Selasa, Mac 24, 2009

Kemiskinan - Kegagalan Suatu Retorik


Keputusan SPM dan STPM telah diumumkan. Seperti lazimnya pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan disebar luaskan beritanya. Kuantiti serta kualiti pencapaian yang cemerlang menjadi taruhan ramai pelajar masa kini. Saban tahun mereka bertarung mengambil sebanyak mungkin subjek dengan cuba mencapai sebanyak mungkin 1A. Kekaguman demi kekaguman cuba dicipta. Kekentalan dan kegigihan semangat ditonjolkan untuk mencipta kecemerlangan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga.

Turut serta dalam perlumbaan mencipta kecemerlangan ini ialah Nik Nur Madiha, anak nelayan Sungai Sabak yang datang dari dunia kemiskinan, dunia yang penuh dengan ketidakmampuan material, dunia yang penuh dengan keperitan hidup, dunia yang mengharapkan simpati insan yang simpati, dunia kelompok marhaen yang tidak dipandang oleh sesiapa waktu itu termasuk mungkin oleh ahli-ahli politik setempat kecuali warga guru di sekolahnya yang menghulur bantuan bulanan untuk keluarga ini serta tuan rumah yang tidak menagih sewa tidak berbayar.

Kini, dunia hidup adik Nik Nur Madiha telah berubah. Insan kerdil dan keluarga daif berjiwa besar bersemangat kental ini membuktikan kedaifan dan kemiskinan material bukan halangan hidup. Pencapaian 19 1A dan 1 2A, telah menjegilkan mata banyak pihak termasuk 'pejuang-pejuang bangsa' setempat yang selama ini terlepas pandang kerana kesibukan 'perjuangan.' Semua pihak mula menunjukkan keprihatinan, menyuarakan simpati dan berlapang dada memberi bantuan.

Dalam sekelip mata rumah usang dikhabarkan akan diganti dengan yang baru. Tawaran biasiswa yang bertali arus datangnya dari syarikat-syarikat GLC, sehingga mungkin menyukarkan pilihan. kini, keluarga Nik Nur Madiha bertukar dari terlepas pandang kepada terlebih pandang.


Beruntung keluarga ini mempunyai anak seperti ini. Kemiskinan bukan halangan kejayaan, kedaifan hidup bukan alasan untuk merintih dan berputus asa, kepapaan bukan penyebab kekufuran dan keperitan hidup bukan pematah semangat.

Membandingkan kecemerlangan dalam kedaifan adik Nur Madiha dengan anak-anak lain yang dimanjai dengan kemewahan tetapi gagal mencapai kejayaan sememangnya amat memalukan. Tercabut rasanya maruah dan harga diri apabila anak-anak kita yang hidupnya mewah atau lebih baik daripada Nik Nur Madiha kecundang dalam pelajaran.

Semoga roh, semangat, kekentalan, ketabahan dan kegigihan Nik Nur Madiha akan menjadi penyuntik semangat kepada anak-anak kita yang lembik dan longlai apabila diasak oleh cabaran yang tidak seberapa. Gagahlah seperti Nik Nur Madiha yang berdiri teguh walaupun hidup bergelumang dengan cabaran dan dugaan kemiskinan. Kemiskinan dan kedaifan hanyalah menjadi retorik yang menghalang kejayaan buat adik ini.

Tiada ulasan: