Kita hidup pada abad ke-21. Hidup dalam sebuah negara yang aman dan sejahtera. Ekonomi kita lebih makmur berbanding banyak negara jiran lain. Kita mudah meraih pendapatan untuk terus hidup dalam situasi yang lebih baik dan selesa. Ramai orang luar menyabung maut dan bergadai nyawa untuk mencari kemakmuran hidup di negara kita. Mereka akhirnya mampu hidup selesa di bumi ini berbanding dengan kita. Antara kita sesama kita pun banyak perbezaannya. Bukan berbeza agama, berbeza kepercayaan, berbeza warna kulit dan berbeza saiz mata yang ingin diperkatakan tetapi berbeza kerajinan dan semangat juang.
Ramai antara kita yang mempunyai susuk tubuh yang sasa, kesihatan yang baik dan akal yang waras tetapi tidak berupaya memperjuangkan masa depan diri dan keluarga. Kita mengeluh dan merintih meminta simpati orang lain. Kita merintih tidak berupaya membayar persekolahan anak termasuk yuran PIBG dan membeli buku. Walaupun banyak bantuan yang telah dihulurkan, kita kadang kala merintih dan terus merintih. Kita tidak gigih berusaha untuk membela nasib sendiri. Kita tidak kisah dengan nasib anak dan isteri. Isteri yang teruk berjuang memerah keringat dan akal untuk membela nasib keluarga. Berkerut dan berkedut wajah isteri memikirkan nasib anak dan diri sendiri. Ada yang melahirkan zuriat saban tahun sebagai tanda 'kasih sayang dan ketaatan' kepada suami walau pun sedar beban tanggungan yang bertambah menanti. Akibat kepayahan dan tekanan hidup, isteri berwajah lebih tua berbanding usianya. Manakala suami terus tidak memikirkan nasib anak isteri kecuali nafsu sendiri, walaupun Islam tidak mengajar sebegini.
Orang lain pula berbeza dengan kita. Mereka berusaha tanpa banyak merintih. Perniagaan besar-besaran terus dimonopoli. Mereka yang berpendapatan kecil terus berusaha menambah pendapatan. Suami gigih memerah tenaga membela masa depan keluarga. Isteri dan anak-anak turut membantu. Mereka merebut segala peluang dan ruang yang ada. Begitu terkesan di hati melihat warga tua yang tidak mengenal erti 'pencen' terus mencari rezeki dengan memungut barang-barang berguna di dalam tong-tong sampah untuk dijual. Tersentuh hati dan perasaan melihat ibu membawa anak-anak kecilnya menjual surat khabar di tepi jalan pada waktu malam. Sianak sabar menunggu sambil membaca buku tanpa banyak ragam dan karenah sedang anak-anak lain mungkin seronok menonton tv atau dibuai mimpi. Mereka ini terus menghimpun dan melonggok kekayaan. Sabar menunggu di lampu isyarat dan bertali arus melintas jalan menjual salinan keputusan nombor ekor atau toto. Menabung dan menyimpan untuk masa depan. Pelbagai polisi insurans dibeli untuk pelajaran, kesihatan, hospital, kemalangan dan hayat sebagai jaminan kehidupan.
Sesungguhnya kita berbeza pandangan masa depan. Kita berbeza etos dan worldview kehidupan. Kita berbeza semangat dan kegigihan untuk mendepani hidup yang penuh cabaran. Kita banyak berbeza meskipun punya ruang dan peluang yang seimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan