Ahad, Disember 07, 2008

KETAATAN HAWA: PENGORBANAN ATAU TERKORBAN















Legasi budaya timur, membesar dan mendidik anak-anak dengan nilai sopan santun, berbudi bahasa, merendah diri dan bersikap mengalah agar tidak mengecilkan hati apatah lagi melukakan hati insan lain. Budaya ini terserlah terutamanya dalam masyarakat Melayu. Mereka dituntut menghormati orang lain malah dalam banyak perkara diminta mengalah. Jika bersuara akan dijegilkan mata oleh siayah atau sidatuk. Apatah lagi jika membantah atau menentang akan ditempelak sebagai kurang ajar.

Dalam masyarakat Melayu, kaum Hawa menjadi golongan 'penerima' apa sahaja hukum -hakam yang difatwakan oleh adat, meskipun bertentangan dengan syara'. Mereka dipasak dan diindoktrinasikan dengan nilai malu meskipun kadangkala tidak bertempat dan berwajar. Sememangnya mulia,sekiranya yang muda menghormati yang tua,sememangnya wajar kaum Adam memimpin kaum Hawa dan sememangnya dituntut si sang isteri mentaati sang suami.

Namun, mengakuri dan mentaati norma-norma yang dituntut ini tanpa mengambil kira kewajarannya amat mengecewakan. Kaum Hawa terus mentaati kaum Adam yang buas atau sang isteri terus mentaati sang suami yang zalim adalah amat menghampakan. Sering kali si isteri menerima sahaja kezaliman dan deraan mental atau fizikal si suami atas alasan syurga berpaksikan sang suami atau takut ditempelak sebagai isteri nusyuz atau bimbang dipandang serong oleh masyarakat termasuk pihak yang berautoriti. Isteri terus setia menanti kerana isteri 'ibarat ladang untuk tugalan sang suami'. Sang isteri juga terus beralah kepada sangka kala maut ciptaan suami, kerana bimbang kehinaan digelar janda atau tidak mahu anak-anak malu kerana tidak lagi berbapa. Bimbang tiang arash akan bergegar. Maka, biarlah dirinya terus bersuami dan anak-anak terus berayah, meskipun hidupnya sendiri menanggung sengsara.

Justeru saban waktu, dikhabarkan sang isteri menjadi mangsa sang suami perkasa. Tiada keberanian melapor dan menentang. Kezaliman dihalalkan berleluasa. Kita ( kaum hawa) terus beralah memendam rasa dan bisa. Akhirannya kita ( kaum hawa) terpaksa mengalah apabila jasad terkejung tanpa rasa. Berakhirlah satu perjalanan hidup insan biasa. Akhirnya anak-anak hidup tanpa rasa belaian manja. Anggota masyarakat umum meluahkan rasa simpati biasa. Pejuang hak wanita menjerit melaungkan pembelaan untuk seketika. Sampai masa redalah laungan mereka dan tragedi serupa berulang tanpa mengira batas masa. Kaum Hawakan terus menjadi mangsa tanpa belas rasa.

Tiada ulasan: