Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadan Bertandang Lagi

Rasulullah saw mengajar sahabat berdoa: "Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan". Ramadan bulan yang memberi banyak keberkatan kepada hambaNya. Setiap yang memohon ampun akan diampuni, setiap yang meminta akan dipenuhi permintaannya, dan setiap yang bertaubat akan diterima taubatnya. Pada bulan Ramadan terdapat malam Al-Qadar yang lebih baik daripada seribu malam. Ramadan itu bulan sabar. Pahala sabar adalah syurga. Rezeki orang mukmin akan ditambah pada bulan ini. Terpulanglah kepada hambaNya untuk merebut kenikmatan dan kelebihan yang disediakan oleh Maha Pencipta.
Hari ini 1 Ramadan 1430H. Bersyukur kerana dapat menemui Ramadan pada kali ini, ramai insan lain yang tidak lagi diizinkan oleh Allah menikmati kemuliaan Ramadan. Mereka lebih dahulu dijemput oleh Rabbul Jalil.
Sesungguhnya tragedi sedih 1 Ramadan 1426H terpahat kekal dalam ingatan kami sekeluarga. Setiap kali menjelma subuh 1 Ramadan, ianya mengembalikan ingatan kami kepada tragedi tersebut. Selesai menunaikan solat subuh, berita sedih yang disampaikan amat merobek hati dan perasaan. Penderitaanmu amat memilukan kami. Menjadi igauan dan traumatik buat ibu tua yang kehilangan anak perempuan bongsunya dalam sekelip mata. Anak-anak yang ditinggalkan merintih pilu dan berasa kehilangan hingga kini. Saudara kandungmu memendam kesedihan dan kehilangan yang tersangat. Terasa berat ujian ini
Kami akur, janji kematian suatu yang pasti. Qada' dan Qadar diimani. Keampunan Ilahi kami pohoni. Semoga kau dalam keampunanNya. Semoga rohmu mendapat rahmat Ilahi. Semoga dihindari siksaan kubur. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solehah.
Ramadan Al-mubarak amat bermakna sekali. Semoga Ramadan kali ini dapat sempurna dilalui agar ketakwaan dapat dipertingkatkan untuk kebaikan diri. Al-fatihah...

1 ulasan:

Mohd Basiran bin Md Jamil berkata...

Bersabarlah saudaraku. Sesungguhnya kematian itu wajib berlaku ke atas setiap makhluk yang bernyawa termasuklah manusia. Cuma cara kematian itu bagaimana keadaannya, dimana, bila yang kita tidak tahu sehinggalah kematian itu benar-benar berlaku. Bersempena Ramadhan ini marilah kita bersama-sama menginsafi bahawa kematian datangnya tidak mengira waktu dan usia. Sentiasalah mengingatinya dan sentiasalah bersedia menghadapi saat ketibaannya. Selamat berpuasa dengan pengertian yang sebenarnya.