Selasa, Januari 17, 2012

Cara Memilih sahabat

Nasihat al-Qamah: Lima cara pilih sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara : "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

"sampaikan! lah walau satu ayat" al hadis LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILL

Ahad, Januari 15, 2012

Catatan Pengorbanan...


Catatan Pengorbanan 1:

Seorang doktor mendapat panggilan kecemasan dari pihak hospital.Beliau menukar pakaian dan terus meluru ke blok pembedahan dan di
sana

menantinya ayah kepada budak yang berada dalam bilik pembedahan. Apabila si ayah melihat doktor itu, dia terus berteriak. "Kenapa
kamu

ambil masa yg lama utk datang..? Kamu tahu tak anak saya dalam bahaya sekarang ni? Kamu tidak ada rasa bertanggungjawab ke..?" Doktor

tersebut tersenyum dan berkata : " Saya minta maaf, saya berada di luar hospital dan saya datang sepantas yg mungkin selepas mendapat

panggilan kecemasan tu. Saya harap encik bertenang agar saya dapat menjalankan tugas saya." " Bertenang kamu kata! Kalau anak kamu

berada dalam bilik itu sekarang ni, bolehkah kamu bertenang.? Kalau anak kamu mati sekarang ni apa yg kamu buat?" Kata si ayah dengan

marah.Doktor tersenyum dan berkata : " Doktor tidak upaya untuk memanjangkan hayat seseorang. Insya-Allah kami akan cuba yang

terbaik
untuk membantu anak encik". " Memberi nasihat bila kita tak mengalaminya memang senang..!". Si ayah marah lagi.


Pembedahan mengambil masa beberapa jam. Tidak lama kemudian doktor tadi keluar dengan senyuman. " Alhamdulillah. Anak tuan selamat. Jika ada apa-apa sila berurusan dengan juru rawat." Doktor berlalu pergi. "Mengapakah doktor tu sombong sangat? tak bolehkah beliau tunggu sebentar. Saya ada beberapa soalan nak ditanya?" Bentak si ayah kepada juru rawat. " Anaknya baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sewaktu kami memanggilnya untuk menyelamatkan anak tuan dia sedang menguruskan pengebumian jenazah anaknya. Beliau perlu bergegas pergi untuk meneruskan urusan pengebumian tersebut." Jelas juru rawat dalam nada kesedihan.















Teknik Nabi Muhammad Melayan Remaja yang Rosak Akhlak

Masalah remaja rosak akhlak adalah masalah sepanjang zaman. Ini bukan masalah masa ini sahaja. Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat baik dan disukai oleh remaja yang rosak akhlak.

Pada masa ini remaja-remaja yang rosak akhlak menjauhkan diri mereka daripada golongan orang baik-baik. Salah satu faktor yang menyebabkan orang baik-baik dibenci oleh remaja yang rosak akhlak adalah disebabkan cara mereka diperlakukan oleh orang baik-baik.

Dalam rekod sejarah ada catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad melayan remaja yang rosak akhlak.
Cara bagaimana Nabi Muhammad melayan remaja yang rosak akhlak itu sangat berbeza dengan cara yang lazimnya kita gunakan.

Di bawah ini adalah salah satu catatan seperti itu:

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi remaja itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi dari situ. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggilnya supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada remaja itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.

Dalam peristiwa di atas, kesalahan remaja itu sangat berat, namun Nabi Muhammad melayan remaja itu dengan:

1. Tidak mengucapkan kata-kata yang menyebabkan remaja itu berasa malu.
2. Tidak menyebabkan remaja itu berasa dirinya seorang yang kotor dan hina.
3. Tidak memarahi remaja itu.
4. Tidak mengutuk, mengecam dan mengkritik sikapnya.
5. Tidak menyalahkan sesiapa.
6. Tidak cuba mencari punca kerosakan akhlak itu.
7. Tidak menasihatinya.
8. Tidak membodoh-bodohkannya.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad hanya membacanya ayat Quran yang kandungannya menerangkan cara-cara membersihkan diri daripada dosa.
(hadithpsikologi.blogspot.com)


Nabi Muhammad Tidak Mengizinkan Pedosa Berat Dikutuk

Dari satu segi, jenis-jenis kesalahan dapat dibahagikan ke dalam 2 kategori.

1. Kesalahan yang ada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan itu dibawa ke hadapan hakim. Contoh kesalahan dalam kategori ini adalah kesalahan meminum arak.

2. Kesalahan yang tiada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan tersebut tidak dibawa ke hadapan hakim.

Dalam rekod sejarah, terdapat catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak membenarkan orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan berat minum arak sekalipun daripada dikritik dan dikutuk.

Kes 1:
Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun merotan dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Kes 2:
Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawah ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila seslesai, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitabRingkasan Sahih al-Bukhari

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melarang perbuatan mengutuk pedosa berat sekalipun, apatah lagi pedosa yang lebih ringan. Alasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad adalah, apabila kita mengutuk seseorang sebenarnya kita menolong syaitan menguasai orang itu.

Apakah yang dapat kita fahami tentang kata-kata Nabi Muhammad "...
kita menolong syaitan mengusai orang itu."? Antara tafsiran yang dapat kita beri adalah orang itu akan membenci orang yang mengutuk, sedangkan si pengutuk itu adalah orang baik dan niatnya baik. Malah dia akan membenci orang-orang lain yang satu kelompok dengan si pengutuk. Sebagai contoh jika si pengutuk itu seorang ustaz, dia akan membenci semua golongan ustaz. Lebih serius lagi, dia mungkin bukan hanya membenci semua ustaz, malah dia mungkin membenci agama Islam. Dalam keadaan begitu, dengan mengutuk dia kita telah memberi kemenangan kepada syaitan.

( Dipetik : hadithpsikologi.blogspot.com )

Jumaat, Julai 02, 2010

Saat Mereka Tidur

Tidur adalah saat untuk manusia merehatkan badan dan melupakan segalakisah keperitan dan kepayahan hidup pada siang hari. Pada ketika tidur jugalah segala kepura-puraan dan sandiwara hidup ditinggalkan. Namun begitu kelenaan tidur pastinya berbeza bagi setiap insan. Ada insan yang tidurnya tidak lena diganggu oleh masalah hidup pada siang hari. Ada insan yang saban malam tidurnya dibayangi igauan rona-rona hidup. Ramai yang tidak lena beradunya kerana pada saat insan lain lena tidur, dia dihantui oleh kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan pada siang hari. Emosi kita biasanya tersentuh apabila memerhatikan insan lain terutama orang yang yang kita sayangi atau rapat dengan kita sedang tidur.

Lihatlah orang-orang yang rapat dengan kita sewaktu mereka tidur pada lewat malam. Tataplah wajah ayah dan ibu kita ketika mereka tidur? Apakah perasan kita terutama jika pada siang harinya kita telah berbuat salah kepada mereka? Bayangkan jika pada siang harinya kita baru sahaja melawan cakap mereka atau lebih teruk lagi menengking mereka. Begitu juga apakah perasaan siayah ketika menatap anak kecilnya yang sedang tidur, jika pada siang harinya anak itu telah dipukul sehingga dalam tidurnya merengek kesakitan?

Apakah pula perasaan sewaktu melihat pasangan kita nyenyak tidur sedangkan pada siang harinya kita baru bertengkar dan menengkingnya. Bagi sang suami cuba ingat kembali detik ketika isteri bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kita.

Rasailah perasaan yang bermain dalam sanubari kita apabila menatap wajah orang yang kita sayangi saat mereka tidur.

Saat Mereka Tidur


Jumaat, Jun 11, 2010

Ahad, Mei 02, 2010

) Apakah mahar perkahwinan Ali dengan Fatimah?

Daripada Ibn Abbas r.a katanya: Ketika Ali mengahwini Fatimah, Rasulullah SAW bertanya kepada beliau: “Berikanlah (sebagai mahar) sesuatu kepadanya (Fatimah).” Beliau menjawab: “Aku tidak memiliki apa-apa.” Kata baginda SAW: “Di mana perisaimu yang berat itu?”

Hadith riwayat Abu Daud, an-Nasai’e dan Ibn Hibban dalam Sahihnya.

Berdasarkan hadith ini, ternyata mahar yang diberikan oleh Ali Bin Abi Talib kepada Fatimah puteri Nabi SAW ialah sebuah perisai yang berat. Rasullullah SAW sendiri yang meminta mahar sebegitu, selepas Ali tidak memiliki apa-apa. Dakwaan menyatakan maharnya dibayar dengan dinar adalah dakwaan yang tidak tepat.

Sebahagian riwayat menyatakan bahawa perisai itu kemudiannya dijual, sebagaimana riwayat Ibn Sa’ad, Abu Ya’la dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi daripada seorang tabi’ien bernama ‘Ilba’ Bin Ahmar.

2) Berapa harga perisai itu?

Ibn Ishaq, ad-Dhiya’, al-Baihaqi dan lain-lain menceritakan kisah perkahwinan tersebut daripada Ali r.a bahawa harga perisai itu adalah 400 dirham. At-Tabrani pula meriwayatkan dalam al-Awsat dengan isnad yang hasan bahawa harganya ialah 480 dirham.

Umar Bin al-Khattab r.a pernah berkhutbah, katanya: “Ketahuilah! Janganlah kamu melampau-lampau dalam memberi mahar wanita, kerana sesungguhnya jikalau ia merupakan penghormatan di dunia ataupun ketaqwaan di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW adalah yang paling utama melakukannya (beri mahar yang melampau mahalnya). Baginda SAW tidak pernah memberi mahar kepada sesiapapun daripada isteri-isterinya dan tiada seorangpun dari kalangan puteri-puterinya yang diberi mahar lebih daripada 12 uqayyah.”Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban. Ia disahihkan oleh at-Tirmizi dan al-Hakim.

1 Uqayyah = 40 Dirham 12 Uqayyah = 480 Dirham

Oleh itu, nilai mahar Ali r.a kepada Fatimah r.a ialah sekitar 400-480 dirham. Ianya bukan dibayar dengan dinar seperti yang didakwa.

3) Apa hukum memberi mahar sebanyak itu?

Di kalangan ulama yang menggemari pemberian mahar sebanyak 480 Dirham ialah Ahmad dan Ibn Taymiyyah. Ia lebih dekat dengan jejak sunnah rasulullah SAW.

Oleh itu jika harga 1 dirham hari ini ialah sekitar RM 10.00 – RM 15.00, maka mahar yang mungkin wajar mengikut nilaian hari ini ialah kira-kira sekitar RM 4,800.00 – RM 7,200.00. Walau bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya dirham yang sebenar (fizikal) digunakan dalam urusan mahar ini. Itulah yang saya cadangkan kepada adik-adik saya yang masih belum bernikah.

Berdasarkan hasil kajian di atas, ternyata dakwaan untuk point yang pertama adalah tidak tepat. Point kedua dan seterusnya belum sempat utk dikaji. Tetapi sepatutnya pihak yang membuat dakwaan perlulah menyokong dakwaan tersebut dari mana sumber asalnya kerana ianya telah dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Apabila bercakap atau mendakwa sesuatu dari sunnah Rasulullah SAW, ianya BUKANLAH sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang hal ini dalam sebuah hadith yang mutawatir, maksudnya, "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

JAUHI SIKAP GHULU

Perbahasan sama ada dinar emas sepatutnya berketulenan 999 atau 916 bolehlah dilakukan sekiranya ianya membabitkan hanya buku-buku sejarah dan manuskrip-manuskrip lama. Tetapi apabila ianya melibatkan nama Rasulullah SAW, ia perlu disokong dengan bukti dan sumber yang sahih. Janganlah atas semangat untuk menegakkan keadilan ekonomi dan muamalat menyebabkan kita menyanggahi batas-batas yang telah ditetapkan syara'. Itu ghulu (melampau) namanya, dan Rasulullah SAW melarang kita bersikap sedemikian.

http://3.bp.blogspot.com/_bN2AVmNoVPo/S4i3Cxy9VbI/AAAAAAAAB3o/niry21byuZ8/s320/jumrah-aqabah-th-1920.jpg
Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: "Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. "(Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Lihatlah, dalam perkara yang mungkin nampak kecil (batu) itu pun, Rasulullah SAW melarang kita dari bersikap ghulu. Inikan pula satu dakwaan yang lebih besar dari itu. Justeru, berhati-hatilah. Tujuan yang murni tidak mengharuskan tindakan kita untuk berbuat sesuatu yang ghulu.

JANGAN JAJA AGAMA UNTUK YAKINKAN ORANG LAIN

Saya tidak hairan sekiranya golongan bukan Muslim menggunakan pelbagai dakwaan atas nama agama bagi melariskan produk mereka. Hal ini bukan sesuatu yang baru. Jadi tidak hairan sebahagian pengusaha BUKAN Muslim sanggup menggunapakai kata-kata para ulama', menggunakan para ustaz, mengupah ejen dikalangan kaum Muslimin, dan pelbagai taktik lain lagi kerana mereka sedar disitulah lubuk "emas". Ya, kaum Muslimin lah pengguna dan pembeli terbesar produk-produk mereka. Sehinggakan ada yang sanggup memfitnah saudara Muslimnya yang lain kerana memperjuangkan Tuannya yang BUKAN Muslim, atau mungkin memperjuangkan rezeki yang diperolehi melalui Tuannya yang BUKAN Muslim. Entahlah! Yang pastinya, pengusaha BUKAN Muslim itu sendiri pun kemungkinan tidak langsung mempercayai kata-kata ulama' yang digunapakai itu, tetapi disebabkan ianya boleh digunakan sebagai "marketing strategy" dan boleh menarik lebih ramai ustaz-ustaz untuk menjadi ejen jualan mereka, so why not?

Bagi kaum Muslimin pula, janganlah kita bertindak seperti itu. Menggunakan nama agama dan mendakwa sesuatu atas nama Rasulullah SAW sedangkan ianya tidak benar adalah sesuatu yang keji. Satu masa dahulu ada syarikat yang menjual sandal dan menyatakan ianya adalah sandal yang digunapakai oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Apabila diminta untuk memberikan dalil berkenaan hal tersebut, ianya gagal dikemukakan. Tidak salah menjual sandal, tetapi mensabitkan ianya atas nama Rasulullah SAW adalah satu jenayah yang besar di dalam Islam.

Rabu, Mac 24, 2010

Hang Tuah Munshi Gagal SPM


Saat mendebarkan telah pun berlalu. Keputusan SPM sudah diumumkan. Pelbagai reaksi diberi. Mereka yang berjaya melonjak gembira manakala yang gagal merintih kecewa. Bagi pendidik yang anak didiknya cemerlang menghela seribu kelegaan, lafaz kesyukuran kepada Pencipta Yang Penyayang. Kepada pendidik yang gagal mencipta kejayaan seribu rasa bisa menyelinap dalam sanubari hati yang penuh kekecewaan.

Segala usaha dan pahit jerih yang dikorbankan secara sendirinya ternafi. Keikhlasan pengorbanan tertimbus oleh kecundangan. Kemalasan, kurang keikhlasan, kemiskinan iltizam dan kereputan komitmen didendangkan sebagai penyebab kegagalan. Hanya diri sendiri dan sesama kami yang mengerti kesungguhan perjuangan kami di sini . Mungkin tiada siapa yang sudi memahami dan mengakuri pengorbanan kami.

Usahlah bertegang urat, berhujah debat mempertahankan hak. Kerana kita ibarat berseru di tengah padang. Kita tidak mampu membela diri kerana kita umpama kancah ditawar. Usaha dan pengorbanan kita selama ini umpama menanti orang dulu, mengejar orang kemudian. Dalam banyak situasi dan ketika kita seperti pikat kehilangan mata dan lebih mengharukan lagi kita seperti mayat ditegakkan

Walau apa pun usah bersedih dan meratap kecewa. Teruskan keikhlasan perjuangan kita. Semoga akan tiba nanti sinar kejayaan untuk kita.

Sabtu, Mac 13, 2010

Sentuhlah hati mereka dahulu...

Dalam hidup ini walau siapa pun kita, pastinya kita mendepani pelbagai masalah, cabaran, konflik dan sebagainya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita perlu menyelesaikan semua cabaran ini terutama yang melibatkan manusia. Dalam keghairahan mencapai hasrat dan hajat, kita jangan melupakan belas ihsan dan kemanusiaan kerana kita menangani isu yang melibatkan manusia. Justeru itu kita perlu bijak menggunakan kuasa pengaruh untuk memenangi hati dan perasaan insan lain. Ugutan, kekerasan dan ancaman bukanlah satu-satunya senjata untuk tujuan mencapai matlamat yang murni.

Kuasa pengaruh merupakan satu wahana yang wajar digunakan untuk menguruskan manusia. Kuasa pengaruh dapat mengubah insan mengikut keperluan dan kehendak organisasi. Dalam sejarah negara kuasa pengaruh digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menumpaskan ancaman komunis pada era Darurat. Hati dan fikiran rakyat agenda utama untuk dimenangi selain kaedah kekerasan dan kuat kuasa undang-undang.

Dalam perjuangan nabi Muhammad saw menyebarkan kesyumulan Islam dan seterusnya menguruskan negara Islam, kaedah kelembutan dan sentuhan hati digunakan. Kesannya kedegilan golongan kafir Quraisy dapat dilembutkan. Gunakanlah kuasa pengaruh dengan menyentuh hati hati mereka dan seterusya memenangi hati mereka.

Allah juga memerintahkan dua orang nabi iaitu Musa bin Imran dan Harun bin Imran supaya mendepani Firaun yang zalim dengan kata-kata yang lemah lembut. Ini direkodkan dalam Surah Taha ayat 44, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut". Jika Firaun yang maha zalim, perlu ditarbiah dengan kata-kata yang lembut, siapakah lagi yang lebih zalim atau sezalim dengan Firaun untuk ditengking atau dijerkah?

Seorang ibu dan bapa perlu menyentuh hati anak masing-masing dalam proses mendidik mereka. Guru mempunyai pengaruh ke atas anak muridnya. Ketua organisasi berpengaruh ke atas orang bawahannya. Imam mempunyai pengaruh terhadap jemaahnya sehingga mereka yakin dan sedia menurutnya dalam solat. Begitu juga individu-individu yang lain terutama pemimpin-pemimpin besar mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas pengikutnya.

Sentuhlah hati mereka dahulu, sentuhlah soft spot mereka sebelum mencapai dan menggenggam tangan mereka. Jika kelembutan dapat memenangi hati dan sokongan mereka mengapa perlu jerkahan, ugutan dan ancaman? Sentuhlah hati mereka dahulu sebelum mencapai tangan mereka....

Isnin, Mac 08, 2010

Cerminan Diri

Ketika ada kesempatan waktu untuk memuhasabah diri, mulalah memikirkan apakah kebaikan yang telah dilakukan dan apa pula keburukan yang sering menjadi amalan hidup ini. Terlalu banyak sifat-sifat amarah atau buruk yang diamalkan. Lebih menyedihkan lagi keburukan ini merangkumi apa yang disebut sebagai 'al-Kabair' ( Dosa-dosa Besar).


Rasa sombong dan besar diri sering muncul dan terjelma dalam perlakuan hidup sehari-hari. Bila mendapat pangkat dan kuasa mula berlaku 'seperti gajah masuk kampung' dan ada kalanya 'seperti merak mengigal di hutan'. Kita mula menunjukkan kepandaian dan kekuasaan kepada orang lain, sehingga seolah-olah kita ini sempurna sepanjang perkhidmatan, kehidupan dan apa sahaja yang kita lalui.

Kita kadang kala lupa bahawa beradanya kita di kedudukan sekarang mungkin atas ketentuan nasib atau atas bantuan dan simpati orang lain. Lebih sedih lagi kita mungkin berada di atas kerana kita amat mengharapkannya dan kerana kita yang meminta-minta. Kita' berusaha' menonjolkan diri untuk mendapatkan sesuatu walau pun mungkin ada orang lain yang lebih wajar. Kita mungkin berada di sini atas sebab ketuaan kita.

Jika direnung mungkin ada orang lain yang lebih berwibawa daripada kita tetapi oleh kerana ketuaan atau senioriti maka kita diangkat. Mungkin juga kita diangkat kerana telah tiba masanya, walau pun catatan sejarah kita tidak secemerlang mana. Justeru itu setelah berada di atas kita kena merenung sejarah kita. Janganlah kerana ghairah berjawatan kita lupa sejarah kekurangan dan kelemahan kita. Kita bertindak seolah-olah kita insan terbilang sejak dilahirkan, sedangkan antara kita dengan mereka mungkin tiada bezanya. Malah mungkin mereka lebih baik daripada kita. Janganlah kita bersikap umpama 'pot calling the cattle black'. Cermin-cerminlah diri kita.

Khamis, Mac 04, 2010

Kasihan Ibuku...

Lama tidak menjenguk ibu di kampung. Mungkin dekat pada ukuran jarak tetapi ada ketikanya amat sukar untuk menjenguk ibu. Secara emosi, 'berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati' tetapi ada sahaja kesibukan yang menjadi aral menghalang aku untuk kerap menjenguk ibu. Minggu lalu aku pulang menjenguk apabila menerima berita ibu diragut di dalam rumahnya sendiri. Aku bergegas pulang.

Pipi ibu lebam dan ada giginya yang tertanggal akibat tekapan kuat tangan dua lelaki ke mulutnya. Mujur ibu tidak terkejut teruk, jika tidak ini memberi kesan kepada masalah jantungnya. Ibu meluahkan rasa terkejut dan sedihnya. Aku memujuk ibu agar bersabar dan bersyukur kerana tidak mengalami perkara yang lebih buruk. Kasihan ibu...

Petang itu aku dan ibu bersembang sambil duduk di hujung dapur menghalakan pandangan kami ke kebun di belakang rumah. Ibu yang semakin pendiam rupa-rupanya banyak bernostalgia. Ketika kami bercerita tentang kisah lalu, ibu bercerita tentang reban ayam lama yang tidak lagi berpenghuni. Kata ibu, dahulu ketika abah ada, abah selalu memberi makan ayamnya. Setiap kali abah menyembelih ayam kampung untuk dibuat juadah, beliau akan menangkap tiga ekor ayam. Seekor untuk hidangan di rumah dan dua ekor untuk kakak-kakakku. Ibu begitu bernostalgik menceritakan kenangannya itu. Rupa-rupanya setelah hampir sepuluh tahun pemergian teman hidupnya, ibu masih membugar ingatannya kepada abah. Mungkin selama ini ibu bersendirian mengingati abah. Kasihan ibu.

Ibu terus bercerita pilu membawa kenangan kami kepada arwah adikku yang pergi menuruti abah lima tahun kemudiannya. Adik perempuanku ini merupakan anak bongsu dan sememangnya kesayangan ibu. Pemergiannya yang tragis memberi trauma kepada ibu hingga kini. Melihat wajah dan kerenah anak bongsu siarwah kerap kali mengingatkan ibu kepada adikku. Pada saat sebegitu ibu akan bermonolog dan beremosi. Kasihan ibu...

Sesungguhnya aku kerap rasa bersalah apabila tidak menjenguk ibu. Aku sering bimbangkan kesihatan ibu, bimbang emosinya yang ku lihat sering terganggu dengan kenangan pilu masa lalu. Tidak siapa dizinkannya menyelam seribu rasa dalam benak fikiran dan sanubarinya. Kami tidak berupaya menyelaminya apabila melihat air matanya setiap kali kami mula berbicara. Ibu menanggungnya bersendirian. Aku sukar membayangkan jika kehilangan ibu apabila tiba qadar tentuan Illahi nanti. Kasihan ibu...

Selasa, Mac 02, 2010

Sukarnya Memerah Otak...



Semakin meningkat usia semakin sukar mengingati sesuatu. Kerap kali kita merasakan yang kita tahu segala-galanya. Kita malas untuk menambah ilmu. Kita malas untuk membaca, malas menghadiri majlis ilmu atau muzakarah yang banyak disusun dan dilaksanakan di masjid-masjid atau surau. Pada hal dalam majlis ini kita hanya perlu mendengar dan mencatat dalam buku kecil. Kita mendapat ilmu yang amat berguna tanpa perlu meletihkan mata untuk membaca.

Pada suatu subuh guruku pernah melontarkan ungkapan bahawa "... sukarnya untuk memerah otak dan lebih mudah memerah santan kelapa...." Katanya lagi "... semakin tua usia kita semakin jauh dunia kita tinggalkan meski pun kita belum meninggal dunia".

Apabila direnung, sah kebenaran kata-kata ini. Semakin kita tua banyak perkara tidak lagi dapat kita lakukan atau dengan kata lain terpaksa ditinggalkan. Umpamanya makanan dan minuman telah banyak yang kita elakkan. Kita tidak lagi mampu menjalani hidup yang penuh dengan kelasakan fizikal atau yang menuntut ketahanan stamina. Semakin banyak 'pantang larang' yang terpaksa dibuat untuk meneruskan kesejahteraan hidup. Justeru itu walaupun kita belum meninggal dunia, namun semakin banyak perkara di dunia telah kita tinggalkan.

Kelanjutan usia juga membuatkan kita semakin sukar mengingati banyak perkara. Ada ramai yang sukar mengingati nama anak apatah lagi cucunya. Mungkin lebih sukar mengingati nama-nama rasul dan pelbagai hukum hakam termasuk rukun sembahyang, sunat ab'ad dan sunat haiat. Berkerut dahi dan mata memerah otak untuk mengingati sesuatu apabila diperlukan atau dipersoalkan. Inilah mungkin sebab diungkapkan lebih mudah memerah santan kelapa berbanding memerah otak.

Rabu, Februari 03, 2010

Antara Dua Dunia: Bersyukurkah Anak-Anak Kita?



" PULITZER PRIZE " winning photo taken in 1994 during the Sudan famine.The picture depicts a famine stricken child crawling towards an United Nations food camp, located a kilometer away.The vulture is waiting for the child to die so that it can eat it. This picture shocked the whole world. No one knows what happened to the child, including the photographer Kevin Carter who left the place as soon as the photograph was taken.Three months later he committed suicide due to depression.




Dua dunia berbeza. Kehidupan yang berbeza antara di Malaysia dan Sudan. Malah banyak lagi negara di Afrika. Kanak-kanak di sana hidup serba kekurangan terutama makanan dan bekalan air bersih. Kebuluran menjanjikan kematian pada bila-bila masa. Manusia sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya haiwan mungkin lebih mudah mendapatkan habuan untuk dimakan berbanding kanak-kanak yang melata. Tidak tergamak menyaksikan fizikal kanak-kanak yang menderita. Untuk sekadar mengenyangkan perut terlalu mahal nilainya buat mereka. Makanan bergizi dan enak rasa merupakan suatu ilusi buat mereka.

Bagaimana dengan anak kita. Pilihan makanan tidak terkata, kekerapan makan tidak terkira, pembaziran sudah malas hendak diucap kata. Bersyukurkah mereka?