Khamis, Februari 26, 2009

Kadangkala Aku Letih


Menjalani hidup ini, melunaskan tanggungjawab dan menggalas beban rutin harian, ada saatnya memang meletihkan. Setiap hari menjalankan tugas yang hampir sama, menempuh cabaran dan 'ancaman' yang berulang, masalah yang tidak berpenamat, kadangkala ini membuatkan aku letih. Kadangkala aku penat, ada ketikanya akal fikiranku bagaikan terhenti untuk berfikir, ada masanya aku hanya bertindak balas kepada masalah yang datang dan kadangkala aku bagai tidak sempat merancang. Aku letih menjalani hidup ini.


Kadangkala aku letih. Timbul rasa ingin bertukar angin. Aku ingin menyambung pelajaranku ke pengajian sarjana kedoktoran. Ada kalanya aku ingin menumpu kepada bidang keagamaan, mendalami ilmu tauhid, meningkatkan mutu pengajian Al-quran dan mengikuti kelas-kelas fardu ain. Ingin rasanya aku menumpukan perhatian kepada ibuku, kepada keluargaku di kampung. Amat kurang masaku untuk mereka sekarang ini.


Aku letih. Rasanya ingin aku meninggalkan ketegangan tugas ini. Aku tidak ingin memarahi dan mengherdik saban hari. Aku ingin menjadi insan yang banyak berzikir dan bukannya yang banyak luahan amarah. Aku ingin berperilaku lembut dan bukan perilaku kasar. Di sini, aku tidak bisa memenuhi impian ini.


Kadangkala aku letih. Di sini bagai sukar pelangganku untuk berubah. Di sini kurasa bagai tiada perubahan. Di sini aku terus cuba memenuhi kepuasan. kadangkala aku letih di sini.

Sabtu, Februari 21, 2009

Lupa Diri dan Narsisistik

Manusia hidup di muka bumi ini tidak selalunya bernasib baik dan berkeuntungan. Ada saatnya kita berada dalam kemewahan, keselesaan, kejayaan atau punya kekuasaan. Ada ketikanya kita akan dilanda kedukaan, ditimpa malang atau kehilangan. Ada detiknya kesedihan menjenguk ketika sedang dalam kebahagiaan, umpamanya kehilangan orang yang disayangi secara tiba-tiba, diberhentikan kerja ketika sedang menikmati pendapatan yang lumayan atau hilang kedudukan tanpa diduga.
Kita perlu mempunyai kesedaran tentang hakikat hukum alam. Ketika menikmati kenikmatan, kebahagiaan, kekayaan, kejayaan atau apa sahaja yang menyeronokkan, maka kita perlu bersederhana dan tidak keterlaluan. Lumrahnya apabila kita mempunyai kuasa, kekayaan atau kejayaan, kita kerap lupa daratan. Ada segolongan yang kaya lupa tanggungjawab sosial dan agama kepada yang kekurangan. Golongan yang berjaya memandang sinis kepada yang gagal. Kerap kali ketika berkuasa kita memandang rendah orang bawahan. Mereka disindir dan diperli tanpa memikir keadaan. Mereka dihiris hati dilukai perasaan. Soal maruah tidak dipandang.
Lebih menyedihkan ada insan yang mengangkat dan memuja diri dan keluarga keterlaluan, orang lain seolah-olah tiada kelebihan. Insan yang kaya memperagakan kekayaannya keterlaluan. Kumpulan yang berjaya mencanang kejayaannya tanpa batasan. Individu yang berkuasa berlagak bagaikan dialah tokoh paling berintegriti dan berkeupayaan. Sehingga ada ketikanya seolah-olah melupakan kelemahan dan kekurangan diri yang menjadi sejarah silam.
Untuk lebih adil kepada diri dan orang lain pada saat ini dan masa mendatang, kebijaksanaan tindakan perlu menjadi landasan. Jangan nanti kita menjadi korban akibat tersilap langkah dan percaturan. Semalam mungkin disanjung dan dijulang, esok lusa mungkin tidak lagi dikenang. Masa depan kita tidak kepastian dan ketentuan.

Selasa, Februari 17, 2009

'Setelah Lama Tak Kunjung'


AL-FATIHAH

Semalam aku sememangnya keletihan. Bangkit tidur jam 5.30 pagi, solat subuh, menghantar anak ke sekolah dan terus ke tempat bertugas. Jam 1.00 petang balik ke rumah untuk mandi dan solat zohor, lalu bergegas menghadiri mesyuarat jam 2.00 petang dan berlanjutan hingga jam 7.00 malam. Terus pulang ke rumah untuk mandi, solat maghrib dan sempat bersalaman dengan isteri dan anak kecilku lalu berkejar menjalankan tugas sambilanku di Parit Raja dan balik ke rumah jam 11.00 malam. Lewat jam 12.00 malam selepas mandi dan solat isya', aku terus masuk tidur walaupun isteri sedang sibuk melipat pakaian.


Lewat jam 3.00 pagi aku terkejut dari tidur, kerana 'kunjungan' kau yang telah lama tidak muncul dalam tidurku. Kau memanggil aku dengan panggilan biasamu iaitu " Cik". Kau menegurku dan bertanya mengapakah aku telah lama tidak menjenguk kau. Panggilan " Cik" kali kedua inilah yang telah membangkitkan aku dari tidur ini. Aku beristighfar, atas kunjungan ini. Aku rasa bersalah kerana tersedar dari mimpi ini keranaku rasakan ada sesuatu yang ingin kau sampaikan. Mimpi ini tidak dapatku sambung meskipun beberapa kali ku cuba memejamkan mata ini.


Adikku, tahun ini masuk 40 tahun usiamu dan telah 4 tahun pemergianmu. Pemergianmu senentiasa ku ingati terutama tiap kali selepas solat. Aku terima takdir Illahi tetapi kadang kala aku tidak dapat menahan perasan kerana kau sahajalah adikku. Kita berdua rapat sejak zaman anak-anak. Terlalu banyak kita berkongsi kenangan terutama semasa meniti hidup di usia kanak-kanak, berkongsi keseronokan di zaman persekolahan dan berkongsi tanggung jawab, menempuh suka duka bersama menjelang kedewasaan kita. Memori paling menghibakan aku, apabila suatu ketika, aku memarahi kau kerana tidak dapat menunjukkan kedai untuk mengisar bahan-bahan bagi membuat kuih-muih menjelang aidil fitri. Ketika itu kau dan aku masih bersekolah rendah. Aku terlalu penat waktu itu terutama terpaksa membonceng kau di belakang basikal tua abah. Sebenarnya peristiwa ini sentiasa berputar dalam ingatan ini dan amatku kesali sejak sebelum pemergianmu lagi. Maafkan aku.


Masalah dan penderitaan yang kau alami terutama menjelang saat pemergian mengejutmu paling menyiksa diriku termasuk semua ahli keluarga kita. Hingga saat ini, ada tikanya aku rasa begitu rindukan kau. Ada saatnya aku kecewa kerana gagal membantumu walaupun telah beberapa kali mencuba. Aku sebenarnya terlalu ingin melihat kau dan aku dewasa dan tua bersama. Aku berharap aku yang mendahuluimu menemui Illahi. Aku sentiasa menahan kesedihan ini dan mewajahkan hidup ini dengan wajah-wajah kehidupan biasa dan bersahaja. Ini kerana aku lelaki. Ini kerana keluarga kita dan kerana aku menerima takdir dan ketentuanNya. Al-Fatihah.

Sabtu, Februari 14, 2009

' Padang Kita ' : Dedikasi Buat Cikgu Di .....

Guru, lebih mesra dan rendah diri disapa sebagai 'cikgu' mengisbatkan satu tugas yang amat mulia. Dalam Islam cikgu juga diberi pelbagai gelaran yang sinonim dengan kemuliaan tugas itu. Cikgu digelar 'Al-Mu'allim' (menyampaikan ilmu yang benar). Ada ketikanya disebut ' Al-Murabbi' (menjayakan tarbiah). Masyarakat menyanjungnya sebagai 'Al-Muaddib' (pengajar adab dan budi pekerti mulia). Dalam melahirkan pemimpin cikgu digelar 'Al-mursyid' (membentuk kepimpinan insan). Setiap detik dihargai sebagai seorang 'Al-Mudarris' (menitipkan pelajaran dan kemahiran).
Panggilan atau gelaran-gelaran ini amat menusuk kalbu dan begitu syahdu apabila diterima oleh setiap insan bernama guru. Begitu mulia rasanya manusia guru ini. Terlalu tinggi rasanya pengikhtirafan manusia di muka bumi ini kepada cikgu. Begitu kudus rasanya insan guru ini dan seribu satu rasa yang agung dan mulia bergelora di dalam diri setiap insan guru. Begitu ideal rasanya insan yang berjuang sebagai cikgu.
Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah perlakuan dan pembawaan diri murid-murid yang bergurukan cikgu-cikgu yang digelarkan itu tadi. Bagaimanakah agaknya kesopanan dan kerendahan diri murid-murid dan ibu bapanya apabila berhadapan dengan Al-murabbi, Al-muallim, Al-muaddib, Al-mursyid atau Al-mudarris ini?
Tetapi di padang ini, itu semua bagai bukan milik kita cikgu. Medan perjuangan kita mungkin lebih bergelora berbanding medan perjuangan Al-murabbi atau Al-muallim. Padang permainan dan pertandingan kita mungkin lebih beronak semalu dari padang permainan Al-muaddib atau Al-mursyid. Cabaran kita mungkin jauh lebih getir dari cabaran Al-mudarris. Pendakian kita mungkin jauh lebih mencabar dari mereka.

Bagaimana kasarnya bahasa yang ditujukan buat cikgu. Ketidak sopanan yang melampau sebagai balasan atas teguran cikgu. Keburukan sahsiah dan personaliti yang sentiasa mencabar guru. Tiada penghargaan terima kasih dan rasa syukur atas ajaran guru. Banyak lagi cabaran getir sentiasa menunggu guru. Ibu dan bapa ada masanya tanpa silu mengaibkan guru. ' Terima kasih cikgu' sukar diseru. Andai tidak bernasib baik, cikgu menjadi seteru.

Justeru itu lupakanlah dahulu impian dinobat sebagai Al-muallim, Al-murabbi, Al-muaddib, Al-mursyid atau Al-mudarris. Atau mungkin lupakan terus semuanya itu dari kamus harapanmu cikgu. Jika tidak dimaki atau ditengking oleh murid itu satu keuntungan. Jika tidak disindir tawakan setiap kali keputusan peperiksaan keluar satu penghargaan. Jika tidak diseranah oleh ibu bapa satu kebanggaan. Jika pelajar menuruti arahan dan permintaanmu ianya detik kelegaan. Jika diucap ' terima kasih cikgu' ianya satu kebesaran. Andai usaha dan pengorbanan cikgu dimengerti dan dihargai, itu satu kesyukuran.
Guru oh guru!
Inilah nilai pengorbanan yang perlu kau bayar kerana memilih kerjaya mulia ini. Inilah medan perjuangan yang telah kau renangi sama ada rela atau tidak. Janganlah kau berjuang dengan kebosanan dan kejemuan. Janganlah kau mengajar dengan penuh kelesuan. Usahlah kau kesal kerana 'dipilih' bermain di padang ini. Janganlah kau merintih kerana disasarkan di medan ini. Di sini, jika pun padang kita sama dengan orang lain namun belalangnya berbeda. Di sini, kita sebenarnya lebih tabah dan gagah daripada Al-murabbi atau Al-muaddib.



Jumaat, Februari 13, 2009

Melayu dan Metafizika: Jangan Rosakkan generasi Kita

Dan ( ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". ( Luqman:13). Dalam Surah Al-Ikhlas, Allah berfirman dengan maksudnya " Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat"( Al-ikhlas:2). " Dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya ( al-Ikhlas:4).
Ini antara peringatan-peringatan Allah kepada kita hambanya, supaya tidak bergantung apatah lagi menyengutukanNya sama ada secara niat, perkataan atau perbuatan. Namun begitu pada abad ke-21 ini, umat Melayu yang beragama Islam seolah-olah cuba dikembalikan kepada zaman hidup era sebelum pemantapan syiar Islam dimana epistimologi metafizika menjadi pegangan masyarakat Melayu. Kebergantungan kepada institusi perbomohan dan pawang berakar umbi. Kepercayaan kepada kuasa ghaib dan puaka menghantui hidup umat Melayu.
Sejak akhir-akhir ini media elektronik terutama televisyen banyak menayangkan filem seram yang bercorak pemujaan, penggunaan ilmu hitam dan puaka. Ini dikesan bermula dengan drama bersiri .... Pengusaha filem pula berlumba-lumba menghasilkan filem yang memaparkan kuasa ghaib dan ilmu hitam seperti ... dan beberapa cerita yang seumpamanya. Ini ditambah lagi cerita-cerita yang memaparkan kekuasaan objek tertentu seperti ... dan tidak cukup dengan itu diimport dari seberang cerita kekuasaan pari-pari melalui ....
Cerita-cerita ini amat menarik minat anak-anak yang membatu di hadapan peti televisyen setiap hari. Jika tidak dikawal atau diperjelaskan oleh ibu bapa boleh membawa kepada pemesongan akidah, umpamanya meminta pari-pari membantu ketika dalam kesusahan atau pemujaan dan penggunaan ilmu hitam seperti dalam drama ... atau filem ....
Amat menyedihkan ketika berada pada era Teknologi Maklumat dan ketika kita berusaha memperhebatkan pemantapan Islam di negara ini, kita berpatah balik ke zaman kepercayaan dan amalan lampau kita. Jika pun benar dahulu kita amat popular dan handal dengan unsur-unsur metafizika tetapi pada masa kini elok rasanya kita tidak mengelirukan pemikiran dan menyesatkan akidah generasi muda kita. Biarlah kita, generasi yang lalu sahaja mengalami, 'mengamal' atau 'berbangga' dengan unsur-unsur kepercayaan ini. Biarlah generasi muda yang tidak pernah terdedah dengan unsur-unsur ini bebas daripada kekhurafatan ini. janganlah kita hitamkan hati atau merosakkan akidah mereka dengan unsur-unsur metafizika yang tidak relevan lagi pada abad ini.
Mengapakah kita suka membesar-besar atau mendedahkan perkara-perkara yang tidak berfaedah malah merugikan generasi Islam kita. Mengapakah kita seolah-olah kabur akal budi 'menghitamkan' hati anak-anak kita dengan kerja-kerja penghasilan filem yang bermodalkan idea khurafat ini selain hanya bertujuan mengaut untung laba .Mengapakah kita mengelirukan anak-anak kita dengan unsur-unsur yang menimbulkan syak dan secara keras ditegah oleh Allah di dalam Al- Quran.
Jika kita hendak meluahkan kreativiti kita sebagai penerbit dan pengusaha filem, lakukanlah penghasilan filem yang konstruktif dan menyumbang kepada pembelaan agama. Jika kita mahu khalayak penonton Islam berfikir melalui filem yang dihasilkan, hasilkanlah filem yang membina minda dan tidak mengeliru serta menggugat akidah terutama kepada umat Islam yang lapisan imannya tidak seteguh para ulama. Kita bimbang anak-anak kita yang ilmu agama dan imannya selapis kulit bawang akan terpesong akidahnya, walaupun pada akhir tayangan drama atau filem diukirkan antara bunyinya " kepada insan yang melakukan kesalahan bersegeralah bertaubat". Bukankah mengelakkan kekeliruan dan kesalahan itu lebih baik daripada melakukan taubat.
Dalam hal ini; Jangan Pandang belakang!

Ahad, Februari 08, 2009

Melayu Oh Melayu!



Kegawatan ekonomi masih belum mampu diatasi. Kini pemimpin-pemimpin gawat lagi dengan 'politiking' berebut kuasa. Semasa berkuasa tidak menguruskan kekuasaan politiknya dengan baik dan sepakat. Sesama sendiri umpama tidak punya prinsip yang sihat. Lompat-melompat dan rajuk-merajuk sudah menjadi sifat. Mana lagi hendak dicari pemimpin yang mempunyai prinsip budiman dan berdarjat serta berpegang kepada kata sepakat?

Semasa berkuasa dahulu, bukan Melayu heboh dikatakan diberi lebih keuntungan dan faedah. Umpamanya syarat pemberian tanah yang semakin mudah? Hingga ramai Melayu bersuara membantah dan menyanggah. Ironinya, kini Melayu juga yang bagai berhisteria garang menyanggah. Sibuk berarak dan 'mengamuk' di jalanan. Sanggup berlari tunggang langgang, berlutut dan berbaring di jalanan. Orang yang lebih berkeuntungan bagai tidak kelihatan.

Melayu bagai hilang pertimbangan dan kewarasan. Dalam banyak ketika dan keadaan, berjuang tanpa kepastian tujuan. Melayu sesama Melayu 'bertempur' di jalanan. Manusia yang hilang kawalan emosi dan berdemonstrasi adalah Melayu, polisnya juga Melayu dan raja-raja juga sudah pastinya Melayu. Mengapakah Melayu bertindak sedemikian, sedangkan orang lain lebih rasional dan bijak menghitung tindakan. Siapakah yang mungkin sedang bergelak ketawa melihat perlakuan kita?

Lebih malang lagi, Melayu sendiri bagai membuka ruang dan peluang untuk orang lain tidak memandang sultan. Melayu sendiri 'mengajar' orang lain supaya berani mencabar institusi sultan. Dahulu, jika bukan Melayu mencuit institusi raja dan sultan kita menyinga dan membela bukan kepalang, tapi kini kita yang melakukan secara terang-terang. Hipokritkah kita? Kita bukan mahu persis sepenuhnya mengikut waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun tetapi hormatilah institusi raja kita. Menegur dan bertindaklah dengan bijaksana. Jika bukan kita siapa lagi yang akan menjunjungnya.

Melayu oh Melayu! bertindaklah dengan waras dan bijaksana. Jika menjadi pemimpin, jadilah pemimpin yang bijaksana dan budiman. Jika jadi pengikut, mengikutlah dengan bijaksana dan budiman. Malang sekali sewaktu aman dan makmur kita masih ketinggalan dan kerugian manakala ketika dilanda krisis dan konflik kita jugalah yang menderita dan terkorban. Janganlah waktu negara makmur kita hanya sibuk bersorak tapi banyak yang tergadai dan waktu bersengketa kita jugalah yang menjadi arang dan abunya.

Melayu oh Melayu!

Ahad, Februari 01, 2009

Jangan Runtuhkan Apa Yang Ada

Hampir masuk minggu kedua isu kematian suspek curi kereta A. Kugan disiarkankan di dada-dada akhbar. Takziah buat keluarga mendiang atas pemergian orang yang dikasihi. Berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul. Walau apa pun, mereka perlu bersabar dan tabah menghadapi tragedi ini. Yang pergi tetap pergi manakala yang masih hidup perlu meneruskan kehidupan ini. Bukan sahaja keluarga mendiang Kugan perlu terus tabah menjalani hidup ini tetapi kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mesti terus mengekalkan keharmonian hidup kita.
Justeru itu janganlah kita runtuhkan apa yang yang telah kita ada iaitu keharmonian yang telah kita bina sekian lama terutama selepas Peristiwa 13 mei 1969 dengan menyemarakkan unsur-unsur perkauman. Berilah pihak berkuasa terutama polis menjalankan tugas dan amanah yang dipikulnya untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Kugan. Berilah mereka peluang dan ruang menjalankan penyiasatan dan pembuktian yang sahih tentang kes ini. Biarlah kes jenayah jika ianya benar berlaku diuruskan secara prosedur jenayah. Janganlah kes dan isu ini bersemarak dan melencong mengheret masyarakat kita ke kancah perkauman. Amat membimbangkan jika ini berlaku mungkin tidak ada mahkamah yang dapat menyelesaikannya seperti sejarah 13 Mei 1969 itu.
Sebagai warganegara yang rata-rata berpendidikan dan rasional, janganlah kita bergerak dan bertindak atas sentimen emosi. Belajarlah daripada sejarah konflik etnik di negara kita sejak zaman penguasaan Bintang Tiga, Zaman Darurat, Peristiwa 13 mei 1969 dan beberapa isu etnik kebelakangan ini. Sesungguhnya konflik dan rusuhan etnik tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan semua pihak. Janganlah kita menambahkan beban kegawatan ekonomi pada waktu ini dengan kegawatan politik atau sosial. Janganlah kita membazir masa, tenaga dan wang untuk membetul dan membina semula perpaduan setelah berlakunya runtuhan akibat sesuatu konflik. Lebih baik kita bertindak bijak dengan menghindar konflik dan menerus serta memantapkan lagi kerangka perpaduan yang telah kita bina agar ianya menjadi lebih lengkap.
Setelah berdekad-dekad lamanya kita menghadapi cabaran sebelum dan selepas merdeka, kita sewajarnya menjadi warga negara yang matang, bijak, sabar dan waras terutama apabila menghadapi isu-isu yang mungkin melibatkan etnik kita. Usahlah kita gadai nilai keamanan dan keharmonian kita dengan perkara-perkara yang ada jalan penyelesaiannya. Janganlah sentimen etnik atau agama membunuh kewarasan kita. Janganlah kita runtuhkan apa yang kita ada. Ingatlah betapa sukar pemimpin dan orang-orang yang sebelum kita berusaha dan berkorban membinanya. Jika kita tidak sangup atau tidak berupaya menjadi penyumbang keharmonian janganlah pula kita menjadi penumbangnya.