Dalam hidup ini, segala-galanya ada batasan. Semuanya ada had dan kewajaran yang perlu dipertimbang dan dipatuhi. Umpama seorang ayah yang menyayangi anaknya juga perlu ada had agar tidak keterlaluan. Kemanjaan yang keterlaluan menjadikan sianak memijak kepala siayah. Ini mungkin ada kekecualiannya jika anak itu tahu menghargai kasih sayang yang diberi oleh ayah. Seorang suami yang menyayangi isteri juga perlu mengawal dan menghadkannya agar isterinya tidak lupa diri. Seorang guru perlu mendidik anak didiknya dengan baik. Namun begitu kebaikan itu perlu ada batasannya agar anak murid tahu nilai hubungan antara guru dan murid.
Ada masanya kita beralah. Ada ketikanya kita memberi dan membantu. Pada saat tertentu kita bertoleransi. dalam banyak keadaan kita perlu berkongsi. Namun begitu semua ini ada batasan dan hadnya. Jika tiada batasannya, orang yang kita beralah, orang yang kita bantu, orang yang kita berkongsi serta orang yang kita sering bertoleransi akan lupa diri. Orang ini mungkin akan terus meminta dan meminta. Orang ini mungkin akan lupa untuk berterima kasih, apatah lagi bersyukur dan mengenang budi. Orang ini pada banyak masa dan keadaan akan terus meminta dan menagih walau pun yang ditagih itu tiada kewajarannya. Mereka ini 'menuntut peha setelah mendapat betis'.
Orang ini akan menggunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk memenuhi kepentingan mereka termasuklah ketika orang lain dalam kesempitan. Mereka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain termasuklah orang yang selama ini membantunya. Tidak hairan jika orang seperti ini sanggup menekan kita yang selama ini beralah, bertoleransi, berkongsi dan membantunya. Malah ada ketikanya mereka ini akan bersekongkol dengan pihak lain termasuk seteru mereka sehingga tergamak menekan kita untuk mencapai impian. Mereka ini adalah gerombolan hipokrasi dan 'opportunist'.
Mereka ini tidak tahu silu, sedia menggadaikan setiakawan untuk ketamakan dan hajat. Kemahiran hipokrasi mereka membolehkan ada masanya berwatak seperti kawan dan ada ketika yang lain bertingkah laku seperti lawan. Mereka ini api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan telunjuk lurus kelingking berkait.
Amat malang bagi kita yang secara berterusan jujur terhadap mereka, menganggap mereka sebagai teman atas nama perpaduan, sentiasa memenuhi tuntutan dan tagihan mereka. Mungkin kita banyak berasa bimbang sehinggakan apabila diminta kita memberi, apatah lagi jika diugut. Pelbagai perubahan kita buat untuk memenuhi tuntutan mereka. Akta demi akta kita pinda, undang-undang demi undang-undang kita gubal untuk memenuhi permintaan mereka. Lebih malang lagi belum diminta kita telah menawarkan sesuatu keistimewaan kepada mereka. Malangnya mereka terus tidak mencapai kepuasan. Kita bimbang hak kita akan terlepas dan tergadai.
Mengubah suai pesanan Sasterawan Negara Usman Awang yang antaranya berbunyi:
Baiknya hati orang ...... itu tidak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan