Ahad, Januari 15, 2012

Teknik Nabi Muhammad Melayan Remaja yang Rosak Akhlak

Masalah remaja rosak akhlak adalah masalah sepanjang zaman. Ini bukan masalah masa ini sahaja. Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat baik dan disukai oleh remaja yang rosak akhlak.

Pada masa ini remaja-remaja yang rosak akhlak menjauhkan diri mereka daripada golongan orang baik-baik. Salah satu faktor yang menyebabkan orang baik-baik dibenci oleh remaja yang rosak akhlak adalah disebabkan cara mereka diperlakukan oleh orang baik-baik.

Dalam rekod sejarah ada catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad melayan remaja yang rosak akhlak.
Cara bagaimana Nabi Muhammad melayan remaja yang rosak akhlak itu sangat berbeza dengan cara yang lazimnya kita gunakan.

Di bawah ini adalah salah satu catatan seperti itu:

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi remaja itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi dari situ. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggilnya supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada remaja itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.

Dalam peristiwa di atas, kesalahan remaja itu sangat berat, namun Nabi Muhammad melayan remaja itu dengan:

1. Tidak mengucapkan kata-kata yang menyebabkan remaja itu berasa malu.
2. Tidak menyebabkan remaja itu berasa dirinya seorang yang kotor dan hina.
3. Tidak memarahi remaja itu.
4. Tidak mengutuk, mengecam dan mengkritik sikapnya.
5. Tidak menyalahkan sesiapa.
6. Tidak cuba mencari punca kerosakan akhlak itu.
7. Tidak menasihatinya.
8. Tidak membodoh-bodohkannya.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad hanya membacanya ayat Quran yang kandungannya menerangkan cara-cara membersihkan diri daripada dosa.
(hadithpsikologi.blogspot.com)


Tiada ulasan: