Jumaat, Julai 02, 2010

Saat Mereka Tidur

Tidur adalah saat untuk manusia merehatkan badan dan melupakan segalakisah keperitan dan kepayahan hidup pada siang hari. Pada ketika tidur jugalah segala kepura-puraan dan sandiwara hidup ditinggalkan. Namun begitu kelenaan tidur pastinya berbeza bagi setiap insan. Ada insan yang tidurnya tidak lena diganggu oleh masalah hidup pada siang hari. Ada insan yang saban malam tidurnya dibayangi igauan rona-rona hidup. Ramai yang tidak lena beradunya kerana pada saat insan lain lena tidur, dia dihantui oleh kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan pada siang hari. Emosi kita biasanya tersentuh apabila memerhatikan insan lain terutama orang yang yang kita sayangi atau rapat dengan kita sedang tidur.

Lihatlah orang-orang yang rapat dengan kita sewaktu mereka tidur pada lewat malam. Tataplah wajah ayah dan ibu kita ketika mereka tidur? Apakah perasan kita terutama jika pada siang harinya kita telah berbuat salah kepada mereka? Bayangkan jika pada siang harinya kita baru sahaja melawan cakap mereka atau lebih teruk lagi menengking mereka. Begitu juga apakah perasaan siayah ketika menatap anak kecilnya yang sedang tidur, jika pada siang harinya anak itu telah dipukul sehingga dalam tidurnya merengek kesakitan?

Apakah pula perasaan sewaktu melihat pasangan kita nyenyak tidur sedangkan pada siang harinya kita baru bertengkar dan menengkingnya. Bagi sang suami cuba ingat kembali detik ketika isteri bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat kita.

Rasailah perasaan yang bermain dalam sanubari kita apabila menatap wajah orang yang kita sayangi saat mereka tidur.

Saat Mereka Tidur


Jumaat, Jun 11, 2010

Ahad, Mei 02, 2010

) Apakah mahar perkahwinan Ali dengan Fatimah?

Daripada Ibn Abbas r.a katanya: Ketika Ali mengahwini Fatimah, Rasulullah SAW bertanya kepada beliau: “Berikanlah (sebagai mahar) sesuatu kepadanya (Fatimah).” Beliau menjawab: “Aku tidak memiliki apa-apa.” Kata baginda SAW: “Di mana perisaimu yang berat itu?”

Hadith riwayat Abu Daud, an-Nasai’e dan Ibn Hibban dalam Sahihnya.

Berdasarkan hadith ini, ternyata mahar yang diberikan oleh Ali Bin Abi Talib kepada Fatimah puteri Nabi SAW ialah sebuah perisai yang berat. Rasullullah SAW sendiri yang meminta mahar sebegitu, selepas Ali tidak memiliki apa-apa. Dakwaan menyatakan maharnya dibayar dengan dinar adalah dakwaan yang tidak tepat.

Sebahagian riwayat menyatakan bahawa perisai itu kemudiannya dijual, sebagaimana riwayat Ibn Sa’ad, Abu Ya’la dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi daripada seorang tabi’ien bernama ‘Ilba’ Bin Ahmar.

2) Berapa harga perisai itu?

Ibn Ishaq, ad-Dhiya’, al-Baihaqi dan lain-lain menceritakan kisah perkahwinan tersebut daripada Ali r.a bahawa harga perisai itu adalah 400 dirham. At-Tabrani pula meriwayatkan dalam al-Awsat dengan isnad yang hasan bahawa harganya ialah 480 dirham.

Umar Bin al-Khattab r.a pernah berkhutbah, katanya: “Ketahuilah! Janganlah kamu melampau-lampau dalam memberi mahar wanita, kerana sesungguhnya jikalau ia merupakan penghormatan di dunia ataupun ketaqwaan di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW adalah yang paling utama melakukannya (beri mahar yang melampau mahalnya). Baginda SAW tidak pernah memberi mahar kepada sesiapapun daripada isteri-isterinya dan tiada seorangpun dari kalangan puteri-puterinya yang diberi mahar lebih daripada 12 uqayyah.”Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban. Ia disahihkan oleh at-Tirmizi dan al-Hakim.

1 Uqayyah = 40 Dirham 12 Uqayyah = 480 Dirham

Oleh itu, nilai mahar Ali r.a kepada Fatimah r.a ialah sekitar 400-480 dirham. Ianya bukan dibayar dengan dinar seperti yang didakwa.

3) Apa hukum memberi mahar sebanyak itu?

Di kalangan ulama yang menggemari pemberian mahar sebanyak 480 Dirham ialah Ahmad dan Ibn Taymiyyah. Ia lebih dekat dengan jejak sunnah rasulullah SAW.

Oleh itu jika harga 1 dirham hari ini ialah sekitar RM 10.00 – RM 15.00, maka mahar yang mungkin wajar mengikut nilaian hari ini ialah kira-kira sekitar RM 4,800.00 – RM 7,200.00. Walau bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya dirham yang sebenar (fizikal) digunakan dalam urusan mahar ini. Itulah yang saya cadangkan kepada adik-adik saya yang masih belum bernikah.

Berdasarkan hasil kajian di atas, ternyata dakwaan untuk point yang pertama adalah tidak tepat. Point kedua dan seterusnya belum sempat utk dikaji. Tetapi sepatutnya pihak yang membuat dakwaan perlulah menyokong dakwaan tersebut dari mana sumber asalnya kerana ianya telah dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Apabila bercakap atau mendakwa sesuatu dari sunnah Rasulullah SAW, ianya BUKANLAH sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang hal ini dalam sebuah hadith yang mutawatir, maksudnya, "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

JAUHI SIKAP GHULU

Perbahasan sama ada dinar emas sepatutnya berketulenan 999 atau 916 bolehlah dilakukan sekiranya ianya membabitkan hanya buku-buku sejarah dan manuskrip-manuskrip lama. Tetapi apabila ianya melibatkan nama Rasulullah SAW, ia perlu disokong dengan bukti dan sumber yang sahih. Janganlah atas semangat untuk menegakkan keadilan ekonomi dan muamalat menyebabkan kita menyanggahi batas-batas yang telah ditetapkan syara'. Itu ghulu (melampau) namanya, dan Rasulullah SAW melarang kita bersikap sedemikian.

http://3.bp.blogspot.com/_bN2AVmNoVPo/S4i3Cxy9VbI/AAAAAAAAB3o/niry21byuZ8/s320/jumrah-aqabah-th-1920.jpg
Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: "Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. "(Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Lihatlah, dalam perkara yang mungkin nampak kecil (batu) itu pun, Rasulullah SAW melarang kita dari bersikap ghulu. Inikan pula satu dakwaan yang lebih besar dari itu. Justeru, berhati-hatilah. Tujuan yang murni tidak mengharuskan tindakan kita untuk berbuat sesuatu yang ghulu.

JANGAN JAJA AGAMA UNTUK YAKINKAN ORANG LAIN

Saya tidak hairan sekiranya golongan bukan Muslim menggunakan pelbagai dakwaan atas nama agama bagi melariskan produk mereka. Hal ini bukan sesuatu yang baru. Jadi tidak hairan sebahagian pengusaha BUKAN Muslim sanggup menggunapakai kata-kata para ulama', menggunakan para ustaz, mengupah ejen dikalangan kaum Muslimin, dan pelbagai taktik lain lagi kerana mereka sedar disitulah lubuk "emas". Ya, kaum Muslimin lah pengguna dan pembeli terbesar produk-produk mereka. Sehinggakan ada yang sanggup memfitnah saudara Muslimnya yang lain kerana memperjuangkan Tuannya yang BUKAN Muslim, atau mungkin memperjuangkan rezeki yang diperolehi melalui Tuannya yang BUKAN Muslim. Entahlah! Yang pastinya, pengusaha BUKAN Muslim itu sendiri pun kemungkinan tidak langsung mempercayai kata-kata ulama' yang digunapakai itu, tetapi disebabkan ianya boleh digunakan sebagai "marketing strategy" dan boleh menarik lebih ramai ustaz-ustaz untuk menjadi ejen jualan mereka, so why not?

Bagi kaum Muslimin pula, janganlah kita bertindak seperti itu. Menggunakan nama agama dan mendakwa sesuatu atas nama Rasulullah SAW sedangkan ianya tidak benar adalah sesuatu yang keji. Satu masa dahulu ada syarikat yang menjual sandal dan menyatakan ianya adalah sandal yang digunapakai oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Apabila diminta untuk memberikan dalil berkenaan hal tersebut, ianya gagal dikemukakan. Tidak salah menjual sandal, tetapi mensabitkan ianya atas nama Rasulullah SAW adalah satu jenayah yang besar di dalam Islam.

Rabu, Mac 24, 2010

Hang Tuah Munshi Gagal SPM


Saat mendebarkan telah pun berlalu. Keputusan SPM sudah diumumkan. Pelbagai reaksi diberi. Mereka yang berjaya melonjak gembira manakala yang gagal merintih kecewa. Bagi pendidik yang anak didiknya cemerlang menghela seribu kelegaan, lafaz kesyukuran kepada Pencipta Yang Penyayang. Kepada pendidik yang gagal mencipta kejayaan seribu rasa bisa menyelinap dalam sanubari hati yang penuh kekecewaan.

Segala usaha dan pahit jerih yang dikorbankan secara sendirinya ternafi. Keikhlasan pengorbanan tertimbus oleh kecundangan. Kemalasan, kurang keikhlasan, kemiskinan iltizam dan kereputan komitmen didendangkan sebagai penyebab kegagalan. Hanya diri sendiri dan sesama kami yang mengerti kesungguhan perjuangan kami di sini . Mungkin tiada siapa yang sudi memahami dan mengakuri pengorbanan kami.

Usahlah bertegang urat, berhujah debat mempertahankan hak. Kerana kita ibarat berseru di tengah padang. Kita tidak mampu membela diri kerana kita umpama kancah ditawar. Usaha dan pengorbanan kita selama ini umpama menanti orang dulu, mengejar orang kemudian. Dalam banyak situasi dan ketika kita seperti pikat kehilangan mata dan lebih mengharukan lagi kita seperti mayat ditegakkan

Walau apa pun usah bersedih dan meratap kecewa. Teruskan keikhlasan perjuangan kita. Semoga akan tiba nanti sinar kejayaan untuk kita.

Sabtu, Mac 13, 2010

Sentuhlah hati mereka dahulu...

Dalam hidup ini walau siapa pun kita, pastinya kita mendepani pelbagai masalah, cabaran, konflik dan sebagainya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita perlu menyelesaikan semua cabaran ini terutama yang melibatkan manusia. Dalam keghairahan mencapai hasrat dan hajat, kita jangan melupakan belas ihsan dan kemanusiaan kerana kita menangani isu yang melibatkan manusia. Justeru itu kita perlu bijak menggunakan kuasa pengaruh untuk memenangi hati dan perasaan insan lain. Ugutan, kekerasan dan ancaman bukanlah satu-satunya senjata untuk tujuan mencapai matlamat yang murni.

Kuasa pengaruh merupakan satu wahana yang wajar digunakan untuk menguruskan manusia. Kuasa pengaruh dapat mengubah insan mengikut keperluan dan kehendak organisasi. Dalam sejarah negara kuasa pengaruh digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menumpaskan ancaman komunis pada era Darurat. Hati dan fikiran rakyat agenda utama untuk dimenangi selain kaedah kekerasan dan kuat kuasa undang-undang.

Dalam perjuangan nabi Muhammad saw menyebarkan kesyumulan Islam dan seterusnya menguruskan negara Islam, kaedah kelembutan dan sentuhan hati digunakan. Kesannya kedegilan golongan kafir Quraisy dapat dilembutkan. Gunakanlah kuasa pengaruh dengan menyentuh hati hati mereka dan seterusya memenangi hati mereka.

Allah juga memerintahkan dua orang nabi iaitu Musa bin Imran dan Harun bin Imran supaya mendepani Firaun yang zalim dengan kata-kata yang lemah lembut. Ini direkodkan dalam Surah Taha ayat 44, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut". Jika Firaun yang maha zalim, perlu ditarbiah dengan kata-kata yang lembut, siapakah lagi yang lebih zalim atau sezalim dengan Firaun untuk ditengking atau dijerkah?

Seorang ibu dan bapa perlu menyentuh hati anak masing-masing dalam proses mendidik mereka. Guru mempunyai pengaruh ke atas anak muridnya. Ketua organisasi berpengaruh ke atas orang bawahannya. Imam mempunyai pengaruh terhadap jemaahnya sehingga mereka yakin dan sedia menurutnya dalam solat. Begitu juga individu-individu yang lain terutama pemimpin-pemimpin besar mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas pengikutnya.

Sentuhlah hati mereka dahulu, sentuhlah soft spot mereka sebelum mencapai dan menggenggam tangan mereka. Jika kelembutan dapat memenangi hati dan sokongan mereka mengapa perlu jerkahan, ugutan dan ancaman? Sentuhlah hati mereka dahulu sebelum mencapai tangan mereka....

Isnin, Mac 08, 2010

Cerminan Diri

Ketika ada kesempatan waktu untuk memuhasabah diri, mulalah memikirkan apakah kebaikan yang telah dilakukan dan apa pula keburukan yang sering menjadi amalan hidup ini. Terlalu banyak sifat-sifat amarah atau buruk yang diamalkan. Lebih menyedihkan lagi keburukan ini merangkumi apa yang disebut sebagai 'al-Kabair' ( Dosa-dosa Besar).


Rasa sombong dan besar diri sering muncul dan terjelma dalam perlakuan hidup sehari-hari. Bila mendapat pangkat dan kuasa mula berlaku 'seperti gajah masuk kampung' dan ada kalanya 'seperti merak mengigal di hutan'. Kita mula menunjukkan kepandaian dan kekuasaan kepada orang lain, sehingga seolah-olah kita ini sempurna sepanjang perkhidmatan, kehidupan dan apa sahaja yang kita lalui.

Kita kadang kala lupa bahawa beradanya kita di kedudukan sekarang mungkin atas ketentuan nasib atau atas bantuan dan simpati orang lain. Lebih sedih lagi kita mungkin berada di atas kerana kita amat mengharapkannya dan kerana kita yang meminta-minta. Kita' berusaha' menonjolkan diri untuk mendapatkan sesuatu walau pun mungkin ada orang lain yang lebih wajar. Kita mungkin berada di sini atas sebab ketuaan kita.

Jika direnung mungkin ada orang lain yang lebih berwibawa daripada kita tetapi oleh kerana ketuaan atau senioriti maka kita diangkat. Mungkin juga kita diangkat kerana telah tiba masanya, walau pun catatan sejarah kita tidak secemerlang mana. Justeru itu setelah berada di atas kita kena merenung sejarah kita. Janganlah kerana ghairah berjawatan kita lupa sejarah kekurangan dan kelemahan kita. Kita bertindak seolah-olah kita insan terbilang sejak dilahirkan, sedangkan antara kita dengan mereka mungkin tiada bezanya. Malah mungkin mereka lebih baik daripada kita. Janganlah kita bersikap umpama 'pot calling the cattle black'. Cermin-cerminlah diri kita.

Khamis, Mac 04, 2010

Kasihan Ibuku...

Lama tidak menjenguk ibu di kampung. Mungkin dekat pada ukuran jarak tetapi ada ketikanya amat sukar untuk menjenguk ibu. Secara emosi, 'berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati' tetapi ada sahaja kesibukan yang menjadi aral menghalang aku untuk kerap menjenguk ibu. Minggu lalu aku pulang menjenguk apabila menerima berita ibu diragut di dalam rumahnya sendiri. Aku bergegas pulang.

Pipi ibu lebam dan ada giginya yang tertanggal akibat tekapan kuat tangan dua lelaki ke mulutnya. Mujur ibu tidak terkejut teruk, jika tidak ini memberi kesan kepada masalah jantungnya. Ibu meluahkan rasa terkejut dan sedihnya. Aku memujuk ibu agar bersabar dan bersyukur kerana tidak mengalami perkara yang lebih buruk. Kasihan ibu...

Petang itu aku dan ibu bersembang sambil duduk di hujung dapur menghalakan pandangan kami ke kebun di belakang rumah. Ibu yang semakin pendiam rupa-rupanya banyak bernostalgia. Ketika kami bercerita tentang kisah lalu, ibu bercerita tentang reban ayam lama yang tidak lagi berpenghuni. Kata ibu, dahulu ketika abah ada, abah selalu memberi makan ayamnya. Setiap kali abah menyembelih ayam kampung untuk dibuat juadah, beliau akan menangkap tiga ekor ayam. Seekor untuk hidangan di rumah dan dua ekor untuk kakak-kakakku. Ibu begitu bernostalgik menceritakan kenangannya itu. Rupa-rupanya setelah hampir sepuluh tahun pemergian teman hidupnya, ibu masih membugar ingatannya kepada abah. Mungkin selama ini ibu bersendirian mengingati abah. Kasihan ibu.

Ibu terus bercerita pilu membawa kenangan kami kepada arwah adikku yang pergi menuruti abah lima tahun kemudiannya. Adik perempuanku ini merupakan anak bongsu dan sememangnya kesayangan ibu. Pemergiannya yang tragis memberi trauma kepada ibu hingga kini. Melihat wajah dan kerenah anak bongsu siarwah kerap kali mengingatkan ibu kepada adikku. Pada saat sebegitu ibu akan bermonolog dan beremosi. Kasihan ibu...

Sesungguhnya aku kerap rasa bersalah apabila tidak menjenguk ibu. Aku sering bimbangkan kesihatan ibu, bimbang emosinya yang ku lihat sering terganggu dengan kenangan pilu masa lalu. Tidak siapa dizinkannya menyelam seribu rasa dalam benak fikiran dan sanubarinya. Kami tidak berupaya menyelaminya apabila melihat air matanya setiap kali kami mula berbicara. Ibu menanggungnya bersendirian. Aku sukar membayangkan jika kehilangan ibu apabila tiba qadar tentuan Illahi nanti. Kasihan ibu...

Selasa, Mac 02, 2010

Sukarnya Memerah Otak...



Semakin meningkat usia semakin sukar mengingati sesuatu. Kerap kali kita merasakan yang kita tahu segala-galanya. Kita malas untuk menambah ilmu. Kita malas untuk membaca, malas menghadiri majlis ilmu atau muzakarah yang banyak disusun dan dilaksanakan di masjid-masjid atau surau. Pada hal dalam majlis ini kita hanya perlu mendengar dan mencatat dalam buku kecil. Kita mendapat ilmu yang amat berguna tanpa perlu meletihkan mata untuk membaca.

Pada suatu subuh guruku pernah melontarkan ungkapan bahawa "... sukarnya untuk memerah otak dan lebih mudah memerah santan kelapa...." Katanya lagi "... semakin tua usia kita semakin jauh dunia kita tinggalkan meski pun kita belum meninggal dunia".

Apabila direnung, sah kebenaran kata-kata ini. Semakin kita tua banyak perkara tidak lagi dapat kita lakukan atau dengan kata lain terpaksa ditinggalkan. Umpamanya makanan dan minuman telah banyak yang kita elakkan. Kita tidak lagi mampu menjalani hidup yang penuh dengan kelasakan fizikal atau yang menuntut ketahanan stamina. Semakin banyak 'pantang larang' yang terpaksa dibuat untuk meneruskan kesejahteraan hidup. Justeru itu walaupun kita belum meninggal dunia, namun semakin banyak perkara di dunia telah kita tinggalkan.

Kelanjutan usia juga membuatkan kita semakin sukar mengingati banyak perkara. Ada ramai yang sukar mengingati nama anak apatah lagi cucunya. Mungkin lebih sukar mengingati nama-nama rasul dan pelbagai hukum hakam termasuk rukun sembahyang, sunat ab'ad dan sunat haiat. Berkerut dahi dan mata memerah otak untuk mengingati sesuatu apabila diperlukan atau dipersoalkan. Inilah mungkin sebab diungkapkan lebih mudah memerah santan kelapa berbanding memerah otak.

Rabu, Februari 03, 2010

Antara Dua Dunia: Bersyukurkah Anak-Anak Kita?



" PULITZER PRIZE " winning photo taken in 1994 during the Sudan famine.The picture depicts a famine stricken child crawling towards an United Nations food camp, located a kilometer away.The vulture is waiting for the child to die so that it can eat it. This picture shocked the whole world. No one knows what happened to the child, including the photographer Kevin Carter who left the place as soon as the photograph was taken.Three months later he committed suicide due to depression.




Dua dunia berbeza. Kehidupan yang berbeza antara di Malaysia dan Sudan. Malah banyak lagi negara di Afrika. Kanak-kanak di sana hidup serba kekurangan terutama makanan dan bekalan air bersih. Kebuluran menjanjikan kematian pada bila-bila masa. Manusia sukar mendapatkan makanan. Sebaliknya haiwan mungkin lebih mudah mendapatkan habuan untuk dimakan berbanding kanak-kanak yang melata. Tidak tergamak menyaksikan fizikal kanak-kanak yang menderita. Untuk sekadar mengenyangkan perut terlalu mahal nilainya buat mereka. Makanan bergizi dan enak rasa merupakan suatu ilusi buat mereka.

Bagaimana dengan anak kita. Pilihan makanan tidak terkata, kekerapan makan tidak terkira, pembaziran sudah malas hendak diucap kata. Bersyukurkah mereka?




Ahad, Januari 17, 2010

ADAB BERDEBAT DAN BERDIALOG

ADAB BERDEBAT DAN DIALOG


Debat dan dialog adalah diskusi antara dua orang atau lebih untuk menyelesaikan permasalahan atau perselisihan yang timbul. Pada umumnya semua perlakuan dan acara dalam hidup ini perlu mempunyai etika untuk dipegang sebagai perkara dasar dalam gerakan kita. Selari dengan itu etika untuk berdebat dan berdialog perlu diketahui dan dipatuhi supaya tidak terjadi perselisihan dalam menyelesaikan masalah yang ada. Etika ini perlu kita hormati agar kita dapat menghormati orang yang kita lawan bicara dan khalayak ramai yang ada. Tidak kurang pentingnya kita perlu mematuhi etika ini agar orang lain akan menghormati kita sebagai insan yang profesional, sabar dan rasional.

LURUSKAN NIAT; MENCARI KEREDHAAN ALLAH DAN MEMBELA KEBENARAN.

Inilah adab pertama yang mesti dipegang dalam diskusi dan dialog yang kita lakukan kerana mencari redha Allah dan mendapatkan kebenaran. Perdebatan bukan untuk mencari kemenangan atau ingin dipuji oleh manusia. Hendaklah kita patri dalam lubuk hati bahawa perdebatan atau dialog adalah menyampaikan kebenaran kepada lawan bicara kita dan khalayak yang ada. Mencari dan membela kebenaran serta membasmi segala kebathilan.

JUJUR DAN JAUHI KEDUSTAAN
Jujur adalah akhlak yang mulia. Hujah yang kita lontarkan mestilah benar-benar nyata dan ada kesahihannya. Apabila kedua belah pihak yang berdialog berpegang dengan landasan yang kuat, maka dialognya akan lebih membuahkan hasil yang diharapkan. Sebaliknya apabila kita berdialog tanpa fakta dan ilmu, tidak menguasai isu pokok yang diperselisihkan, bukan mustahil kebenaran akan dikalahkan oleh kebatilan, karena lemahnya orang yang menyampaikan kebenaran tersebut.

BERDEBAT PADA PERMASALAN YANG BERMANFAAT
Hendaklah debat yang kita lakukan pada permasalahan yang penting dan mendesak, bukan pada masalah yang tidak bermanfaat. Sebagai contoh berdebat tentang apakah yang lebih dahulu diciptakan, telur atau ayam? Semua ini harus ditinggalkan karena tidak membawa manfaat.

MENAHAN DIRI DARI BEREMOSI
Perkara ini sering diabaikan oleh orang yang berdialog. Bahkan pada umumnya kedua belah pihak saling beremosi, baik yang membawa panji kebenaran mahupun pihak yang satu lagi. Yang benar, hendaklah menampakkan nada kelembutan dalam berdebat. Menggunakan kalimat yang baik sepanjang debat. Seperti memanggil lawan bicara dengan panggilan yang sopan.

TAMPAKKAN RASA CINTA DAN PERSAUDARAAN SEBELUM, KETIKA DAN SETELAH BERDEBAT.LEMBUT DAN SABAR DALAM DIALOG
Hal ini perlu diperhatikan. Hendaklah kedua pihak yang berdebat saling berlaku lembut dan sabar dalam berdialog. Tidak tergesa-gesa dalam menyanggah, hingga menjawab tanpa akal dan beremosi belaka. Perlu sedia mendengar pandangan dan luahan bicara orang yang kita lawan bicara. Sedia mendengar hujah lawan bicara atau dialog dengan sabar dan tenang. Jauhi meninggi dan melantangkan suara. Akhiri debat dengan kemesraan dan semangat persaudaran

KEMBALI KEPADA KEBENARAN.AKHIRI DEBAT APABILA LAWAN BICARA TERUS BERKERAS.
Mengalah dan berundurlah dari arena debat apabila lawan bicara terus berkeras kepala. Berundur bukan bererti kalah. Jika berlanjutan debat yang sebegini akan membawa permusuhan, rasa benci, marah, emosi yang tidak terkendali. Hingga tujuan asal debat atau dialog akan menyempang dan tidak tercapai. Disinilah perlunya pandangan yang tajam dalam menilai lawan bicara. Apabila kita teruskan debat tidak ada manfaatnya, segara tamatkan pembicaraan dan beri nasihat tentang tujuan asal dialog.

Inilah adab berdialog yang harus diketahui sebelum seseorang mencari kebenaran melalui jalan perdebatan atau dialog.

Khamis, Januari 14, 2010

Pemimpin Sejati

Ramai pemimpin dan negarawan mengaku berjuang dan berkorban untuk negara dan umatnya. Namun benarkah mereka begitu ketulusan hatinya? Mereka mungkin secara lahiriah ketika memimpin begitu bersemangat dan patriotik sifatnya. Rakyat menyanjung dan memujanya atau mungkin takutkannya. Ada detiknya kejujuran dan ketulusan ini pasti menjelma. Saat kematian kerap menjadi saksi keikhlasan dan ketulusan perjuangan.

Sejarah mencatatkan kehebatan Napoleon Bonaparte. Pahlawan terkenal, singa Peranchis gelaran disebar. Tiada ketakutan ketika memimpin soldadu di medan perang. Bendera Peranchis keagungannya, negara dan bangsa Peranchis kecintaannya. namun akhirnya ditangkap, tersingkir ke Pulau Elba yang kecil dan terpencil.Pengakhiran hayatnya bukan negara, atau bangsanya, jauh sekali rakyatnya menjadi ingatan tetapi nama Josephine kekasihnya diulang-ulang jadi sebutan.

Begitu juga, Adolf Hitler Fuhrer menjadi kegerunan. Tenungan matanya yang tajam petanda darah pasti mengalir. Tundingan telunjuknya bererti ratusan ribu manusia akan menjadi korban gas beracunnya. Teriakan mulutnya bererti ledakan ratusan bom penghancur dan pembawa kehuru-haraan. Kesombongan Hitler sering menobatkan kemuliaan bangsanya kaum Aria. Mendabik dada sebagai penentu maut dan malapetaka. Namun apabila ditewaskan menjadi kerdil bersembunyi di sebuah gua di kota Berlin. Membunuh diri sendiri sehingga terlupa Swastika kebanggaannya. Jauh sekali menyebut negara dan bangsa yang konon dicintai. Eva Braun kekasih hatinya diucapkan sebelum menembak sendiri dirinya.

Berbeza dengan Muhammad, pemimpin besar, nabi dan kekasih Allah. Kehadirannya tidak diwarnai dengan kesombongan, kezaliman kebanggaan. Datangnya membawa rahmat ke sekelian alam. Saat kewafatannya bukan isteri tercinta atau anak kesayangan Fatimah atau cucu tersayang yang menjadi sebutan tetapi "Umatku! Umatku! Umatnya adalah keutamaan sebelum pemergiannya. Cinta kepada umatnya menjadi sebutan menjelang detik kewafatannya.

Inilah beza antara pemimpin sesama pemimpin. Inilah beza pemimpin yang penuh keimanan dengan pemimpin penuh kekufuran.

Mengapa Dikocak Air Yang Tenang?

Mengapakah dalam hidup ini kita sering menggugat suasana harmoni dan tenteram yang telah kita bina dan nikmati. Mengapakah kita sering meminta dan menuntut sesuatu yang boleh mengeruhkan keharmonian yang ada. Mengapakah kita mencalarkan kedamaian hidup beragama dengan meminta sesuatu yang mengguris hati dan perasaan orang lain. Mengapakah kita menyalakan rasa marah orang lain sehingga mencetuskan sesuatu yang tidak baik untuk kehidupan bersama. Mengapakah kita suka meniupkan api kemarahan dan kebencian yang tidak sepatutnya. Pentingkah apa yang dituntut itu berbanding dengan nilai sebuah keharmonian yang susah payah kita bina selama ini? Berbaloikah tuntutan itu ?

Mengapakah dikocak air yang tenang? Apakah kita jenis makhluk yang tidak sukakan ketenangan, keharmonian dan kedamaian? Sesuatu yang sememangnya baik mengapa perlu dikocak dan dikacau. Sistem sosial yang sudah berjalan lancar dan harmoni, mengapa perlu diganggu gugat? Umpama rumah tangga yang sedang harmoni, apakah perlu dikocak apatah lagi dibadaikan sehingga nantinya sukar untuk dikemudikan ke landasan yang betul. Apakah tiada kepuasan hidup, jika kita tidak membuat angkara atau musibah. Mengapakah kita perlu menjadi pengacau dan pengguris hati insan lain termasuk sahabat,jiran atau orang yang rapat dengan kita.

Tidak kira apa alasannya, tidak kira apa justifikasinya, tidak kira atas nama apa sekali pun, mengapa dikocak air yang tenang?

Jumaat, Disember 25, 2009

Ada Ketikanya Pada Saat itu

Dalam perjalanan hidup ini, kita pastinya berharap dan berdoa akan sentiasa diberi kesenangan, kebahagiaan, keseronokan, kesihatan dan kejayaan serta apa sahaja kegembiraan. Kita kerap berharap dan berdoa agar dihindari daripada perkara-perkara keburukan, kegagalan, kesedihan dan apa sahaja tragedi.

Analogi hidup ini umpama suatu perjalanan, pastinya ada ketikanya kita terpaksa menempuh halangan atau tragedi. Begitu juga dalam perjalanan kehidupan ini kita akan diduga dengan pelbagai musibah, tragedi dan dugaan dalam pelbagai bentuk seperti kemalangan, kehilangan, kematian, kegagalan dan pelbagai lagi.

Kita sentiasa berdoa diberi keselamatan dan kesihatan, kita sering meminta kepada Allah semoga dipanjangkan umur diri, keluarga dan akrabin kita. Kita sering merayu kepadaNya agar dijauh bala bencana, kita sering bermohon dan merintih untuk mendapatkkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Ada ketikanya apa yang kita usaha, apa yang kita pinta, apa yang kita pohon dan apa yang kita rayu tidak dimakbulkan malah sebaliknya yang diberikan kepada kita. Umpamanya kita didatangi oleh kematian orang tersayang, Tragedi ditimpakan kepada keluarga kita atau segala usaha dan doa untuk kejayaan dibalas dengan kegagalan. Pada saat itu, kita dan keluarga pastinya bersedih dah kecewa. Kita tentunya menangisi tragedi yang menimpa.

Pada saat itu kita perlukan kekuatan dan ketabahan semampu yang ada. Kita perlukan motivasi untuk bangkit semula. Kita jangan terus-terusan mengikut rasa. Kita perlukan penawar sebagai pengubat kecewa. Islam telah menyediakan lafaz istirja' sebagai doa penawar duka. Allah menjanjikan kebaikan di sebalik tragedi yang menimpa.

" Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepadaNya.
Ya Allah berikanlah ganjaran kepadaku kerana musibah yang
menimpaku ini dan gantikan kepadaku yang lebih baik daripadanya".

Ahad, Disember 20, 2009

Sombong bongkak

Sombong dan bongkak termasuk dalam nafsu amarah. Secara mudah sombong membawa maksud megah, berbangga diri dan berasa diri kita sahaja terbaik . Sifat bongkak mendorong kita memandang rendah orang lain. Orang lain dilihat hina dan kita lebih mulia berbanding insan lain.

Guruku bercerita gambaran sikap bongkak:

Dalam sebuah kampung ada seorang tua yang mencari rezeki mengayuh perahu. Kerja ini telah dilakukannya berpuluh-puluh tahun. Pada suatu hari muncul seorang pemuda yang berkelulusan tinggi menumpang sampannya untuk pergi ke seberang. Dalam perjalanan mereka, pemuda itu bertanya berapa lama orang tua itu sudah mengayuh perahu. Orang tua itu menjawab sudah berpuluh tahun. Pemuda itu terkejut lalu menyatakan sia-sia kehidupan orang tua itu kerana tidak menggunakan usianya untuk menimba ilmu dan mencari kehidupan lebih baik. Tersentak orang tua pengayuh perahu mendengar kata-kata pemuda terpelajar tersebut. Tiba-tiba ombak datang memukul dan memecahkan perahu mereka. Pemuda itu menjadi cemas dan ketakutan. Lalu orang tua itu bertanya adakah beliau pernah belajar berenang dan pandai berenang? Pemuda itu menjawab tidak. Lalu berkata sipengayuh perahu kepada pemuda itu, " sia-sialah hidup kamu".

Pesan guruku lagi:

Kita sesama insan wajib menghindari sikap sombong dan bongkak. Kita perlu saling hormat-menghormati. Orang muda menghormati orang tua kerana ketuaannya, ilmunya, pengalamannya dan amalnya. Orang tua menghormati orang muda kerana ilmunya dan kemudaannnya serta belum banyak dosanya. Orang miskin menghormati orang kaya kerana amal jariah dan sedekahnya yang banyak. Orang kaya menghormati orang miskin kerana keringanan dihisab pada hari kiamat nanti. Insan muslim mesti menghormati yang bukan muslim kerana jika mereka memeluk Islam lalu mati mereka suci dan bersih dari dosa masa lalu. Manakala kita yang muslim, jika mati dalam keadaan tidak muslim azab neraka yang maha dasyat menanti.

Sekadar Renungan



Tahun baru Islam (Maal Hijrah) baru menjelang. Umat Islam berpusu-pusu ke masjid untuk menyertai majlis membaca doa akhir dan awal tahun. Memohon kebaikan untuk tahun baru ini, dijauhkan dari sifat-sifat yang tercerca dalam hidup ini. Antara keburukan yang mohon dijauhi ialah nafsu amarah yang di dalamnya terkandung sepuluh sifat termasuk bakhil, sombong bongkak, hasad dengki, angan-angan yang panjang dan tamak haloba.


Antara nafsu, syaitan dan pemungkar
Dalam banyak hadis nabi, nafsu amarah adalah musuh yang pertama, kedua ialah syaitan dan ketiga adalah pemungkar . Asas hujah ini ialah jika insan tidak dapat melawan nafsu amarah ia tidak akan dapat mengalahkan syaitan dan seterusnya tidak akan dapat menghalang kemungkaran.
Diceritakan kisah seorang yang alim cuba menebang sebatang pokok yang menyebabkan penduduk sebuah kampung mensyirikkan Allah. Dalam perjalanan untuk menebang pokok itu beliau bertemu syaitan yang menghalang tindakan itu. Semasa berlawan dengan syaitan ini, beliau berjaya mengalahkan syaitan lalu syaitan menawarkan sejumlah wang yang akan diberi kepada orang alim ini pada setiap hari. Ini memudahkan beliau beribadat tanpa perlu memikirkan untuk mencari nafkah. Orang alim ini bersetuju. Justeru itu pada setiap hari, syaitan akan meletakkan wang di bawah tikar sembahyang orang alim ini. Setiap hari selepas solat subuh, didapati ada wang di bawah tikar sembahyangnya. Namun begitu pada suatu hari apabila beliau melihat di bawah tikarnya, tidak ada lagi wang diletakkan. Beliau begitu marah kepada syaitan lalu mengangkat kapaknya untuk menebang semula pokok yang menjadi sembahan penduduk kampung. Dalam perjalanan beliau bertemu lagi dengan syaitan dan berlaku pergelutan. Pada kali ini orang alim ini tewas lalu beliau bertanya kepada syaitan mengapakah syaitan dapat menewaskannya dengan mudah. Maka berkata syaitan bahawa pada kali pertama dahulu, orang alim ini mahu menebang pokok kerana Allah tetapi pada kali ini bukan kerana Allah tetapi kerana wang. Oleh itu Allah tidak menolong beliau.


Jelas bahawa orang alim ini tidak dapat melawan nafsunya. Akhirnya syaitan tidak dapat ditewaskan dan kemungkaran tidak dapat dicegah.

Ahad, Disember 06, 2009

Cerita Judi

Judi atau perjudian merupakan aktiviti yang lahir sejak lama dahulu. Pada zaman jahiliyah, judi merupakan ceritera utama kehidupan. Kedatangan syiar Islam, mengharamkan judi. Larangan ini banyak disebut di dalam Al-Quran dan diperingatkan berkali-kali tentang keburukan berjudi. Judi antara 70 dosa besar ( Al-Kabair). Firman Allah yang bermaksud; "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, korban untuk berhala dan menilik nasib menggunakan batang anak panah itu adalah perbuatan keji daripada perbuatan-perbuatan syaitan, maka jauhilah daripadanya mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan" ( Al-Maidah:90 ).

Sejak kecil banyak pesanan oleh ustaz dan guru agar tidak berjudi, berlaku syirik, meminum arak dan berzina. Ibu juga turut berpesan hal yang sama hampir kerap kali. Berbagai bentuk judi dapat dilihat sejak kecil ku hingga dewasa ini. Sebarang bentuk permainan yang melibatkan pertaruhan dikatakan judi termasuk laga ayam dan seumpamanya. Main mahjong, lumba kuda,cabutan loteri, empat nombor ekor dan toto terang-terangan adalah judi.

Jika telah ketagih judi atau gila judi, manusia kadang kala hilang kewarasan. Sewaktu kecil dulu, ku lihat ada orang yang meminta nombor ekor daripada insan yang tidak siuman. Apa sahaja empat nombor yang disebut oleh orang tidak siuman tersebut akan dibeli/ditikam oleh manusia yang siuman itu. Lalu aku terfikir siapakah yang sebenarnya tidak siuman? Ini belum lagi cerita tentang orang yang memuja kubur, pokok, keramat dan sebagainya untuk mendapatkan nombor ekor. Ada juga orang yang kemaruk mencari barangan lama seperti keris, lembing, pending dan sebagainya untuk digunakan bagi tujuan menurun nombor ekor. Mereka ini hilang kewarasan dan keimanan kepada Allah. Dosa bukan sahaja atas perbuatan judi tetapi perlakuan syirik kepada Allah swt.

Segolongan yang lain pula gila bermain terup, mahjong, membeli nombor ekor dan toto. Mereka ini sibuk menganalisis nombor yang telah dan akan keluar. Lupa tentang dunia dan hilang rasa malu terhadap masyarakat. Mereka yang beragama Islam juga tidak menjaga imej dan maruah Islam dari kaca mata bukan Islam. Mereka yang ketagih terup dan mahjong tanpa segan silu bermain bersama-sama rakan kongsi bukan Islam. Mereka yang membeli nombor ekor dan toto, tanpa berasa malu dan bersalah masuk ke kedai nombor ekor bersama-sama rakan bukan Islam. Walau pun ada tindakan dari pihak berkuasa agama Islam, itu bukan halangan bagi penagih judi ini. Malah ada yang masuk ke kedai nombor ekor dengan berkopiah putih sehingga menyebabkan pembeli nombor ekor beragama Islam yang lain lari lintang pukang menyangkakan pegawai penguatkuasa agama membuat serbuan. Ini menimbulkan kelucuan disebalik kemungkaran dan dosa yang dilakukan.

Banyak lagi cerita-cerita noda dan lucu tentang judi dan penjudi. Lebih berat lagi adalah cerita disebalik perbuatan berjudi itu. Ini terutamanya tentang penderitaan yang dihadapi oleh keluarga penjudi terutama isteri dan anak-anak. Ada yang menjadi papa dan melarat. Hutang berkepuk, rumah dan kereta tergadai. Lebih menyedihkan anak dan isteri ada juga yang 'tergadai' bersama dengan tergadainya maruah penagih judi itu tadi.

Sabtu, Disember 05, 2009

Kita Berbeza

Kita hidup pada abad ke-21. Hidup dalam sebuah negara yang aman dan sejahtera. Ekonomi kita lebih makmur berbanding banyak negara jiran lain. Kita mudah meraih pendapatan untuk terus hidup dalam situasi yang lebih baik dan selesa. Ramai orang luar menyabung maut dan bergadai nyawa untuk mencari kemakmuran hidup di negara kita. Mereka akhirnya mampu hidup selesa di bumi ini berbanding dengan kita. Antara kita sesama kita pun banyak perbezaannya. Bukan berbeza agama, berbeza kepercayaan, berbeza warna kulit dan berbeza saiz mata yang ingin diperkatakan tetapi berbeza kerajinan dan semangat juang.

Ramai antara kita yang mempunyai susuk tubuh yang sasa, kesihatan yang baik dan akal yang waras tetapi tidak berupaya memperjuangkan masa depan diri dan keluarga. Kita mengeluh dan merintih meminta simpati orang lain. Kita merintih tidak berupaya membayar persekolahan anak termasuk yuran PIBG dan membeli buku. Walaupun banyak bantuan yang telah dihulurkan, kita kadang kala merintih dan terus merintih. Kita tidak gigih berusaha untuk membela nasib sendiri. Kita tidak kisah dengan nasib anak dan isteri. Isteri yang teruk berjuang memerah keringat dan akal untuk membela nasib keluarga. Berkerut dan berkedut wajah isteri memikirkan nasib anak dan diri sendiri. Ada yang melahirkan zuriat saban tahun sebagai tanda 'kasih sayang dan ketaatan' kepada suami walau pun sedar beban tanggungan yang bertambah menanti. Akibat kepayahan dan tekanan hidup, isteri berwajah lebih tua berbanding usianya. Manakala suami terus tidak memikirkan nasib anak isteri kecuali nafsu sendiri, walaupun Islam tidak mengajar sebegini.


Orang lain pula berbeza dengan kita. Mereka berusaha tanpa banyak merintih. Perniagaan besar-besaran terus dimonopoli. Mereka yang berpendapatan kecil terus berusaha menambah pendapatan. Suami gigih memerah tenaga membela masa depan keluarga. Isteri dan anak-anak turut membantu. Mereka merebut segala peluang dan ruang yang ada. Begitu terkesan di hati melihat warga tua yang tidak mengenal erti 'pencen' terus mencari rezeki dengan memungut barang-barang berguna di dalam tong-tong sampah untuk dijual. Tersentuh hati dan perasaan melihat ibu membawa anak-anak kecilnya menjual surat khabar di tepi jalan pada waktu malam. Sianak sabar menunggu sambil membaca buku tanpa banyak ragam dan karenah sedang anak-anak lain mungkin seronok menonton tv atau dibuai mimpi. Mereka ini terus menghimpun dan melonggok kekayaan. Sabar menunggu di lampu isyarat dan bertali arus melintas jalan menjual salinan keputusan nombor ekor atau toto. Menabung dan menyimpan untuk masa depan. Pelbagai polisi insurans dibeli untuk pelajaran, kesihatan, hospital, kemalangan dan hayat sebagai jaminan kehidupan.

Sesungguhnya kita berbeza pandangan masa depan. Kita berbeza etos dan worldview kehidupan. Kita berbeza semangat dan kegigihan untuk mendepani hidup yang penuh cabaran. Kita banyak berbeza meskipun punya ruang dan peluang yang seimbang.