Jumaat, Disember 05, 2008

Nasib Kita



Mutakhir ini, masyarakat kita teristimewa manusia Melayu sibuk membicarakan tentang ancaman dari kaum lain yang mempertikaikan ketulenan asal manusia Melayu itu sendiri. Di dada akhbar,dihidangkan pojokan khas yang sibuk mendefinisi, mendebatkan dan mencirikan tentang konsep pendatang. Adakah Melayu itu juga pendatang seperti mana kaum-kaum lain? Banyak masa, kertas, dakwat dan kos lain dikorbankan untuk mendebatkan hal ini. Malah terdapat juga individu bukan Melayu yang mungkin simpati dengan manusia Melayu ini turut membantu membela manusia Melayu dengan hujahan ilmiah, sokongan fakta sejarah dan bukti-bukti bernilai intelektualisme. Budayawan, sejarawan dan sarjana Melayu turut berbuih mulut, kekeringan tekak dan kelesuan idea membentangkan hujah mempertahankan manusia Melayu.
Malangnya isu ini terus berlanjutan. Bukan Melayu terus mempertikaikan kesejatian asal-usul Melayu. Terus-terusan tanpa malu mendakwa mereka dan Melayu sama-sama perantau dan pendatang sejak dulu. Setelah letih mempertahankan faktanya, pembela dan pejuang Melayu berhujah dengan hujahan tipikal sejak dulu iaitu bukan Melayu jahil atau bodoh sejarah. Bukan Melayu pula tanpa silu dengan bongkaknya mengatakan Melayu jahil sejarah. Justeru itu, siapakah sebenarnya yang jahil sejarah?
Hakikatnya tiada siapa yang jahil atau bodoh sejarah. Bukan Melayu sebenarnya tidak jahil sejarah.Mereka memanipulasi pengetahuan sejarah untuk membuat tuntutan melampaui kewajaran dan di luar hak dan batas sejarah. Melayu pula sudah pastinya tidak bodoh atau jahil sejarah.Yang ada ialah 'kejahilan' dan kelemahan di kalangan Melayu itu sendiri. Kejahilan yang terwahid ialah memilih pemimpin yang tidak ikhlas mempertahankan hak Melayu yang telah didikrikan di dalam perlembagaan kita. Kejahilan kedua, memilih pemimpin yang kononnya liberalis telah mendakwa Melayu itu sendiri adalah pendatang kerana datuknya adalah perantau dari Gugusan Kepulauan atau Alam Melayu iaitu Sumatera atau Aceh atau sekitarnya. Kejahilan ketiga, memilih pemimpin yang tanpa didesak dan dipaksa telah menawarkan untuk menghapuskan DEB atau apa-apa sahaja wahana yang telah sedia ada membantu kaum Melayu. Adakah Melayu terutama pemimpin Melayu terkenal dengan toleransinya? atau sebenarnya terkenal dengan rasa rendah diri yang tinggi sehingga menjadi lemah diri?
Berkurun manusia Melayu berjuang mengalirkan darah, menitiskan keringat dan air mata mempertahankan watan tercinta daripada pencabulan penjajah durjana. Episod pengorbanan dan penderitaan ini bersambungan sejak berkurun dari zaman penjajahan Barat, Jepun, sehinggalah menghadapi ancaman dan pengkhianatan komunis durhaka. Kasihan Dol Said, Mat Kilau, Dato' Maharajalela, Dato' Bahaman, Tok Janggut dan ramai lagi yang berdepan azab menghalau penjajah celaka. Simpati buat Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam, Dato' Nik Ahmad Kamil, Panglima Bukit Gantang, Datin Putih Maria dan pejuang kemerdekaan yang lain. Takziah buat Leftenan Muda Adnan Saidi, Leftenan Muda Ahmad bin Nordin, Leftenan Abdullah bin Saad dan perajurit- perajurit Melayu yang terkorban oleh keganasan Jepun. Empati buat Kanang anak Langkau dan beribu-ribu askar Melayu yang terkorban atau hidup menderita akibat pendurhakaan komunis durjana.
Perajurit-perajurit ini berkorban demi bangsa dan watan tercinta tanpa mengharapkan balasan harta. Berdekad-dekad lamanya pejuang dan perajurit Melayu mempertahankan negara tanpa mengira untung laba. Ikhlas berjuang tanpa menuntut apa-apa walau dibayar gaji tidak seberapa dibandingkan dengan ancaman yang melanda. Berjuang untuk negara dan bangsa dengan rela sedang kaum lain mencongak laba dan selesa yang ada. Ketika negara dalam ancaman dan kesukaran, Melayu berganding tenaga dan menggadai nyawa tetapi setelah negara aman orang lain menumpang nikmat yang ada. Itu tidak mengapa, yang menghiris rasa, apabila mereka bagai tiada malu meminta hak dan kepunyaan kita, tanpa rasa salah dan 'berdosa'. Jauh sekali mengenang budi dan jasa.
Sudah tiba masanya, kita menggunakan prinsip ' serangan adalah pertahanan terbaik'. Kita bukan sahaja bertahan untuk mempertahankan hak kita tetapi perlu menyerang, bukan untuk merampas hak orang tetapi mempertahankan hak kita. Kita janganlah terlalu bertolak ansur kerana takut nantinya kita akan ditolak beransur-ansur. Jika kaum lain'tidak tahu' atau sememangnya tidak mahu memahami prinsip, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, maka tidak ada maknanya kita terus bertolak ansur. Janganlah kita asyik beralah atau mengalah kerana nantinya kita akan kalah, kecewa dan berputih mata. Pastinya anak cucu kita akan merana. Nantinya, kita bimbang mereka akan menyalahkan kita. Amat malang nasib kita jika tiba ketikanya mereka menyumpah seranah kita kerana tidak tahu memelihara hak dan khazanah bangsa yang sepatutnya menjadi kepunyaan mereka

Tiada ulasan: