Isnin, Jun 01, 2009

Antara Kezaliman dan Kebebalan

Keganasan dan kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) tercatat sebagai fakta sejarah bukan sahaja di Malaysia malah di dunia. Kezaliman dan keganasan Chin Peng yang mengepalai segolongan manusia komunis melakukan penyiksaan dan pembunuhan terhadap penduduk negara ini termasuk wanita dan kanak-kanak serta orang tua telah diterima kesahihannya. Tindakan Chin Peng dan pengikutnya membunuh anggota keselamatan sudah mendapat 'pengikhtirafan' umum. Matlamat Chin Peng mendokong cita-cita Komunis Antarabangsa ( Comintern ) untuk menubuhkan republik Komunis di Malaysia telah diketahui umum. Untuk mencapai matlamat itu, Chin Peng sanggup mensabotaj ekonomi negara dan menggadai maruahnya sebagai manusia. Ini juga tidak dapat dilupakan.


Tegasnya Chin Peng bukan pejuang negara. Chin Peng bukan nasionalis negara. Hakikat abadi, Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan negara. Chin Peng berjuang untuk cita-cita dan matlamat Comintern.Perjuangan Chin Peng sebenarnya bukanlah untuk membebaskan negara dari penjajahan Jepun dan British tetapi untuk memenuhi order Komunis Antarabangsa. Ini diketahui umum termasuklah murid-murid sekolah yang belajar sejarah.

Malangnya ada kebebalan dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat kita yang meminta Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan dan kasihan. Tidakkah bebal individu ini kerana membuat cadangan sebegini terhadap manusia yang pernah menjadi pemimpin kepada suatu gerakan yang berteraskan penyiksaan, keganasan dan seribu satu macam kezaliman yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana rakyat Malaysia setakat ini? Malah ramai rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan termasuk kes pemimpin Al-Maunah dijatuhkan hukuman mati, meskipun dosa mereka tidak sehebat dosa Chin Peng kepada rakyat dan negara Malaysia.

Sesungguhnya Chin Peng adalah musuh utama pejuang-pejuang Melayu yang menumpahkan keringat, darah dan air mata demi mempertahankan watan tercinta ini. Chin Peng dan konco-konconya menyebabkan penderitaan isteri yang kehilangan suami. Chin Peng dan pengikut-pengikut kejamnya menjadi penyebab kepada kesedihan dan derita anak-anak yang kehilangan bapa. Chin Peng menjadi sebab kepada kecacatan dan penderitaan berpanjangan anggota keselamatan kita. Chin Peng dan komrade-komradenya yang zalim menjadi penyebab kepada ibu bapa yang kehilangan anak-anak tercinta. Chin Peng dan tali barutnyalah yang telah mencemar maruah gadis-gadis yang tidak berdosa. Chin Penglah yang memimpin gerakan mengkhianati negara dan raja. Chin Peng dan konco-konconya juga bertindak tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Tanyalah ini kepada penduduk di Batu Pahat, Pontian, di Bahau, Sekinchan Selangor dan banyak lagi. Tanyalah kepada waris-waris patriot balai Polis Bukit Kepong? Bagaimana deritanya mereka ini.

Bagi kaum bukan Melayu, mereka juga menerima padah kezaliman Chin Peng. Mereka disiksa dan dizalimi. Ahli keluarga dibunuh terutama yang berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara seperti tragedi yang menimpa ke atas Ketua Polis Perak dan ramai lagi angota polis bukan Melayu. PKM pimpinan Chin Peng telah membakar api perkauman dalam kalangan rakyat negara ini pada zaman selepas pendudukan Jepun.

Membawa balik Chin Peng ke Malaysia merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima. Tindakan ini seolah-olah menghina perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang sejati negara kita yang cedera dan terkorban menentang penjajah serta PKM pengkhianat negara. Membenarkan Chin Peng balik bererti mempersendakan ahli keluarga dan waris pejuang-pejuang ini. Perlakuan ini samalah ertinya dengan kita memijak-mijak pusara mereka. Tindakan ini menjadikan kita manusia hipokrit dalam perjuangan menegakkan kedaulatan dan maruah diri serta negara.

Sungguh malang, apabila kezaliman masa lalu Chin Peng dan kebebalan individu-individu tertentu pada hari ini bersatu menggugat perasaan dan emosi umat Melayu yang terpendam selama ini. Mengapakah agaknya manusia yang bebal ini mencadangkan sesuatu yang mengguris hati umat Melayu dan bukan Melayu yang mempunyai sejarah hitam dengan Chin Peng dan PKM? Tidakkah terfikir jika kezaliman dan kehinaan itu menimpa di atas kepala mereka? Tidakkah bebal mereka ini?