emosi. Belajarlah daripada sejarah konflik etnik di negara kita sejak zaman penguasaan Bintang Tiga, Zaman Darurat, Peristiwa 13 mei 1969 dan beberapa isu etnik kebelakangan ini. Sesungguhnya konflik dan rusuhan etnik tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan semua pihak. Janganlah kita menambahkan beban kegawatan ekonomi pada waktu ini dengan kegawatan politik atau sosial. Janganlah kita membazir masa, tenaga dan wang untuk membetul dan membina semula perpaduan setelah berlakunya runtuhan akibat sesuatu konflik. Lebih baik kita bertindak bijak dengan menghindar konflik dan menerus serta memantapkan lagi kerangka perpaduan yang telah kita bina agar ianya menjadi lebih lengkap.
Setelah berdekad-dekad lamanya kita menghadapi cabaran sebelum dan selepas merdeka, kita sewajarnya menjadi warga negara yang matang, bijak, sabar dan waras terutama apabila menghadapi isu-isu yang mungkin melibatkan etnik kita. Usahlah kita gadai nilai keamanan dan keharmonian kita dengan perkara-perkara yang ada jalan penyelesaiannya. Janganlah sentimen etnik atau agama membunuh kewarasan kita. Janganlah kita runtuhkan apa yang kita ada. Ingatlah betapa sukar pemimpin dan orang-orang yang sebelum kita berusaha dan berkorban membinanya. Jika kita tidak sangup atau tidak berupaya menjadi penyumbang keharmonian janganlah pula kita menjadi penumbangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan