Perbincangan atau penghujahan tentang survival Melayu terutama dalam isu hak istimewa, ketuanan Melayu dan isu sama ada kaum Melayu merupakan pribumi watan ini memerlukan keberanian dan kemahiran. Keberanian mesti menjadi tunjang kita untuk mempertahankan hak. Keberanian menolak tuntutan-tuntutan tidak wajar yang dibuat oleh kaum lain, keberanian mempertahankan fakta yang sahih dan keberanian berdepan dengan siapa sahaja untuk berhujah mempertahankan kebenaran. Kita mesti berani dan janganlah terlalu apologetik. Kita mesti berani untuk memperjuangkan kesahan hak kita walaupun kononnya akan melukakan hati 'rakan kongsi kita'. Kita tidak boleh berterusan menjaga hati dan perasaan orang lain, sedangkan orang lain tidak memperdulikan hati dan perasaan kita. Ada ketikanya, kita mesti berani dan bersedia melukakan hati serta perasaan orang lain jika itu sahaja pilihan yang ada.
Kita juga memerlukan kemahiran dalam survival kita. Kemahiran artikulasi amat kita perlukan terutama di kalangan pemimpin-pemimpin kita. Kebolehan berartikulasi dan berhujah yang terhad di kalangan masyarakat Melayu akan menjadi masalah untuk kita berhujah mempertahankan hak kita. Ketidak upayaan kita 'mengartikulasi' sesuatu isu kerap memerangkap diri kita dan ada masanya menjadikan kita terpaku dan mendiamkan diri. Kegagalan kita mengartikulasi hakikat sejarah negara kita termasuk konsep imigran, kontrak sosial ( hak istimewa Melayu ) dan prinsip rukun negara menyebabkan kita ' dirasuk ' dan seterusnya bersetuju dengan hujah yang dimitoskan oleh orang lain. Mitos bahawa kaum Melayu juga pendatang di Tanah Melayu, telah diterima sebagai fakta dan diakuri oleh sesetengah orang Melayu termasuk pemimpin Melayu. Begitu juga tentang konsep kontrak sosial ( hak istimewa Melayu), prinsip keadilan, perlembagaan dan sebagainya. Untuk menutup aib dan malu kerana kelemahan beratikulasi dan berhujah, kedangkalan penguasaan fakta dan kelesuan akal, maka kita terus sahaja bersetuju dengan 'hujahan kebenaran' hasil manipulasi kemahiran mengartikulasi oleh pemidato kaum lain.
Kemahiran mengartikulasi konsep sejarah seperti konsep alam budaya (geo- cultural area) dan 'the Malay archipelago' serta konsep-konsep lain amat penting terutama bagi mematahkan hujah bahawa kaum Melayu juga adalah pendatang. Perpindahan dalam alam budaya yang sama iaitu dalam lingkungan ' the Malay archipelago ' tidak menjadikan orang Melayu itu imigran. Sebaliknya perpindahan dari alam budaya yang berbeza, contohnya dari alam budaya Cina atau India ( negara China atau India ) barulah dianggap sebagai golongan imigran. Hakikat ini perlu difahami dan faktanya perlu dikuasai oleh kita untuk kita berdepan dengan siapa sahaja yang memerlukan penjelasan, agar suasana keharmonian dapat dibina. Kesahihan dan kebenaran fakta boleh diberi dan dibuktikan, tetapi kesediaan dan kejujuran untuk menerima hakikat kebenaran itu amat memerlukan iltizam yang jitu. Terpulanglah kepada keikhlasan dan kesediaan mereka menerimanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan