Sabtu, Januari 31, 2009

Ibuku Pernah ' Berbohong'



Hari ini masuk usiaku 43 tahun. Lewat malam aku duduk mengenang dan memuhasabah diri. Ketika ini juga wajah insan yang rapat denganku menjelma dalam benak fikiran silih berganti antara arwah abah, ibu, arwah adikku, saudara kandung yang lain, isteri, anak-anak dan rakan-rakanku. Al-Fatihah buat arwah abah yang banyak berkorban membesarkanku. Al-Fatihah juga buat arwah adikku yang perginya amat memilukan buat kami sekeluarga.
Dalam ingatan yang muncul silih berganti, aku terkenang akan ibu dan sejarah kehidupan kami sekeluarga bersama. Terkenang pahit jerih ibu membesarkan kami. Jasa dan pengorbanan ibu besar sekali. Ibu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk kami. Dalam kenangan ini, seingat aku ibu pernah berbohong. Ketika zaman kanak-kanak, kami hidup susah dan makanan yang ada kadang kala kurang mencukupi. Ada ketikanya makanan yang ada tidak cukup untuk mengenyangkan kami. Pada waktu itu ibu memberikan makanannya kepada kami dan menyatakan bahawa ia tidak lapar sedangkan kami tahu ibu belum menjamah makanan. Inilah pembohongan ibu kepada kami.
Keperitan hidup telah memaksa ibu bekerja keras menoreh getah dan menebas kebun. Pernah ibu menghidapi penyakit yang teruk. Tetapi beberapa hari selepas itu ibu menuruti abah melakukan tugasan yang berat. Kata ibu dirinya telah sembuh tetapi kami tahu ibu masih lagi sakit. Inilah satu lagi pembohongan ibu.
Apabila berada di alam persekolahan menengah, ada ketika keputusan peperiksaan aku tidak sebaik rakan-rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan univertsiti. Ibu mengatakan dia tidak kecewa dan mahu aku teruskan usaha. Aku tahu ibu bersedih dan kecewa. Sekali lagi ibu berbohong.
Setelah dewasa dan bekerja aku dan abang-abang kadangkala jarang menjenguk ibu di kampung. Ibu kerap berkata tidak mengapa kerana kami sibuk, tetapi aku tahu ibu mahu kami selalu pulang menjenguknya. Ini juga satu lagi pembohongan yang ibu lakukan.
Sesungguhnya segala 'pembohongan' ibu adalah untuk kehidupan kami, untuk keselamatan kami, untuk kejayaan kami, untuk semangat kami dan untuk kebahagiaan kami. 'Pembohongan' ibu amat bermakna bagi kebahagiaan hidup kami.



Tiada ulasan: