Catatan 1 : Cabaran Kita
(Aminuddin Baki
dalam kenangan)
Hang Tuah berpesan tidak Melayu hilang di dunia! Jika Hang Tuah masih hidup, pastinya dia akan malu kerana apa yang dikatakannya tiada kepersisannya malah merupakan harapan kosong. Sememangnya bangsa Melayu itu terus wujud sehingga ke hari ini tetapi kewujudannya semakin tidak dirasai nilai dan budayanya.Melayu masa kini bukan hanya telah terhakis nilai dan budayanya tetapi juga hak kepunyaannya.
Saban hari, secara halus dan diplomatik atau secara lantang atas nama keadilan, hak kepunyaan Melayu minta dimansuhkan berdalilkan bahawa dunia global menuntut persaingan yang sihat. Atas nama keadilan, atas nama, memudahkan kerjasama dan atas nama Melayu telah mampu bersaing dengan bangsa lain maka usaha penghakisan hak istimewa Melayu semakin galak dicanangkan. Kronologi usaha penghakisan ini dapat ditonton jika kita endahkannya. Semakin lemahnya dominasi bahasa Melayu, semakin beraninya kontrak sosial dipertikam lidahkan, tulisan jawi disakiti, DEB dipertikaikan, biasiswa diiri hatikan, ekuiti bumiputera minta dimansuhkan, kedudukan Islam dan raja Melayu didebatkan, konsep ketuanan Melayu dipersendakan dan mungkin banyak lagi bakal ditampil hujahkan.
Ada ketikanya, malas dan letih rasanya memikirkan untung nasib kita ini. Lebih baik rasanya menenang dan menghiburkan hati dengan cerita-cerita Raja Lawak, Akademi Fantasia, gosip artis, Tom-Tom Bak atau, Gitu-Gitu Apek dan pelbagai jutaan cerita picisan lain. Cerita-cerita ini menyeronokkan dan tidak menghibakan hati atau menekan sanubari sehingga boleh memendekkan umur. Tetapi dalam 'kelekaan' menonton Raja Lawak, jeritan slogan " lu fikirlah sendiri ", menyedarkan diri ini. Maka mahu tidak mahu walaupun menghiba dan membebankan, kita terpaksa berkongsi kesedaran atau setidak-tidaknya berkongsi rasa tentang nasib masa depan generasi kita.
Mentelaah masa depan generasi Melayu, mari direnung apakah nasib mereka nanti? Bagaimanakah hidup mereka nanti? Mampukah mereka bersaing di bumi mereka sendiri? Adakah peringatan negarawan yang lalu akan menimpa nasib mereka: "...itik di air mati kehausan,ayam di kepuk mati kelaparan". Melayu semakin disaingi dan ditandingi. Generasi muda Melayu semakin digoda dan dinoda oleh kebobrokkan sosial. Melayu semakin sesak dengan hambatan dan pecutan ekonomi. Anak muda Melayu masih terkial-kial mengejar dan berlumba menguasai bidang-bidang profesional dalam hambatan teknologi maklumat.Semua ini menuntut kesedaran, ketabahan dan keendahan kita.
Melayu tidak pernah berniat menyakiti rakannya walaupun mereka disakiti, apatah lagi merampas hak orang lain. Melayu berpegang kukuh kepada etos setiakawan dan menghormati hak orang lain. Nilai Islam melarang perlakuan umatnya ( Melayu ) mengkhianati orang lain. Namun kita mesti berani menuntut dan mempertahankan hak kita. Orang lain terus mencengkam kukuh kepunyaan mereka dan terus berjuang menambah lebarkan milik mereka dengan mengendeng malah mempertikaikan hak Melayu. Mungkin bagi mereka apa salahnya mencuba, tiada kerugian buat diri mereka. Bukannya meluak atau mengurangkan kepunyaan sedia ada, malah jika berjaya 'hak' mereka akan bertambah dan terus bertambah, melangkaui apa yang telah dipersetujui semasa kontrak sosial pada dekad 50an dahulu.
Justeru itu, untuk hak kita yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan, perlulah kita pertahankannya. Rasanya,tiada sumbangnya dari segi nilai moral, tiada melencongnya dari aspek legalis dan tiada dosanya dari sudut hukum hakam Islam jika kita mempertahankan milik sah kita. Keadilan bukanlah pembahagian sama rata dan sama rasa. Mempertahankan hak dan kepunyaan sah kita adalah satu keadilan. Keadilan untuk generasi mendatang. Orang lain akan terus menuntut meskipun bukan milik asasi mereka. Kita perlukan semangat kia-su untuk bersaing mempertahankan hak kepunyaan kita. Kita tidak mampu terus beralah apatah lagi mengalah!
Zaman dahulu bertikar pucuk
Zaman ini bertikar mengkuang
Zaman dahulu kita dipujuk
Zaman ini kita dibuang
CATATAN 2 : ' Kami Yang Terlalu Beralah'
8 Oktober 2005
Ramadan menjenguk wajah
bagai dihempas badai gelora
mendapat khabar derita
kau terlantar tanpa kata
wajah dan tubuhmu menceritakan seribu derita
linangan air matamu seolah berbicara
kau diperlaku tanpa ehsan rasa…kami tak bisa berbuat apa
Di luar kamar suasana sugul cukup memberi cerita
ibu terpaku dengan basahan air mata
abang-abangmu kesedihan tercabar kecewa
saudara perempuanmu menangis hiba
anak-anak meratap pilu… kasihan ibu… kasihan ibu
rakan-rakan berpusu terkejut lesu
para wartawan pantas memburu cerita...
juru rawat koma
khabarnya mangsa mantan sang suami perkasa
Kami setia di sisi
mengharapkan keajaiban misteri
menaruh harapan untuk pulih kembali
meskipun sedar impian kami tipis sekali
kepada Rabbuljalil kami mengadu:
Ya Allah sembuhkanlah anakku
Ya Tuhan selamatkanlah ibu kami
Ya Allah sembuhkanlah adik kami
Ramadan terus berlalu
cabarannya bagaikan tak kami rasai
penderitaanmu lebih menguji diri
kau masih tetap begitu- membisu kaku
kami semakin pasrah dengan ketentuanNya
ibu memberi keredhaan
mengakuri qada’ dan qadarNya
ketentuan Illahi semakin pasti kini
11 Oktober 2005 menjelang dinihari
pada penghulu segala hari
sempena keberkatan ramadan ini
kau pergi membawa semua rahsia diri
derita dukamu tak kami pasti
kerana kau tak mahu kami kongsi
tak siapa tahu ceriteranya
kau tutupi dengan senyum manja
pastinya demi anak-anak tercinta
Ain, Aiman, Hakim dan Najwa
kau mahu mereka bahagia
kau mahu menghindari fitnah nista
Lewat malam anak sulungmu Nurul Ain bercerita:
tentang ais kerim yang tak sempat kau jamah rasa
tentang buah kedondong dari kampong masih di atas meja
tentang salaman akhir yang lain daripada biasa
kisah berebut dakapan ibu apabila waktu tidur tiba
kisah pelukan dan kucupan yang masih terasa
kisah pesanan azimat yang dibisik sentiasa
‘’ jadilah anak yang baik,jaga adik jika ibu tiada”
Anak bongsumu Nurul Najwa:
belum mengerti sebarang cerita
bila ditanya, katanya ibu pergi kerja
semua yang bersua dipanggil ibu jua
syukurlah dia belum tahu menjeruk rasa
jika tidak pasti lebih pilu kami yang dewasa
Segala kenanganmu kami pahatkan
belum puas hubungan darah antara kita
semoga kekal sebati dalam ingatan
tiada upaya menanggung pilu ini
wajahmu menjadi memori rinduan kami
Kepada Zat Yang Maha Esa:
kami berserah
tahlil, tasbih, tahmid dan takbir - kami zikirkan
tiada tuhan selain Allah kami tahlilkan
maha suci Allah kami tasbihkan
segala puji bagi Allah kami tahmidkan
Allah Maha Besar kami takbirkan
keampunan dan keredaanNya kami pohonkan
Istighfar kami ratibkan
lafaz Istirja’ kami ulangkan
Adikku: ( Norazmah )pemergianmu kami redhai
janji-janjiNya sememangnya pasti
kita milik hakiki Allahurabbi
kepadaNya kita semua kan kembali
hanya kau yang mendahului kami
Saat kamikan tiba jua nanti