Ahad, Disember 20, 2009

Sekadar Renungan



Tahun baru Islam (Maal Hijrah) baru menjelang. Umat Islam berpusu-pusu ke masjid untuk menyertai majlis membaca doa akhir dan awal tahun. Memohon kebaikan untuk tahun baru ini, dijauhkan dari sifat-sifat yang tercerca dalam hidup ini. Antara keburukan yang mohon dijauhi ialah nafsu amarah yang di dalamnya terkandung sepuluh sifat termasuk bakhil, sombong bongkak, hasad dengki, angan-angan yang panjang dan tamak haloba.


Antara nafsu, syaitan dan pemungkar
Dalam banyak hadis nabi, nafsu amarah adalah musuh yang pertama, kedua ialah syaitan dan ketiga adalah pemungkar . Asas hujah ini ialah jika insan tidak dapat melawan nafsu amarah ia tidak akan dapat mengalahkan syaitan dan seterusnya tidak akan dapat menghalang kemungkaran.
Diceritakan kisah seorang yang alim cuba menebang sebatang pokok yang menyebabkan penduduk sebuah kampung mensyirikkan Allah. Dalam perjalanan untuk menebang pokok itu beliau bertemu syaitan yang menghalang tindakan itu. Semasa berlawan dengan syaitan ini, beliau berjaya mengalahkan syaitan lalu syaitan menawarkan sejumlah wang yang akan diberi kepada orang alim ini pada setiap hari. Ini memudahkan beliau beribadat tanpa perlu memikirkan untuk mencari nafkah. Orang alim ini bersetuju. Justeru itu pada setiap hari, syaitan akan meletakkan wang di bawah tikar sembahyang orang alim ini. Setiap hari selepas solat subuh, didapati ada wang di bawah tikar sembahyangnya. Namun begitu pada suatu hari apabila beliau melihat di bawah tikarnya, tidak ada lagi wang diletakkan. Beliau begitu marah kepada syaitan lalu mengangkat kapaknya untuk menebang semula pokok yang menjadi sembahan penduduk kampung. Dalam perjalanan beliau bertemu lagi dengan syaitan dan berlaku pergelutan. Pada kali ini orang alim ini tewas lalu beliau bertanya kepada syaitan mengapakah syaitan dapat menewaskannya dengan mudah. Maka berkata syaitan bahawa pada kali pertama dahulu, orang alim ini mahu menebang pokok kerana Allah tetapi pada kali ini bukan kerana Allah tetapi kerana wang. Oleh itu Allah tidak menolong beliau.


Jelas bahawa orang alim ini tidak dapat melawan nafsunya. Akhirnya syaitan tidak dapat ditewaskan dan kemungkaran tidak dapat dicegah.

Tiada ulasan: