Ahad, Disember 20, 2009

Sombong bongkak

Sombong dan bongkak termasuk dalam nafsu amarah. Secara mudah sombong membawa maksud megah, berbangga diri dan berasa diri kita sahaja terbaik . Sifat bongkak mendorong kita memandang rendah orang lain. Orang lain dilihat hina dan kita lebih mulia berbanding insan lain.

Guruku bercerita gambaran sikap bongkak:

Dalam sebuah kampung ada seorang tua yang mencari rezeki mengayuh perahu. Kerja ini telah dilakukannya berpuluh-puluh tahun. Pada suatu hari muncul seorang pemuda yang berkelulusan tinggi menumpang sampannya untuk pergi ke seberang. Dalam perjalanan mereka, pemuda itu bertanya berapa lama orang tua itu sudah mengayuh perahu. Orang tua itu menjawab sudah berpuluh tahun. Pemuda itu terkejut lalu menyatakan sia-sia kehidupan orang tua itu kerana tidak menggunakan usianya untuk menimba ilmu dan mencari kehidupan lebih baik. Tersentak orang tua pengayuh perahu mendengar kata-kata pemuda terpelajar tersebut. Tiba-tiba ombak datang memukul dan memecahkan perahu mereka. Pemuda itu menjadi cemas dan ketakutan. Lalu orang tua itu bertanya adakah beliau pernah belajar berenang dan pandai berenang? Pemuda itu menjawab tidak. Lalu berkata sipengayuh perahu kepada pemuda itu, " sia-sialah hidup kamu".

Pesan guruku lagi:

Kita sesama insan wajib menghindari sikap sombong dan bongkak. Kita perlu saling hormat-menghormati. Orang muda menghormati orang tua kerana ketuaannya, ilmunya, pengalamannya dan amalnya. Orang tua menghormati orang muda kerana ilmunya dan kemudaannnya serta belum banyak dosanya. Orang miskin menghormati orang kaya kerana amal jariah dan sedekahnya yang banyak. Orang kaya menghormati orang miskin kerana keringanan dihisab pada hari kiamat nanti. Insan muslim mesti menghormati yang bukan muslim kerana jika mereka memeluk Islam lalu mati mereka suci dan bersih dari dosa masa lalu. Manakala kita yang muslim, jika mati dalam keadaan tidak muslim azab neraka yang maha dasyat menanti.

Tiada ulasan: