
Mereka ini boleh digolongkan kepada kumpulan yang benar-benar jujur mahu perpaduan sebagai realiti dalam negara kita dan satu golongan lagi merupakan hipokrit yang kononnya berjuang dengan lantang untuk perpaduan tetapi realitinya mereka ini tidak ikhlas dan tidak jujur. Mereka ini ada kepentingan dan muslihat yang curang untuk kepentingan tertentu termasuk untuk diri dan kelompok mereka.Semua golongan di atas merupakan ibu bapa kepada anak-anak atau guru kepada anak didik atau abang dan kakak kepada adik-adik atau pemimpin kepada pengikut masing-masing. Jika mereka ini ikhlas mahukan perpaduan maka mereka sewajarnya berperanan membimbing orang di bawah pengaruh masing-masing untuk cintakan perpaduan dan bukannya menjadi penghasut atau pemandu ke arah menggagalkan cita-cita perpaduan.Setuju atau tidak hakikat yang berlaku pada masa kini, kita sama ada sebagai ibu bapa, sebagai pemimpin politik mahu pun masyarakat malah sebagai guru kerap menyemai unsur-unsur 'centrifugal', kepada anak-anak dan orang yang kita pimpin. Ini kerap dilakukan bukan sahaja secara tidak langsung malah secara terang-terangan dan ini dilihat, ditiru dan diikuti oleh anak-anak dan orang yang kita pimpin. Pimpinan politik atau masyarakat umpamanya, dalam keghairahan mendapatkan pengaruh atau menjuarai puak masing-masing sanggup memainkan isu-isu yang boleh menjerat perpaduan kaum. Mereka sedar hal ini tetapi oleh kerana tidak ikhlas dalam memperjuangankan perpaduan mereka sedia melakukannya.
Malah sebagai makhluk 'opportunist', isu dan perjuangan perpaduan merupakan keuntungan kepada mereka untuk kekal sebagai pemimpin popular. Semakin panas isu perpaduan atau semakin sukar untuk dicapai maka semakin 'bertakhta' mereka di hati puak masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan