Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah melalui rencananya 'Ancaman akhbar perkauman kepada perpaduan' dalam Mingguan Malaysia, Ahad 23 Ogos 2009, mendedahkan bahawa sejak dari dahulu, laporan akhbar-akhbar perkauman ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Beliau memetik pendapat A.F.Yasin (1986), yang mengatakan sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.
Dr. Mohd Ridhuan juga menulis kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap 'menyerang' orang Melayu dan Islam. Menurut beliau lagi, walaupun kadang kala akhbar Melayu juga menulis dan menyampaikan berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus terang. Bahasa akhbar Melayu dapat difahami oleh semua warga Malaysia termasuk mereka yang berada dalam sektor persuratkhabaran Cina.
Dr Mohd Ridhuan juga menegaskan, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Beliau mencadangkan diadakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum untuk mengelakkan prasangka. Jika tidak apa yang diberitakan tidak sampai langsung kepada orang Melayu.
Jika fenomena ini benar, jika begini keadaannya, ini tidak adil kepada masyarakat Melayu. Oleh kerana tidak memahami apa yang ditulis dan dilaporkan oleh akhbar bukan Melayu, maka orang Melayu tidak mampu menjawabnya. Jika apa yang ditulis tidak benar dan menjejaskan hak orang Melayu, orang Melayu juga tidak berupaya dan berpeluang membela diri kecuali ada pihak yang peka dan mahu menjawab bagi pihak orang Melayu. Keadaan ini merupakan suatu 'advantage' kepada bukan Melayu dan 'disadvantages' bagi kaum Melayu. Ini mungkin selari dengan apa yang disuarakan oleh Dr Mohd Ridhuan di mana akhbar perkauman suka memperbesar-besarkan (mensesasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku.
Apakah yang wajar kita orang Melayu lakukan untuk membela dan mempertahankan hak dan milik kita? Kita mesti mempunyai kemampuan untuk menjawab setiap tuntutan palsu dan dakwaan songsang yang dibuat oleh akhbar perkauman dan golongan ultra kiasu ini. Mereka ini sentiasa mencari keuntungan diri dan kelompok. Menurut Dr Ridhuan, sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menguntungkan dan menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.
Sebagai orang Melayu Islam, kita tidak diajar bersikap tamak haloba, jauh sekali memungkiri janji. Kita juga dilarang sama sekali bersikap tidak rasional dan kejam kepada makhluk, apatah lagi manusia. Dr Ridhuan Tee, seorang Cina Muslim mengakui orang Melayu Islam amat terpuji kerana mempunyai toleransi yang tinggi. Ini terbukti, apabila orang Melayu bertolak ansur dan membelakangkan kepentingan kaumnya untuk menjayakan Kontrak Sosial antara masyarakat majmuk. Ini tercatat dalam sejarah negara kita yang tercinta ini.
Orang Melayu perlu mendepani cabaran akhbar perkauman ini dengan bijaksana dan bukannya bersenjatakan api perkauman. Kita perlu menjawab tuduhan, dakwaan dan tuntutan yang tidak wajar ini. Justeru itu kita perlu menguasai bahasa Mandarin agar kita boleh menjawab isu-isu perkauman oleh akhbar perkauman ini jika ianya benar-benar wujud. Kita tidak boleh berharap akhbar-akhbar ini membuat terjemahan isi kandungan akhbar mereka ke bahasa Melayu. Bersediakah mereka melakukannya atau jujurkah mereka menterjemahkannya? Demi maruah Melayu dan survival Melayu, orang Melayu perlu menguasai bahasa Mandarin. Dengan ini kita tidak akan di'buli' dan diperkotak-katikkan oleh orang-orang yang ultra kiasu serta tidak jujur dalam pembinaan perpaduan kaum dalam negara kita.
Anak-anak Melayu perlu menguasai bahasa Mandarin. Jika tidak akhbar perkauman ini akan terus berkuasa mendendangkan perjuangan tidak wajar mereka dengan berselindung di sebalik bahasa Mandarin. Usaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan dengan mengajar bahasa Mandarin untuk murid-muridnya adalah suatu langkah yang bijak. Tapi sejauhmana implimentasinya. Alternatif lain, Apa salahnya jika anak-anak kita memenuhi sekolah-sekolah SJK untuk menambahkan ilmu demi survival Melayu pada masa depan. Ketinggian ilmu, ketajaman artikulasi dan kemantapan pena merupakan senjata ampuh untuk mendepani cabaran ini. Kita jangan mudah melatah dan hilang kewarasan apabila diserang dengan provokasi yang penuh manipulasi. Jika kita melatah dan hilang kewarasan bertindak, kita pula yang akan dilabel perkauman manakala golongan ini akan mengaut sokongan dan keuntungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan