Khamis, Julai 23, 2009

Selamat Bertugas




16 Julai lalu anggota Malcon West 2, angkatan tentera kita berlepas ke At tiri Lebanon bertugas di bawah panji PBB. Konflik di Lebanon melibatkan Hizbullah dan Israel yang ingin menguasai Lebanon mengakibatkan kehancuran dan penderitaan rakyat.

Maaf buat saudaraku yang tidak sempat diucapkan selamat berangkat walaupun melalui telefon pada hari itu. Semoga selamat menjalankan tugas tanpa sebarang tragedi selama tempoh 9 bulan ini. Doa untukmu di sana.


View Larger Map

Syaaban: Antara Rejab Dan Ramadan

Hari ini 1 Syaaban tiba dengan keutamaan dan keberkatannya. Dalam riwayat Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah saw berpuasa pada bulan Syaban kecuali sedikit. Dalam hadis Bukhari, daripada Aisyah r, dia berkata: "Aku tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasanya sebulan kecuali bulan Ramadan, dan aku tidak pernah pernah melihat beliau lebih banyak puasanya daripada bulan Syaaban". Banyak kelebihan pada bulan Syaaban. Antaranya amalan hamba diangkat dan dinaikkan kepada Tuhan Rabbul Alammin.


Malam Nisfu Syaaban merupakan satu daripada dua malam raya bagi malaikat di langit selain malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Syaaban atau disebut malam Bara'ah, malam di mana dapat menghapuskan dosa setahun. Disebut juga sebagai malam Tafkir atau Ihya'. Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya dan malam Nisfu Syaaban , tidak akan mati hatinya ketika hari di mana hati-hati mati.



Disebut juga malam Syafaat di mana nabi memohon syafaat untuk umatnya. Malam ini juga disebut malam Makrifah , di mana Allah mengampuni dosa hambanya kecuali dua golongan iaitu orang musyrik dan orang yang memberati dengan dosa. Malam ini juga disebut malam Pembebasan di mana Allah membebaskan manusia dari neraka kecuali orang yang meminum arak, menderhaka kepada ibu bapa, yang berzina, yang keras kepala, tukang pukul dan tukang fitnah. Malam ini juga disebut malam Qiamah dan Takdir.



Bersyukur kepada Allah kerana memberi kelebihan-kelebihan ini terutama sejak Rejab hingga Ramadan.

Lagenda Lembing Awang Pulang Ke Dayang


View Larger Map


Lama tidak bertemu teman-teman semasa menuntut di Lembah Pantai dahulu. Begitu juga lama rasanya tidak bertanya khabar rakan-rakan sejawat di sekolah pertama bertugas. Banyak cerita suka duka yang dikongsikan apabila bertemu. Sedih melihat rakan yang telah dipotong kedua-dua kakinya kerana penyakit. Simpati buat teman yang telah berpisah setelah mempunyai anak tiga. Kasihan kepada teman yang putus ikatan pertunangannya. Bimbang melihat kekecewaannya kerana tunangnya diambil orang. Katanya ingin mengamuk. Takut-takut 'amukannya' akan mengulangi amukan Panglima Awang dalam Lagenda Lembing Awang Pulang Ke Dayang dalam sejarah Muar sekitar tahun 1776.



Diperturunkan secara ringkas kisah Awang yang pergi merantau telah meninggalkan tunangnya, Dayang selama tiga tahun. Setelah memperolehi ilmu, Awang pulang ke kampongnya di Parit Raja Muar. Alangkah terkejut dan kecewanya Awang apabila mendapat berita tunangnya akan dikahwini oleh Bachok musuhnya. Awang yang kecewa dan marah menuntut pembalasan pada hari berlangsungnya perkahwinan Bachok dan Dayang. Amukan Awang dengan lembingnya telah meragut 99 nyawa termasuklah Bachok.



Kisah Lembing Awang Pulang Ke Dayang amat popular jika pun tidak lebih popular daripada Cerita Panglima Lidah Hitam dalam kalangan masyarakat Melayu Muar. Semoga tidak ada Awang pada era moden ini yang kecewa dan mengamuk sebegitu rupa. Bersabarlah atas ketentuan takdir Illahi. Terimalah ketentuan jodoh pertemuan dan ajal maut daripadNya. Bersabarlah...








Ahad, Julai 12, 2009

Mengimbau Natrah



(Natrah dalam dokongan Che Aminah untuk ke Mahkamah, Singapura)

Natrah nama yang bagai telah dilupakan oleh sejarah. Generasi muda ada yang langsung tidak mengetahui tentangnya, meski pun suatu ketika dahulu mencatat tragedi dalam sejarah khususnya di Singapura dan Tanah Melayu. Sesungguhnya tragedi sedih yang menimpa Natrah, Che Aminah dan keluarganya serta umat Islam pada ketika itu adalah suatu takdir. Kekalahan perjuangan mempertahankan Natrah juga takdir. Kematian Natrah pada 8 Julai 2009 juga ketentuan Illahi. Namun kesedaran menjaga kepentingan umat Islam pada masa kini agar tidak berulang tragedi Natrah bukanlah suatu takdir. Ini memerlukan kesungguhan, keikhlasan dan keberanian agar ianya tidak terus menjadi 'takdir' yang menimpa umat Islam.

Nadrah Bte Maarof atau Bertha Hertogh ( 1937-2009), lahir di Tjimahi, Jawa, Indonesia. Anak kepada Adeline dan Sarjan Adrianus Petrus Hertogh berasal dari Belanda. Ketika umurnya lima tahun, Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya. Bertha dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dan diberi pendidikan Islam. Bertha dibawa ke Kemaman, Trengganu oleh Che Aminah.

Natrah yang beragama Islam kemudiannya dicari oleh bapanya yang telah dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat. Dengan bantuan banyak pihak dan rakan-rakannya maka Hertogh berjaya menemui Natrah. Maka bermula episode perebutan antara ibu peliharaan Natrah, Che Aminah dengan bapa kandungnya. Kes perebutan ini berlangsung di mahkamah. Walaupun pada awalnya mahkamah memutuskan Che Aminah berhak ke atas Natrah tetapi perbicaraan seterusnya Memihak kepada Hertogh. Natrah berkahwin dengan Cikgu Mansor Abadi dalam usia 13 tahun dan perkahwinan ini sah mengikut Hukum Syariah. Namun pada 12 Disember 1950, Natrah diarahkan diserah kepada bapanya kerana mengikut Undang-Undang Belanda, bapa berhak menentukan agama anaknya. Natrah dihantar ke Belanda dan seterusnya dijadikan Katholik. Kehidupan Natrah dikongkong dan dikawal ketat oleh polis Belanda. Kebebasannya untuk mengamalkan Islam juga terhalang dan akhirnya berkubur.

Pada tarikh ini juga maka tercetus rusuhan di Singapura dan Tanah Melayu membantah tindakan memurtadkan Natrah. Bantahan juga meletus di Karachi Pakistan. Simpati buat Natrah, kerana tekanan dan paksaan akhirnya beliau meninggalkan Islam tanpa rela hati. Kasih dan cintanya kepada suami tidak mudah padam tetapi akhirnya terputus buat selama-lamanya.


Penderitaan demi penderitaan menimpa Natrah termasuk dilaporkan menghidap penyakit mental dan sakit jantung. Beliau hidup dalam kesukaran dan tersiksa termasuk kehilangan orang tersayang. Pada 1984, Natrah meninggalkan Belanda dan menetap di Nevada, Amerika Syarikat. Beliau meninggalkan anak-anaknya di Belanda . Pernah bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan.


Pada 8 Julai 2009, Natrah dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit leukimia. Ini menamatkan suatu cerita penderitaan hidup insan yang menjadi mangsa keadaan dan percaturan insan lain.

Selasa, Julai 07, 2009

Si Tenggang, Nakhoda Manis Dan Malin Kundang Moden

Lagenda Si Tenggang, Nakhoda Manis dan Malin Kundang sinonim dengan perlakuan durhaka anak terhadap ibu. Nakhoda Tenggang anak malang yang disumpah oleh sang ibu kerana pendurhakaannya. Seisi kapalnya menjadi batu dan dikhabarkan terdampar di Bukit Treh, Muar dan Batu Caves, Selangor. Kisah tragedi pendurhakaan yang sama diceritakan berlaku di Brunei. Nakhoda Manis disumpah oleh siibu. Nakhoda Manis dan seisi kapalnya menjadi batu dan dinamakan Jong Batu. Di Padang, Sumatera Barat muncul juga lagenda pendurhakaan Malin Demang terhadap ibunya. Kapalnya juga pecah dipukul ribut dan menjadi batu digelar Batu Malin Kundang yang terdampar di Pantai Manis, Padang.


Kasihan Si Tenggang, Nakhoda Manis dan Malin Kundang. Setelah lama belayar, pulang ke kampong halaman untuk mengubat rindu. Oleh kerana malu di hadapan isteri, mereka enggan mengakui wanita tua yang telah lama menanti kepulangan mereka sebagai ibu. Siibu yang berkecil hati terguris perasaannya telah memohon kepada Allah supaya memberi balasan kepada sianak, lalu kesemuanya menjadi batu. Itu lagenda tentang tiga orang anak yang durhaka terhadap ibu. Mungkin mereka ini baik tetapi akibat satu kesilapan mereka dihukum sebegitu berat.


Pada zaman moden ini ramai anak yang bertingkah laku seperti Si Tenggang, Nakhoda manis dan Malin Kundang. Malah ada yang lebih durhaka dan zalim berbanding dengan mereka pada usia yang muda. Ramai anak-anak sekolah yang tanpa rasa bersalah menipu ibu bapa. Ada tanpa memikirkan dosa mengherdik dan menengking ibu di hadapan guru. Tidak kurang juga yang tanpa berasa malu bersoal jawab dengan ibu tanpa menghirau batasan agama dan moral.


Maka tidak hairanlah apabila dewasa mereka mengabai dan meninggalkan ibu bapa tanpa dijenguk. Ada yang mendera emosi dan fizikal ibu. Malah lebih kejam lagi ada yang tergamak membunuh ibu bapa sendiri. Mereka ini lebih kejam daripada Si Tenggang. Namun begitu berbeza dengan Si Tenggang tulen, Si Tenggang atau Malin Kundang moden yang kejam ini tidak menerima balasan dasyat dengan kadar semerta. Mungkinkah ibu-ibu Si Tenggang moden ini lebih baik dan sayangkan anak-anak mereka berbanding ibu Si Tenggang atau ibu Nakhoda Manis. Mereka tidak mahu anak-anak Si Tenggang moden ini dimurkai Allah dan menjadi batu. Jika tidak mungkin banyak kereta, rumah atau bungalow yang menjadi batu bersama Si Tenggang moden akibat sumpahan ibu yang terguris hatinya.

Ahad, Julai 05, 2009

Perpisahan Dan Budi

Pantun Perpisahan

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai

Malam ini menanam jagung
Malam esok menanam serai
Malam ini kita berkampung
Malam esok kita bercerai

Hari ini menugal jagung
Hari esok menugal jelai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai

Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Orang Aceh sedang sembahyang
Hari Jumaat tengah hari
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri

Mana Manggung, mana Periaman
Mana batu kiliran taji
Tinggal kampung tinggal halaman
Tinggal tepian tempat mandi

Bintang Barat terbit petang
Bintang Timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi?

Dian tiga lilin pun tiga
Tanglung tergantung rumah laksamana
Diam juga sabar pun juga
Ada umur tidak ke mana

Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi


Pantun Budi

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi

Banyak ubi perkara ubi
Ubi keledek ditanam orang
Banyak budi perkara budi
Budi baik dikenang orang

Lipat kain lipat baju
Lipat kertas dalam puan
Dari air menjadi batu
Sedikit tak lupa budi tuan

Jentayu burung jentayu
Hinggap di balik pokok mayang
Bunga kembang akan layu
Budi baik bilakan hilang

Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Dewa sakti melayang ke Daik
Hendak mencari Dewa Jaruga
Kalau ada budi yang baik
Sampai ke mati orang tak lupa

Baik-baik bertanam padi
Jangan sampai dimakan rusa
Baik-baik termakan budi
Jangan sampai badan binasa

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga

Pergi ke sawah menanam padi
Singgah disungai menangkap ikan
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan

Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibayar mati

Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari

Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Tuan Puteri membeli ginseng
Singgah di pasar mencari kari
Jangan ikut budaya samseng
Kelak menyesal di kemudian hari

Sabtu, Julai 04, 2009

' Belasungkawa' dan Simpati Buat Kalian...




Amat sukar untuk mencoret sesuatu sejak akhir-akhir ini. Keletihan badani dan kelesuan akal membataskan niat dan rangsangan untuk menulis. Kebekuan idea menambahkan lagi kesukaran ini.

Mendepani masalah disiplin anak-anak di sekolah menjadi kelaziman kami di sini. Memarahi, mengherdik, memujuk dan merayu menjadi wahana kami. Meski pun merotan, menggantung dan membuang sekolah antara tindakan yang diberi, pelanggaran disiplin dan perlakuan devian terus mencabar kami. Kasihan anak-anak ini. Peribadi dan perlakuan mereka diacukan oleh keadaan masa kini. Kenakalan mereka adalah tuaian pengabaian. Kekasaran dan keganasan mereka adalah manifestasi keruntuhan kekeluargaan. Protes mereka cetusan ketidakpuasan. Kehilangan tumpuan mereka adalah letusan hidup yang serba kekurangan. Nilai diri yang rendah tanda motivasi yang ketandusan. Kegagalan mereka cetusan kekurangan daya juang.

Mengunjungi kalian, dapat melihat apa yang ada. Menziarahi kalian dapat memahami situasi dan kondisi yang ada. Bertamu ke rumah kalian, setidak-tidaknya dapat menyisih prasangka yang ada. Sememangnya simpati dan bantuan mahu kami hulurkan. Namun ada ketikanya kami tidak mampu membuat segalanya. Ada ketikanya kami tiada pilihan...