Khamis, Februari 26, 2009

Kadangkala Aku Letih


Menjalani hidup ini, melunaskan tanggungjawab dan menggalas beban rutin harian, ada saatnya memang meletihkan. Setiap hari menjalankan tugas yang hampir sama, menempuh cabaran dan 'ancaman' yang berulang, masalah yang tidak berpenamat, kadangkala ini membuatkan aku letih. Kadangkala aku penat, ada ketikanya akal fikiranku bagaikan terhenti untuk berfikir, ada masanya aku hanya bertindak balas kepada masalah yang datang dan kadangkala aku bagai tidak sempat merancang. Aku letih menjalani hidup ini.


Kadangkala aku letih. Timbul rasa ingin bertukar angin. Aku ingin menyambung pelajaranku ke pengajian sarjana kedoktoran. Ada kalanya aku ingin menumpu kepada bidang keagamaan, mendalami ilmu tauhid, meningkatkan mutu pengajian Al-quran dan mengikuti kelas-kelas fardu ain. Ingin rasanya aku menumpukan perhatian kepada ibuku, kepada keluargaku di kampung. Amat kurang masaku untuk mereka sekarang ini.


Aku letih. Rasanya ingin aku meninggalkan ketegangan tugas ini. Aku tidak ingin memarahi dan mengherdik saban hari. Aku ingin menjadi insan yang banyak berzikir dan bukannya yang banyak luahan amarah. Aku ingin berperilaku lembut dan bukan perilaku kasar. Di sini, aku tidak bisa memenuhi impian ini.


Kadangkala aku letih. Di sini bagai sukar pelangganku untuk berubah. Di sini kurasa bagai tiada perubahan. Di sini aku terus cuba memenuhi kepuasan. kadangkala aku letih di sini.

Sabtu, Februari 21, 2009

Lupa Diri dan Narsisistik

Manusia hidup di muka bumi ini tidak selalunya bernasib baik dan berkeuntungan. Ada saatnya kita berada dalam kemewahan, keselesaan, kejayaan atau punya kekuasaan. Ada ketikanya kita akan dilanda kedukaan, ditimpa malang atau kehilangan. Ada detiknya kesedihan menjenguk ketika sedang dalam kebahagiaan, umpamanya kehilangan orang yang disayangi secara tiba-tiba, diberhentikan kerja ketika sedang menikmati pendapatan yang lumayan atau hilang kedudukan tanpa diduga.
Kita perlu mempunyai kesedaran tentang hakikat hukum alam. Ketika menikmati kenikmatan, kebahagiaan, kekayaan, kejayaan atau apa sahaja yang menyeronokkan, maka kita perlu bersederhana dan tidak keterlaluan. Lumrahnya apabila kita mempunyai kuasa, kekayaan atau kejayaan, kita kerap lupa daratan. Ada segolongan yang kaya lupa tanggungjawab sosial dan agama kepada yang kekurangan. Golongan yang berjaya memandang sinis kepada yang gagal. Kerap kali ketika berkuasa kita memandang rendah orang bawahan. Mereka disindir dan diperli tanpa memikir keadaan. Mereka dihiris hati dilukai perasaan. Soal maruah tidak dipandang.
Lebih menyedihkan ada insan yang mengangkat dan memuja diri dan keluarga keterlaluan, orang lain seolah-olah tiada kelebihan. Insan yang kaya memperagakan kekayaannya keterlaluan. Kumpulan yang berjaya mencanang kejayaannya tanpa batasan. Individu yang berkuasa berlagak bagaikan dialah tokoh paling berintegriti dan berkeupayaan. Sehingga ada ketikanya seolah-olah melupakan kelemahan dan kekurangan diri yang menjadi sejarah silam.
Untuk lebih adil kepada diri dan orang lain pada saat ini dan masa mendatang, kebijaksanaan tindakan perlu menjadi landasan. Jangan nanti kita menjadi korban akibat tersilap langkah dan percaturan. Semalam mungkin disanjung dan dijulang, esok lusa mungkin tidak lagi dikenang. Masa depan kita tidak kepastian dan ketentuan.

Selasa, Februari 17, 2009

'Setelah Lama Tak Kunjung'


AL-FATIHAH

Semalam aku sememangnya keletihan. Bangkit tidur jam 5.30 pagi, solat subuh, menghantar anak ke sekolah dan terus ke tempat bertugas. Jam 1.00 petang balik ke rumah untuk mandi dan solat zohor, lalu bergegas menghadiri mesyuarat jam 2.00 petang dan berlanjutan hingga jam 7.00 malam. Terus pulang ke rumah untuk mandi, solat maghrib dan sempat bersalaman dengan isteri dan anak kecilku lalu berkejar menjalankan tugas sambilanku di Parit Raja dan balik ke rumah jam 11.00 malam. Lewat jam 12.00 malam selepas mandi dan solat isya', aku terus masuk tidur walaupun isteri sedang sibuk melipat pakaian.


Lewat jam 3.00 pagi aku terkejut dari tidur, kerana 'kunjungan' kau yang telah lama tidak muncul dalam tidurku. Kau memanggil aku dengan panggilan biasamu iaitu " Cik". Kau menegurku dan bertanya mengapakah aku telah lama tidak menjenguk kau. Panggilan " Cik" kali kedua inilah yang telah membangkitkan aku dari tidur ini. Aku beristighfar, atas kunjungan ini. Aku rasa bersalah kerana tersedar dari mimpi ini keranaku rasakan ada sesuatu yang ingin kau sampaikan. Mimpi ini tidak dapatku sambung meskipun beberapa kali ku cuba memejamkan mata ini.


Adikku, tahun ini masuk 40 tahun usiamu dan telah 4 tahun pemergianmu. Pemergianmu senentiasa ku ingati terutama tiap kali selepas solat. Aku terima takdir Illahi tetapi kadang kala aku tidak dapat menahan perasan kerana kau sahajalah adikku. Kita berdua rapat sejak zaman anak-anak. Terlalu banyak kita berkongsi kenangan terutama semasa meniti hidup di usia kanak-kanak, berkongsi keseronokan di zaman persekolahan dan berkongsi tanggung jawab, menempuh suka duka bersama menjelang kedewasaan kita. Memori paling menghibakan aku, apabila suatu ketika, aku memarahi kau kerana tidak dapat menunjukkan kedai untuk mengisar bahan-bahan bagi membuat kuih-muih menjelang aidil fitri. Ketika itu kau dan aku masih bersekolah rendah. Aku terlalu penat waktu itu terutama terpaksa membonceng kau di belakang basikal tua abah. Sebenarnya peristiwa ini sentiasa berputar dalam ingatan ini dan amatku kesali sejak sebelum pemergianmu lagi. Maafkan aku.


Masalah dan penderitaan yang kau alami terutama menjelang saat pemergian mengejutmu paling menyiksa diriku termasuk semua ahli keluarga kita. Hingga saat ini, ada tikanya aku rasa begitu rindukan kau. Ada saatnya aku kecewa kerana gagal membantumu walaupun telah beberapa kali mencuba. Aku sebenarnya terlalu ingin melihat kau dan aku dewasa dan tua bersama. Aku berharap aku yang mendahuluimu menemui Illahi. Aku sentiasa menahan kesedihan ini dan mewajahkan hidup ini dengan wajah-wajah kehidupan biasa dan bersahaja. Ini kerana aku lelaki. Ini kerana keluarga kita dan kerana aku menerima takdir dan ketentuanNya. Al-Fatihah.

Sabtu, Februari 14, 2009

' Padang Kita ' : Dedikasi Buat Cikgu Di .....

Guru, lebih mesra dan rendah diri disapa sebagai 'cikgu' mengisbatkan satu tugas yang amat mulia. Dalam Islam cikgu juga diberi pelbagai gelaran yang sinonim dengan kemuliaan tugas itu. Cikgu digelar 'Al-Mu'allim' (menyampaikan ilmu yang benar). Ada ketikanya disebut ' Al-Murabbi' (menjayakan tarbiah). Masyarakat menyanjungnya sebagai 'Al-Muaddib' (pengajar adab dan budi pekerti mulia). Dalam melahirkan pemimpin cikgu digelar 'Al-mursyid' (membentuk kepimpinan insan). Setiap detik dihargai sebagai seorang 'Al-Mudarris' (menitipkan pelajaran dan kemahiran).
Panggilan atau gelaran-gelaran ini amat menusuk kalbu dan begitu syahdu apabila diterima oleh setiap insan bernama guru. Begitu mulia rasanya manusia guru ini. Terlalu tinggi rasanya pengikhtirafan manusia di muka bumi ini kepada cikgu. Begitu kudus rasanya insan guru ini dan seribu satu rasa yang agung dan mulia bergelora di dalam diri setiap insan guru. Begitu ideal rasanya insan yang berjuang sebagai cikgu.
Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah perlakuan dan pembawaan diri murid-murid yang bergurukan cikgu-cikgu yang digelarkan itu tadi. Bagaimanakah agaknya kesopanan dan kerendahan diri murid-murid dan ibu bapanya apabila berhadapan dengan Al-murabbi, Al-muallim, Al-muaddib, Al-mursyid atau Al-mudarris ini?
Tetapi di padang ini, itu semua bagai bukan milik kita cikgu. Medan perjuangan kita mungkin lebih bergelora berbanding medan perjuangan Al-murabbi atau Al-muallim. Padang permainan dan pertandingan kita mungkin lebih beronak semalu dari padang permainan Al-muaddib atau Al-mursyid. Cabaran kita mungkin jauh lebih getir dari cabaran Al-mudarris. Pendakian kita mungkin jauh lebih mencabar dari mereka.

Bagaimana kasarnya bahasa yang ditujukan buat cikgu. Ketidak sopanan yang melampau sebagai balasan atas teguran cikgu. Keburukan sahsiah dan personaliti yang sentiasa mencabar guru. Tiada penghargaan terima kasih dan rasa syukur atas ajaran guru. Banyak lagi cabaran getir sentiasa menunggu guru. Ibu dan bapa ada masanya tanpa silu mengaibkan guru. ' Terima kasih cikgu' sukar diseru. Andai tidak bernasib baik, cikgu menjadi seteru.

Justeru itu lupakanlah dahulu impian dinobat sebagai Al-muallim, Al-murabbi, Al-muaddib, Al-mursyid atau Al-mudarris. Atau mungkin lupakan terus semuanya itu dari kamus harapanmu cikgu. Jika tidak dimaki atau ditengking oleh murid itu satu keuntungan. Jika tidak disindir tawakan setiap kali keputusan peperiksaan keluar satu penghargaan. Jika tidak diseranah oleh ibu bapa satu kebanggaan. Jika pelajar menuruti arahan dan permintaanmu ianya detik kelegaan. Jika diucap ' terima kasih cikgu' ianya satu kebesaran. Andai usaha dan pengorbanan cikgu dimengerti dan dihargai, itu satu kesyukuran.
Guru oh guru!
Inilah nilai pengorbanan yang perlu kau bayar kerana memilih kerjaya mulia ini. Inilah medan perjuangan yang telah kau renangi sama ada rela atau tidak. Janganlah kau berjuang dengan kebosanan dan kejemuan. Janganlah kau mengajar dengan penuh kelesuan. Usahlah kau kesal kerana 'dipilih' bermain di padang ini. Janganlah kau merintih kerana disasarkan di medan ini. Di sini, jika pun padang kita sama dengan orang lain namun belalangnya berbeda. Di sini, kita sebenarnya lebih tabah dan gagah daripada Al-murabbi atau Al-muaddib.



Jumaat, Februari 13, 2009

Melayu dan Metafizika: Jangan Rosakkan generasi Kita

Dan ( ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". ( Luqman:13). Dalam Surah Al-Ikhlas, Allah berfirman dengan maksudnya " Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat"( Al-ikhlas:2). " Dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya ( al-Ikhlas:4).
Ini antara peringatan-peringatan Allah kepada kita hambanya, supaya tidak bergantung apatah lagi menyengutukanNya sama ada secara niat, perkataan atau perbuatan. Namun begitu pada abad ke-21 ini, umat Melayu yang beragama Islam seolah-olah cuba dikembalikan kepada zaman hidup era sebelum pemantapan syiar Islam dimana epistimologi metafizika menjadi pegangan masyarakat Melayu. Kebergantungan kepada institusi perbomohan dan pawang berakar umbi. Kepercayaan kepada kuasa ghaib dan puaka menghantui hidup umat Melayu.
Sejak akhir-akhir ini media elektronik terutama televisyen banyak menayangkan filem seram yang bercorak pemujaan, penggunaan ilmu hitam dan puaka. Ini dikesan bermula dengan drama bersiri .... Pengusaha filem pula berlumba-lumba menghasilkan filem yang memaparkan kuasa ghaib dan ilmu hitam seperti ... dan beberapa cerita yang seumpamanya. Ini ditambah lagi cerita-cerita yang memaparkan kekuasaan objek tertentu seperti ... dan tidak cukup dengan itu diimport dari seberang cerita kekuasaan pari-pari melalui ....
Cerita-cerita ini amat menarik minat anak-anak yang membatu di hadapan peti televisyen setiap hari. Jika tidak dikawal atau diperjelaskan oleh ibu bapa boleh membawa kepada pemesongan akidah, umpamanya meminta pari-pari membantu ketika dalam kesusahan atau pemujaan dan penggunaan ilmu hitam seperti dalam drama ... atau filem ....
Amat menyedihkan ketika berada pada era Teknologi Maklumat dan ketika kita berusaha memperhebatkan pemantapan Islam di negara ini, kita berpatah balik ke zaman kepercayaan dan amalan lampau kita. Jika pun benar dahulu kita amat popular dan handal dengan unsur-unsur metafizika tetapi pada masa kini elok rasanya kita tidak mengelirukan pemikiran dan menyesatkan akidah generasi muda kita. Biarlah kita, generasi yang lalu sahaja mengalami, 'mengamal' atau 'berbangga' dengan unsur-unsur kepercayaan ini. Biarlah generasi muda yang tidak pernah terdedah dengan unsur-unsur ini bebas daripada kekhurafatan ini. janganlah kita hitamkan hati atau merosakkan akidah mereka dengan unsur-unsur metafizika yang tidak relevan lagi pada abad ini.
Mengapakah kita suka membesar-besar atau mendedahkan perkara-perkara yang tidak berfaedah malah merugikan generasi Islam kita. Mengapakah kita seolah-olah kabur akal budi 'menghitamkan' hati anak-anak kita dengan kerja-kerja penghasilan filem yang bermodalkan idea khurafat ini selain hanya bertujuan mengaut untung laba .Mengapakah kita mengelirukan anak-anak kita dengan unsur-unsur yang menimbulkan syak dan secara keras ditegah oleh Allah di dalam Al- Quran.
Jika kita hendak meluahkan kreativiti kita sebagai penerbit dan pengusaha filem, lakukanlah penghasilan filem yang konstruktif dan menyumbang kepada pembelaan agama. Jika kita mahu khalayak penonton Islam berfikir melalui filem yang dihasilkan, hasilkanlah filem yang membina minda dan tidak mengeliru serta menggugat akidah terutama kepada umat Islam yang lapisan imannya tidak seteguh para ulama. Kita bimbang anak-anak kita yang ilmu agama dan imannya selapis kulit bawang akan terpesong akidahnya, walaupun pada akhir tayangan drama atau filem diukirkan antara bunyinya " kepada insan yang melakukan kesalahan bersegeralah bertaubat". Bukankah mengelakkan kekeliruan dan kesalahan itu lebih baik daripada melakukan taubat.
Dalam hal ini; Jangan Pandang belakang!

Ahad, Februari 08, 2009

Melayu Oh Melayu!



Kegawatan ekonomi masih belum mampu diatasi. Kini pemimpin-pemimpin gawat lagi dengan 'politiking' berebut kuasa. Semasa berkuasa tidak menguruskan kekuasaan politiknya dengan baik dan sepakat. Sesama sendiri umpama tidak punya prinsip yang sihat. Lompat-melompat dan rajuk-merajuk sudah menjadi sifat. Mana lagi hendak dicari pemimpin yang mempunyai prinsip budiman dan berdarjat serta berpegang kepada kata sepakat?

Semasa berkuasa dahulu, bukan Melayu heboh dikatakan diberi lebih keuntungan dan faedah. Umpamanya syarat pemberian tanah yang semakin mudah? Hingga ramai Melayu bersuara membantah dan menyanggah. Ironinya, kini Melayu juga yang bagai berhisteria garang menyanggah. Sibuk berarak dan 'mengamuk' di jalanan. Sanggup berlari tunggang langgang, berlutut dan berbaring di jalanan. Orang yang lebih berkeuntungan bagai tidak kelihatan.

Melayu bagai hilang pertimbangan dan kewarasan. Dalam banyak ketika dan keadaan, berjuang tanpa kepastian tujuan. Melayu sesama Melayu 'bertempur' di jalanan. Manusia yang hilang kawalan emosi dan berdemonstrasi adalah Melayu, polisnya juga Melayu dan raja-raja juga sudah pastinya Melayu. Mengapakah Melayu bertindak sedemikian, sedangkan orang lain lebih rasional dan bijak menghitung tindakan. Siapakah yang mungkin sedang bergelak ketawa melihat perlakuan kita?

Lebih malang lagi, Melayu sendiri bagai membuka ruang dan peluang untuk orang lain tidak memandang sultan. Melayu sendiri 'mengajar' orang lain supaya berani mencabar institusi sultan. Dahulu, jika bukan Melayu mencuit institusi raja dan sultan kita menyinga dan membela bukan kepalang, tapi kini kita yang melakukan secara terang-terang. Hipokritkah kita? Kita bukan mahu persis sepenuhnya mengikut waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun tetapi hormatilah institusi raja kita. Menegur dan bertindaklah dengan bijaksana. Jika bukan kita siapa lagi yang akan menjunjungnya.

Melayu oh Melayu! bertindaklah dengan waras dan bijaksana. Jika menjadi pemimpin, jadilah pemimpin yang bijaksana dan budiman. Jika jadi pengikut, mengikutlah dengan bijaksana dan budiman. Malang sekali sewaktu aman dan makmur kita masih ketinggalan dan kerugian manakala ketika dilanda krisis dan konflik kita jugalah yang menderita dan terkorban. Janganlah waktu negara makmur kita hanya sibuk bersorak tapi banyak yang tergadai dan waktu bersengketa kita jugalah yang menjadi arang dan abunya.

Melayu oh Melayu!

Ahad, Februari 01, 2009

Jangan Runtuhkan Apa Yang Ada

Hampir masuk minggu kedua isu kematian suspek curi kereta A. Kugan disiarkankan di dada-dada akhbar. Takziah buat keluarga mendiang atas pemergian orang yang dikasihi. Berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul. Walau apa pun, mereka perlu bersabar dan tabah menghadapi tragedi ini. Yang pergi tetap pergi manakala yang masih hidup perlu meneruskan kehidupan ini. Bukan sahaja keluarga mendiang Kugan perlu terus tabah menjalani hidup ini tetapi kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik mesti terus mengekalkan keharmonian hidup kita.
Justeru itu janganlah kita runtuhkan apa yang yang telah kita ada iaitu keharmonian yang telah kita bina sekian lama terutama selepas Peristiwa 13 mei 1969 dengan menyemarakkan unsur-unsur perkauman. Berilah pihak berkuasa terutama polis menjalankan tugas dan amanah yang dipikulnya untuk mencari kebenaran di sebalik kematian Kugan. Berilah mereka peluang dan ruang menjalankan penyiasatan dan pembuktian yang sahih tentang kes ini. Biarlah kes jenayah jika ianya benar berlaku diuruskan secara prosedur jenayah. Janganlah kes dan isu ini bersemarak dan melencong mengheret masyarakat kita ke kancah perkauman. Amat membimbangkan jika ini berlaku mungkin tidak ada mahkamah yang dapat menyelesaikannya seperti sejarah 13 Mei 1969 itu.
Sebagai warganegara yang rata-rata berpendidikan dan rasional, janganlah kita bergerak dan bertindak atas sentimen emosi. Belajarlah daripada sejarah konflik etnik di negara kita sejak zaman penguasaan Bintang Tiga, Zaman Darurat, Peristiwa 13 mei 1969 dan beberapa isu etnik kebelakangan ini. Sesungguhnya konflik dan rusuhan etnik tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan semua pihak. Janganlah kita menambahkan beban kegawatan ekonomi pada waktu ini dengan kegawatan politik atau sosial. Janganlah kita membazir masa, tenaga dan wang untuk membetul dan membina semula perpaduan setelah berlakunya runtuhan akibat sesuatu konflik. Lebih baik kita bertindak bijak dengan menghindar konflik dan menerus serta memantapkan lagi kerangka perpaduan yang telah kita bina agar ianya menjadi lebih lengkap.
Setelah berdekad-dekad lamanya kita menghadapi cabaran sebelum dan selepas merdeka, kita sewajarnya menjadi warga negara yang matang, bijak, sabar dan waras terutama apabila menghadapi isu-isu yang mungkin melibatkan etnik kita. Usahlah kita gadai nilai keamanan dan keharmonian kita dengan perkara-perkara yang ada jalan penyelesaiannya. Janganlah sentimen etnik atau agama membunuh kewarasan kita. Janganlah kita runtuhkan apa yang kita ada. Ingatlah betapa sukar pemimpin dan orang-orang yang sebelum kita berusaha dan berkorban membinanya. Jika kita tidak sangup atau tidak berupaya menjadi penyumbang keharmonian janganlah pula kita menjadi penumbangnya.

Sabtu, Januari 31, 2009

Ibuku Pernah ' Berbohong'



Hari ini masuk usiaku 43 tahun. Lewat malam aku duduk mengenang dan memuhasabah diri. Ketika ini juga wajah insan yang rapat denganku menjelma dalam benak fikiran silih berganti antara arwah abah, ibu, arwah adikku, saudara kandung yang lain, isteri, anak-anak dan rakan-rakanku. Al-Fatihah buat arwah abah yang banyak berkorban membesarkanku. Al-Fatihah juga buat arwah adikku yang perginya amat memilukan buat kami sekeluarga.
Dalam ingatan yang muncul silih berganti, aku terkenang akan ibu dan sejarah kehidupan kami sekeluarga bersama. Terkenang pahit jerih ibu membesarkan kami. Jasa dan pengorbanan ibu besar sekali. Ibu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk kami. Dalam kenangan ini, seingat aku ibu pernah berbohong. Ketika zaman kanak-kanak, kami hidup susah dan makanan yang ada kadang kala kurang mencukupi. Ada ketikanya makanan yang ada tidak cukup untuk mengenyangkan kami. Pada waktu itu ibu memberikan makanannya kepada kami dan menyatakan bahawa ia tidak lapar sedangkan kami tahu ibu belum menjamah makanan. Inilah pembohongan ibu kepada kami.
Keperitan hidup telah memaksa ibu bekerja keras menoreh getah dan menebas kebun. Pernah ibu menghidapi penyakit yang teruk. Tetapi beberapa hari selepas itu ibu menuruti abah melakukan tugasan yang berat. Kata ibu dirinya telah sembuh tetapi kami tahu ibu masih lagi sakit. Inilah satu lagi pembohongan ibu.
Apabila berada di alam persekolahan menengah, ada ketika keputusan peperiksaan aku tidak sebaik rakan-rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan univertsiti. Ibu mengatakan dia tidak kecewa dan mahu aku teruskan usaha. Aku tahu ibu bersedih dan kecewa. Sekali lagi ibu berbohong.
Setelah dewasa dan bekerja aku dan abang-abang kadangkala jarang menjenguk ibu di kampung. Ibu kerap berkata tidak mengapa kerana kami sibuk, tetapi aku tahu ibu mahu kami selalu pulang menjenguknya. Ini juga satu lagi pembohongan yang ibu lakukan.
Sesungguhnya segala 'pembohongan' ibu adalah untuk kehidupan kami, untuk keselamatan kami, untuk kejayaan kami, untuk semangat kami dan untuk kebahagiaan kami. 'Pembohongan' ibu amat bermakna bagi kebahagiaan hidup kami.



Khamis, Januari 29, 2009

Kegawatan Ekonomi: Peruncit Melayu Sudah Lama Gawat


Gambar:
pribumiperkasa.com

Bercuti sehari bersama keluarga ke Melaka pada 26 Januari dan bermalam di Melaka membawa banyak pengalaman baru dan mengimbau kembali pelbagai kenangan pahit di bumi Hang Tuah itu. Namun di sini penulis tidak berniat untuk berkongsi kesedihan dan pengalaman tragis yang masih terus bersemadi di lubuk hati. Tanpa dirancang penulis sekeluarga telah diundang oleh seorang pengacara tv ke rumah rakannya di Merlimau. Meskipun bertandangnya kami tidak diundang tetapi kami disambut mesra dan dihidangkan dengan makanan yang lazat termasuk asam pedas Mak Limah yang begitu menyelerakan mengatasi mana-mana masakan asam pedas Melaka yang pernah kami nikmati sebelum ini. Bertamunya kami dijamu dan dilayan tanpa jemu.Bertuah kami mendapat sahabat baru yang begitu baik menerima kunjungan insan yang tidak dikenali ini ke rumahnya. Baru melangkah masuk ke rumahnya, kami dialu-alukan seolah-olah telah lama bersahabat akrab. Kepulangan kami dihantar dengan ribuan kemesraan. Terima kasih daun keladi!

Meskipun heboh dengan kegawatan ekonomi, namun corak perbelanjaan di kalangan penduduk Melaka dan penduduk luar yang datang melancong dan berbelanja di Melaka, ku lihat tidak membayangkan kegawatan. Setiap pusat membeli belah penuh dengan pengguna-pengguna yang bersifat 'shoppaholic'. Penuh tangan kiri dan kanan menjinjing barangan. Warung dan kedai-kedai makan penuh menerima kunjungan. Restoran makanan segera diserbu pelanggan, seolah-olah 'menenggelam dan melupakan' kempen boikot produk Amerika Syarikat. Hotel-hotel, resort dan rumah tumpangan dikhabarkan penuh dihuni. Walaupun gawat rakyat Malaysia termasuk di Melaka secara sekilas pandang masih lagi berkemampuan belanja dengan selesa. Malah sewaktu cuti umum ini bukan sahaja kadar sewa hotel naik tetapi harga kupang, lokan dan tiram yang dijual di tepi-tepi jalan kawasan Alai juga naik harganya.

Dalam perjalanan pulang dari Bandar Hilir ke Muar dan Batu Pahat dapat disaksikan banyak gerai dan kedai yang diusahakan oleh usahawan Melayu secara kecil-kecilan. Penulis dapat merasai keperitan dalam perniagaan mereka terutama dengan melihat kepada susunan barang-barang yang kelihatan 'rongak' di dalam kedai. Selain daripada itu kedudukan kedai-kedai ini agak tidak strategik dan kelihatan lengang daripada kunjungan pelanggan. Kerap berlaku kedai atau gerai yang dibina untuk peniaga Melayu tersorok dan kelihatan terasing. Dalam banyak kes yang diperhati bazar-bazar yang dibina termasuk oleh sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan khas untuk membela kaum Melayu mungkin kurang strategik dan 'terpinggir' dari kawasan tumpuan.

Menyentuh tentang perniagaan peruncitan di kalangan peniaga Melayu, penulis serba sedikit mempunyai pengalaman terlibat secara langsung dalam perniagaan ini dan juga melalui observation terhadap peniaga-peniaga Melayu sekitar awal tahun 1990an. Waktu itu penulis bersama seorang saudara menjalankan perniagaan runcit di Muar dan bersaing dengan peniaga-peniaga runcit dari etnik lain yang sudah bergelar ' taukeh'. Kedai kami berdekatan malah bersebelahan. Antara perkara yang paling menyedihkan, malah ada saatnya memilukan peniaga Melayu adalah apabila pembeli yang terdiri daripada etnik Melayu dan semestinya Islam membeli barangan daripada kedai peniaga bukan Melayu. Mereka lebih rela membeli barangan daripada kaum lain walaupun barangan tersebut sama kualiti dan harganya. Ada pembeli Melayu yang telah memilih barangan daripada peniaga Melayu, tergamak meletakkan semula barangan tersebut apabila menyedari mereka tersalah mengambil barangan milik peniaga Melayu. Ini sungguh memalu dan amat memilukan . Seolah-olah tiada langsung niat dan keinginan untuk menyokong dan membantu peniaga seetnik dengan mereka. Tiada langsung kesedaran membela kaum seagama yang melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

Justeru itu keuntungan dikaut dengan rakus oleh peniaga bukan Melayu hasil curahan wang belanja pembeli Melayu. Keadaan ini lebih hebat apabila menjelang Aidilfitri dan Aidiladha. Sememangnya orang Melayu yang paling banyak berbelanja untuk keperluan dapur berbanding etnik mereka sendiri. Waktu itu, dan penulis percaya masih berterusan pada masa kini, pembeli-pembeli Melayu berpusu-pusu mengayakan peniaga bukan Melayu. Hingga kini penulis masih fobia dan pilu untuk mengunjungi kedai-kedai Melayu kerana tidak sanggup melihat fenomena ini. Lebih malang lagi apabila melihat 'nasionalis-nasionalis Melayu' yang mendakwa pejuang dan pembela Melayu turut mencurahkan keuntungan kepada bukan Melayu. Mereka ini gegak berkokok sedangkan ekor bergelumang dengan tahi. Tidak terkecuali juga insan-insan yang kelihatan islamik umpamanya berkopiah dan berserban tidak menampakkan ciri-ciri keislamikannya ketika bermuamalat. Kita tidak boleh menyalahkan peniaga lain kerana pengguna Islam sendiri yang datang menjalankan muamalat dan 'berakad jual beli' dengan mereka. Sehinggakan kadang kala timbul sindiran bahawa jika mati nanti, Ah Tek atau Ah Kow yang akan mengusung dan mengebumikan mayat mereka. Persoalannya dalam keadaan ada pilihan, mengapakah pengguna kita tidak mahu membeli daripada kaumnya sedangkan harga dan kualitinya sama malah ada ketikanya harganya terpaksa direndahkan untuk menarik pelanggan Islam iaitu orang kita sendiri.

Persoalan yang telah lama bergelojak ini sedikit sebanyak terjawab apabila dalam 'Program Di Luar Lingkungan @ TV1' beberapa hari lalu membicarakan tentang perniagaan di kalangan etnik di Malaysia, salah seorang penalis iaitu Dr. Sarjit Singh ( antrhopologis UPM ) menyatakan bahawa kegagalan orang Melayu kerana mereka tidak gemar berniaga sesama kaum mereka. Mungkinkah iri hati? Mungkinkah sememangnya fakta, peniaga Melayu kurang berjaya kerana tiada sokongan daripada makhluk sesama kaum dan agama. Cuba perhatikan etnik lain bagaimana mereka menyokong perniagaan kaum mereka? Berapa keratkah mereka membeli di kedai Melayu terutama kedai runcit Melayu? Kedai makan Melayu termasuk kedai asam pedas ada kekecualiannya. Mereka bertumpu ke kedai makan Melayu. Mengapa? Mungkinkah kelazatannya? Atau harganya lebih murah daripada restoran mereka? Atau mereka tiada pilihan untuk memenuhi selera mereka. Jika ini keadaannya, janganlah kita sibuk dan bising bercakap tentang nasionalisme dan patriotisme Melayu, kerana perjuangan yang semudah ini pun kita tidak cega dan mampu merealisasikannya.

Kegawatan peniaga Melayu dalam perniagaan mereka juga bersebab daripada kelemahan mereka mengendalikan kewangan dan penyata kira-kira termasuk wang keluar masuk. Melalui pemerhatian, peniaga Melayu sewenang-wenangnya mengambil wang dalam tong perniagaan harian mereka untuk belanja harian tanpa ada rekod yang teratur terutama selepas tamat perniagaan pada satu-satu hari. Bagi peniaga Cina perkara ini tidak berlaku dan penyata kira-kira harian lengkap dan terkini. Justeru itu kedudukan kewangan bagi perbelanjaan dan penjualan adalah jelas. Mungkinkah ini juga antara faktor menyebabkan kemalapan perniagaan Melayu?

Adalah sesuatu yang tipikal bahawa orang Melayu dikatakan kurang berjaya kerana tidak sanggup bekerja kuat dan malas. Pandangan yang bersifat prejudis dan menjadi stereotaip ini adalah tidak benar. Ramai orang Melayu sejak dahulu hingga kini kuat dan gigih bekerja. Ibu dan bapa penulis sendiri berjuang dengan penuh keringat dan air mata mengguna tulang belulangnya untuk melepaskan keluarga kami dari kemelut kemiskinan. Ada ketikanya kerja yang dibuat oleh ibu mungkin tidak mampu dilakukan oleh kaum Adam yang lain. Justeru itu janganlah kaum lain sewenang-wenangnya melabel Melayu itu malas termasuk dalam konteks peniaga kecil Melayu. Peniaga Melayu termasuk di pasar-pasar awam memulakan perniagaan seawal jam tiga pagi sama seperti peniaga bukan Melayu. Oleh itu jangan sewenang-wenangnya melabelkan orang Melayu, semata-mata bertujuan untuk memperkecil, meminggir dan menafikan keupayaam peniaga Melayu sama ada oleh orang Melayu sendiri atau oleh saingan bukan Melayu. Peniaga Melayu juga gigihberusaha tetapi mengapakah mereka masih terus kurang berjaya?
Kekurangan modal dan keberanian mungkin menjadi satu lagi isu menggagalkan peniaga Melayu. Kekurangan modal menyebabkan barangan di premis perniagaan juga kurang dan ini tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan. Walaupun pelbagai agensi dan bank dikatakan menyediakan pinjaman namun kesukaran mendapatkan pinjaman adalah suatu realiti yang hangat diperkatakan terutama di kalangan peniaga kecil. Ada peniaga juga tidak berani untuk membuat pinjaman bagi dilaburkan dalam perniagaan mereka kerana bimbang mengalami kerugian terutama dalam perniagaan yang penuh persaingan.

Persaingan bukan sahaja daripada peniaga kecil etnik lain malah gedung-gedung perniagaan, hyper market atau pasaraya besar yang lain kini turut menjual barangan yang dijual oleh peruncit. Ini tidak mengambil kira persaingan daripada pasar tani dan pasar-pasar malam. Persaingan dari gedung-gedung perniagaan dengan ekonomi skala besar yang menawarkan harga lebih kompetitif, sesungguhnya telah lama menggawatkan peniaga kecil Melayu sebelum munculnya kegawatan ekonomi, malah merupakan ombak tsunami yang memberi pukulan maut kepada mereka sehingga perniagaan mereka 'hidup segan mati tak mahu'.

Kesimpulannya, peniaga kecil dan peruncit Melayu telah lama mengalami kegawatan dalam perniagaan mereka.

Rabu, Januari 28, 2009

Kasih Ayah dan Ibu: Sayangilah mereka

Kasih ayah dan ibu tiada galang gantinya. Kasih ayah dan ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Kasih ayah dan ibu membawa ke syurga. Justeru itu kita mesti menghormati, menyayangi dan mentaati ibu bapa kita. Janganlah kita abaikan mereka sehingga membawa kepada pendurhakaan. Tiada gunanya kita menangisi pemergian mereka jika ketika hayatnya kita mengabaikan mereka. Apalah ertinya kita meratap hiba di pusara mereka, sedangkan sewaktu hayat kedua-duanya kita sering mengherdik mereka.

Kepada yang masih ada ayah atau ibu atau kedua-duanya: Di manakah ayah dan ibu kita ketika ini? Sudah makankah mereka? Kesunyiankah mereka? Sihatkah mereka ketika ini? Apakah yang telah kita lakukan untuk mereka pada hari ini? Sudahkah kita mendoakan untuk mereka pada hari atau ketika ini?

Kepada yang telah tiada ayah dan ibu: Doakanlah untuk mereka. Jadilah anak yang soleh dan insan yang mentaati Allah agar ayah dan ibu kita aman di alam kubur. Berbuat baiklah kepada saudara mara dan rakan taulan ayah dan ibu kita. Bersedekahlah untuk mereka. Lunaskanlah hutang piutang mereka. Tunaikanlah ibadat-ibadat lain yang dapat memberi pahala buat mereka.

Bersyukurlah kita masih ada ayah dan ibu. Bersabarlah jika kita menghadapi 'kerenah' semasa memelihara ayah dan ibu kerana mereka juga menghadapi kerenah ketika membesarkan kita. Berilah kebahagiaan untuk ayah dan ibu sebelum mereka pergi meninggalkan kita.

Ahad, Januari 18, 2009

Peperangan Gaza: Perang Yang Berat Sebelah




Sumber: tempointeraktif.com

Adakah peperangan ini sesuatu yang adil?

Sabtu, Januari 17, 2009

Melayu Itu Bijaksana: Mengenang Nasib


USMAN AWANG

Melayu Itu Bijaksana
Melayu itu bijaksana. Marilah kita seluruh umat Melayu membaca, merenungi dan menghayati isi kandungan sajak ini. Apakah kita ini benar-benar bijaksana terutama dalam tindak tanduk kita. Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara, melorong luaskan jalur sejarah tetapi malangnya kini kita kehilangan sejarah yang kita cipta.

Adakah Melayu itu bijaksana apabila, hanya sibuk bersorak bertemasya, kampung tergadai dan tanah sebidang habis terjual. Adakah bijaksana apabila Melayu hanya terus memegang tali sedangkan timbanya diambil orang? Bijakkah Melayu itu, walaupun sudah berpelajaran tinggi tetapi masih berdagang di negara sendiri?

Bijakkah Melayu itu jika menjadi terlalu pemurah sehinggakan " dagang lalu ditanakkan nasi, suami pulang lapar tak makan, kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan". Sudah cukup bijakkah Melayu itu jika pada abad ini masih lagi berasa rendah diri dan takut menyatakan kebenaran. Bijakkah Melayu itu jika takut memperjuangkan keadilan dan mempertahankan haknya sendiri sehingga di perkotak-katik oleh orang lain? Bijakkah Melayu itu jika setelah menjadi pemimpin dan ada kuasa memberi hak kepunyaan etniknya kepada orang lain? Bijaksanakah Melayu itu jika sanggup menggadaikan hak dan nasib bangsanya hanya kerana ingin terus memegang kuasa?

Melayu itu bijaksana jika memegang tali memegang timba, memiliki ekonomi mencipta budaya, menjadi tuan di negara sendiri. Melayu itu bijaksana jika tidak menjadi " ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Melayu itu lebih bijaksana jika mampu memimpin kecemerlangan dan mencipta keterbilangan.

Melayu Itu Bijaksana
Melayu itu bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak bergalas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji disimpan di dalam perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat,Jangan mati anak

Melayu di tanah semenanjung luas maknanya;
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan acheh adalah Melayu
Jakun dan sakai asli Melayu
Arab dan pakistani semua Melayu
Mamak dan malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang
Di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati orang Melayu itu tidak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jika segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang, November, 1999

Selasa, Januari 13, 2009

Ceritera Perkahwinan

Pernikahan adalah suatu tuntutan agama yang amat mulia. Menjerit sang syaitan kerana berkurangan lagi manusia bujang yang boleh digoda untuk ke kancah maksiat. Orang yang telah bernikah dan berkahwin, pahala solatnya berganda-ganda. Kehidupan insan yang telah berumahtangga lebih aman, tenteram dan diberkati. Namun begitu ajal, maut, jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Allah. Begitu juga dengan alam perkahwinan ianya juga tidak menjamin syurga buat insan yang melayarinya.
Ceritera perkahwinan bahagia:
Ada perkahwinan yang kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Bahtera perkahwinan dikemudi dengan baik untuk menempuh badai dan gelombang. Segala kesukaran dan kepayahan ditempuhi dengan tabah, manakala nikmat kesenangan dan kebahagiaan dikecapi bersama. Kasih sayang dan kesetiaan menjadi paksi melayari perkahwinan dan hidup berkeluarga. Hanya ajal maut yang akhirnya memisahkan mereka. Malahan kerana sayang dan setianya, pasangan yang ditinggalkan terus bersendirian hingga ke akhir hayatnya.
Ceritera Perkahwinan Derita:
Ada perkahwinan yang penuh ranjau dan onak berduri. Ada suami atau isteri hidup menderita dan tersiksa akibat kekejaman dan keburukan pasangannya. Isteri menderita disiksa fizikal dan mental oleh suami. Atau suami tidak bahagia kerana keburukan isteri. Ada suami atau isteri kecewa kerana ketidaksetiaan pasangan masing-masing. Perkahwinan penuh dengan hipokrasi dan konspirasi. Kasih sayang dibelah bahagi walaupun keadilan tidak bisa diberi. Jika ditakdirkan pasangannya pergi menyahut panggilan Illahi, isteri atau suami terus berganti, ketika tanah kubur masih belum padat dikambusi.
Terdapat juga bahtera perkahwinan yang berakhir semasa pelayaran atas pelbagai alasan termasuk tiada lagi kesesuaian, tiada lagi 'chemistery' dan yang paling tipikal ' sudah tiada jodoh lagi'. Lafaz talak dengan mudah diberi. meskipun penyelesaian belum dicari. Mungkin ini lebih baik daripada terus bersama dalam penderitaan. Sesungguhnya Allah memberi pilihan bercerai walaupun tidak disukaiNya.
Ceritera Perkahwinan Kini:
Kini, pelbagai ceritera perkahwinan boleh didengari. Suami muda menggemari janda berseri. Meskipun usia melebihi suami. Usia bukan halangan cinta masa kini. Keanggunan dan kematangan mungkin punca digilai. Belaian manja amat diidami. Kasihan sidara sunti gagal menyaingi bekas-bekas isteri yang masih jelita dan berseri di samping pengalaman dimiliki. Bagi silelaki yang telah menjelang dinihari. Wanita muda hambatan hati, setelah letih melayan isteri yang juga seusia diri. Mungkin ingin diri berasa muda kembali. Gelodak nafsu ingin dipenuhi, meskipun kudrat tidak tentu lagi. Gadis sunti pula memburu lelaki beristeri. Ekonomi stabil, ketrampilan boleh dibanggai. Hingga lupa mereka menghiris perasaan hati kaum bergelar isteri. Hidup bergaya matlamat diri, hingga lupa harga diri. Lebih malang lagi, isteri orang ada yang menggilai. Lupa dosa dan nilai diri. Kasihan suami dan anak-anak yang punya diri. Saban hari banyak berita disiarkan tentang kebobrokan ikatan perkahwinan. Apa nak jadi dengan dunia ini masa kini. Mari kita sama-sama fikir sendiri...

Rabu, Januari 07, 2009

Israel: Kezaliman Tidak Bernoktah

Sabra and Chatila Massacre 1982 / Jabalya massacre

Setelah menjalani pelbagai tahap rundingan termasuk Perjanjian Belfour maka lahirlah negara Israel pada hari Jumaat 14 Mei 1948 tanpa restu jiran-jiran Arab terutama Palestine. Dengan ini lahirlah sebuah negara baru dalam peta dunia, setelah beribu-ribu tahun bangsa Israel bertaburan di merata tempat tanpa negara. Kewujudan Israel sinonim dengan kekejaman dan kezaliman. Pertubuhan-pertubuhan berplot ganas Israel seperti Lehi, IZL, Palmach, Hagana dan Mosad memang popular dalam melakukan pengkhianatan dan pembunuhan sejak dahulu termasuk membantu Inggeris menghadapi pemberontakan orang-orang Arab pada tahun-tahun akhir 1930an.

Ini bertepatan dengan persepsi bahawa Bani Israel merupakan kaum yang paling degil, di mana Allah menurunkan ramai nabi di kalangan kaum tersebut kecuali Nabi Muhammad. Di dalam Al-Quran terutama Surah Al- Baqarah banyak ayat-ayat yang diturunkan mengkhusus kepada bani Israel. Pelbagai keganasan dan pembunuhan dilakukan seperti peristiwa di Dayr Yassin 1948, pembunuhan di Sabra dan Sattila pada 1980an, pembunuhan Jabalya dan keganasan di Gaza pada 2009. Israel akan terus mengganas kerana sejak awal pemimpin mereka Ben Gurion bersumpah "Tidak ada Zionis yang boleh melepaskan, walaupun bahagian terkecil Eretz Israel".

Justeru itu tidak hairanlah bahawa Israel akan terus mengganas tanpa noktah terutama untuk mencapai matlamat meluaskan wilayahnya dengan merampas tanah milik Palestine. Semua janji damai yang dibuat merupakan hipokrasi mereka. Sesungguhnya tidak akan ada yang menjadi realiti. Jika ini hakikatnya mengapakah Dunia Arab dan dunia Islam lain merayu-rayu dan memujuk Israel untuk berdamai dan membebaskan Palestine? Apalah gunanya kita merendah diri dan merayu kepada Amerika supaya membantu Palestine, sedangkan kelahiran Israel dibidani oleh polis dunia itu. Pendekatan lain perlu dicari untuk membela watan dan maruah rakyat Palestine.

Sekiranya Israel disamakan dengan sang puaka atau hantu raya maka kita perlu perkebal dan perdindingkan diri kita dengan tangkal azimat dan juga jampi mentera. Jika Israel dianalogikan seperti virus, maka kita perlu menguatkan antibodi dan daya tahan kita. Andainya kita umpamakan Israel seperti syaitan, maka kita perlu menguatkan kerohanian dan keimanan kita. Kita tidak boleh berterusan merayu dan merintih kepada sang puaka supaya tidak merasuk kita. Begitu juga kita tidak boleh terus-terusan mengharapkan virus musnah dengan sendirinya atau tidak henti-henti menyalahkan syaitan kerana menghakis keimanan kita. Ini kerana makhluk sang puaka, virus dan syaitan memang sebegitu nama,sifat dan perlakuannya. Begitu juga Israel, selagi namanya Israel sememang begitu perangai dan perlakuannya sejak zaman kenabian hingga kini. Tidak ada kemakmuran yang disumbangkan olehnya terutama untuk umat Islam walaupun sebesar zarah.

Oleh itu kita umat Islam khasnya dunia Arab perlu memperkuatkan pendinding diri, memperkukuhkan daya tahan dan memantapkan keimanan untuk menghadapi kekejaman Israel. Dunia Islam mesti memperkukuhkan perpaduan. Dunia Arab perlu bersatu padu dan tidak berpecah belah sama ada antara negara, antara mazhab atau antara kabilah dan seumpamanya. Dunia Arab perlu menggunakan kekayaan untuk mengajar Israel dan sekutunya. Dunia Arab khasnya Palestine perlu menyusun strategi yang mantap dan berkesan untuk berdepan dengan Israel Jika tidak kita akan terus merayu-rayu dan meminta simpati Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya untuk menyelamatkan negara, maruah dan nyawa umat Islam Palestine.

Sabtu, Januari 03, 2009

Legasi Seloka Daripada Datuk Buat Cucu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
rajin baca buku

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
dengar kata cikgu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
patuh kata ibu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
jangan jadi hantu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
jangan jadi kutu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
jangan tipu-tipu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
kalau nak pandai
jangan buang waktu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila jadi pandai
dapat nombor satu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila dah pandai
disayangi guru

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila jadi pandai
boleh masuk "U"

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila dah pandai
boleh tolong ibu

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila dah pandai
mana pergi pun laku

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu
bila dah pandai
ramai nak buat menantu


Bagaimana nak berjaya
kalau nak belajar pun tak bermaya

Bagaimana nak berjaya
tengok buku pun nak meloya

Bagaimana nak berjaya
kalau hari-hari asyik nak beraya

Bagaimana nak berjaya
kalau asyik melepak di pasar raya

Bagaimana nak berjaya
siang jadi buaya, malam jadi hantu raya

Bagaimana nak berjaya
kalau sekadar jadi anak orang kaya

Bagaimana nak berjaya kalau
sekadar tinggal di Subang Jaya

-Hj Abdullah @ayah

Rabu, Disember 31, 2008

Cikgu: Yang Mengenang Yang Terkenang


Peperiksaan awam telah berakhir semuanya. Kini mula menjelma keputusan peperiksaan satu demi satu. UPSR dan PMR telah diumumkan. Menanti ketikanya nanti SPM dan STPM. Semuanya mula berdebar dan ada yang telah hilang debarannya terutama murid-murid UPSR dan PMR. Debaran berganti kegembiraan atau kesugulan. Yang cemerlang melompat gembira manakala yang gagal cemerlang mungkin bersedih duka.


Bagi yang gagal ada tikanya mencari dan memberi ribuan alasan. Mungkin untuk menutup kecewa atau menepis salah diri. Ada insan yang dijadikan mangsa untuk melepas lemah diri. Dalam banyak keadaan dan masa guru sebagai mangsa yang dicari-cari. Guru galang ganti menutup kelemahan diri sendiri atau sekolah dikatakan tidak cukup memberi.


Untuk yang berjaya, kehebatan diri sendiri dikhabar tidak terperi. Terima kasih pusat tuisyen yang tinggi bakti. Pengorbanan ayah ibu disebut pasti. Malang lagi buat cikgu. Sumbangannya bagai tidak dimengerti. Yang mengenang pengorbanannya jauh sekali.


Sabarlah insan guru. Ramai yang mungkin tidak mengenang budimu tapi ada juga yang terkenang-terkenang kehadiranmu, meskipun biasanya telah terlewat. Terima kasih cikguku!

Selasa, Disember 23, 2008

Renungan Sempena Awal Muharram



TIGA BELAS WASIAT RASULULLAH KEPADA SAIDINA ALI


Sempena menjelang awal Muharram, marilah kita meningkatkan kualiti hidup kita dan ketakwaan kita kepada Allah. semoga usaha kita untuk sentiasa memperbaiki diri di sisi Allah, akan mendapat keredaanNya.

Rasulullah saw ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.

Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.

Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).

2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikatKu: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".

4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.

5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.

6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.

10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi oleh seluruh isi langit dan bumi.

3. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan,nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.

Isnin, Disember 22, 2008

PERPADUAN KAUM: JUJURKAH KITA UNTUKNYA?


Saban hari tidak kira di mana, sama ada di Parlimen, di forum-forum, di institusi pengajian tinggi, di sekolah sehinggalah ke warung-warung dan kedai kopitiam, orang membicarakan tentang perpaduan kaum.Dengan kata lain, isu ini dibincangkan oleh semua golongan masyarakat, golongan politikus, teknokrat, ahli akademik, pendidik, petani, nelayan, mat rempit, pedagang dan ramai lagi. Mereka ini boleh digolongkan kepada kumpulan yang benar-benar jujur mahu perpaduan sebagai realiti dalam negara kita dan satu golongan lagi merupakan hipokrit yang kononnya berjuang dengan lantang untuk perpaduan tetapi realitinya mereka ini tidak ikhlas dan tidak jujur. Mereka ini ada kepentingan dan muslihat yang curang untuk kepentingan tertentu termasuk untuk diri dan kelompok mereka.Semua golongan di atas merupakan ibu bapa kepada anak-anak atau guru kepada anak didik atau abang dan kakak kepada adik-adik atau pemimpin kepada pengikut masing-masing. Jika mereka ini ikhlas mahukan perpaduan maka mereka sewajarnya berperanan membimbing orang di bawah pengaruh masing-masing untuk cintakan perpaduan dan bukannya menjadi penghasut atau pemandu ke arah menggagalkan cita-cita perpaduan.

Banyak kajian menunjukkan bahawa ibu bapa sebagai 'significant others' yang paling hampir dengan anak-anak dan merupakan agen sosialisasi paling awal mempunyai peranan yang besar dalam membentuk sikap anak-anak ke arah perpaduan. Teori Kognitif Sosial Bandura (1986 ) menyatakan bahawa individu mempelajari tingkah laku dan sikap dengan meniru tingkah laku orang yang paling hampir. Justeru itu jika ibu bapa bertingkah laku, mendidik dan mempengaruhi anak-anak dengan unsur-unsur 'centripetal' ( menuju ke arah perpaduan ), pasti aspirasi perpaduan nasional dapat dicapai dengan lebih cepat. Sebaliknya jika unsur-unsur 'obstructive' atau 'centrifugal' ( unsur-unsur perpecahan) yang dipasakkan ke dalam minda dan sanubari anak-anak pada setiap hari maka gagallah usaha-usaha integrasi nasional yang dihajatkan.

Setuju atau tidak hakikat yang berlaku pada masa kini, kita sama ada sebagai ibu bapa, sebagai pemimpin politik mahu pun masyarakat malah sebagai guru kerap menyemai unsur-unsur 'centrifugal', kepada anak-anak dan orang yang kita pimpin. Ini kerap dilakukan bukan sahaja secara tidak langsung malah secara terang-terangan dan ini dilihat, ditiru dan diikuti oleh anak-anak dan orang yang kita pimpin. Pimpinan politik atau masyarakat umpamanya, dalam keghairahan mendapatkan pengaruh atau menjuarai puak masing-masing sanggup memainkan isu-isu yang boleh menjerat perpaduan kaum. Mereka sedar hal ini tetapi oleh kerana tidak ikhlas dalam memperjuangankan perpaduan mereka sedia melakukannya.

Malah sebagai makhluk 'opportunist', isu dan perjuangan perpaduan merupakan keuntungan kepada mereka untuk kekal sebagai pemimpin popular. Semakin panas isu perpaduan atau semakin sukar untuk dicapai maka semakin 'bertakhta' mereka di hati puak masing-masing.

Jumaat, Disember 19, 2008

Berkorbanlah Untuk Anak-Anak Kita



'Sayangilah Zuriat Kita'
( gambar hiasan)

Tahun 2008 hanya tinggal beberapa hari lagi. Ini bermaksud, musim cuti sekolah juga sudah di penghujungnya dan akan menjelma tahun baru 2009, yang mengundang sama musim baru persekolahan. Pernahkah kita merenung dan memuhasabah diri tentang sumbangan kita terhadap hidup anak-anak sepanjang tahun 2008 dan sebelumnya. Adakah kita memberi sesuatu yang berkualiti untuk membesarkan anak-anak atau kita sekadar menjalankan fungsi yang tipikal sebagai seorang ibu atau bapa.

Munculnya 2009, kita akan sekali lagi mendaftarkan anak-anak ke sekolah kerana itu adalah rutin tahunan sehinggalah anak-anak tamat tingkatan lima sekurang-kurangnya. Beruntung dan berbahagialah anak-anak yang ibu bapanya menyumbang lebih daripada melaksanakan tanggungjawab yang rutin dan minima. Anak-anak ini diberi bukan sahaja kewangan atau kemudahan hidup yang selesa atau lebih selesa, malah dibimbing, dimotivasi dan ditunjuk pandu ke arah hidup yang baik.

Namun begitu kasihan dan simpati buat anak-anak yang dibiar begitu sahaja untuk menjalani dunia persekolahan dan dunia hidup sebenar tanpa sokongan dan bimbingan. Mereka ini mungkin miskin dalam hidup dan papa dalam kasih sayang. Anak-anak ini ke sekolah dengan serba kekurangan dan menjadikan sekolah sebagai gelanggang protes atau pentas melepaskan ketidak puasan hati terhadap ibu bapa. Mereka ini ke sekolah dengan penampilan sahsiah yang menyedihkan, bertingkah laku yang mencabar norma-norma dan disiplin sekolah serta tiada tumpuan dalam pembelajaran.

Amat malang bagi anak-anak ini apabila ibu bapa atau penjaga enggan hadir ke sekolah untuk berbincang kerana ketidaksempatan masa, sibuk bekerja, ada anak-anak lain untuk diurus serta pelbagai alasan lain yang 'lebih penting nilainya' berbanding masa depan anak yang seorang ini. Ironinya apabila anak-anak dihukum ada ibu bapa yang tidak berpuas hati dan apabila ditamatkan persekolahan mereka datang merayu.

Kasihan para guru yang terpaksa mengerah segala kudrat untuk mendidik anak-anak ini di sekolah. Habis semua ilmu perguruan digunakan, pelbagai metod pedagogi, kaedah kaunseling, psikologi dan sosiologi diaplikasikan. Untuk memantapkannya lagi, maka dipasak pula dengan kaedah rohani dan moral mengikut anutan masing-masing. Tidak cukup dengan itu, kunjungan ke rumah juga selalu dicuba. Namun ada saatnya, segala-galanya nampak tidak berjaya kerana di rumah pendekatannya jauh berbeza. Anak-anak 'terbiar' tidak terbela dan terbela.

Kasihan anak-anak yang dewasa sebelum masanya. Keluar bekerja walau pun belum masanya. Akibat terbiar akhirnya terlanjur melakukan perlakuan yang 'luar biasa' bagi anak-anak biasa. Semoga tahun 2009, kita memperbaiki kelemahan ini. Jadikanlah anak-anak tumpuan utama kita. Berkorbanlah untuk anak-anak kita. Kasihanilah mereka zuriat kita yang perlu menjadi manusia yang benar-banar manusia. Jangan nanti mereka menyumpah kita kerana menjadikan hidup mereka menderita. Jangan nanti mereka tidak akan menziarahi pusara kita angkara tindakan kita.

Isnin, Disember 15, 2008

Bersabarlah Atas KetetapanNya


Dalam bulan yang mulia ini kita dituntut melakukan pengorbanan untuk mendapat keredhaan Allah dengan meningkatkan amal ibadat terutama melaksanakan sembelihan korban. Dalam bulan ini juga banyak peristiwa tragis yang menimpa kita. Saban hari diberitakan musibah yang menimpa saudara sedarah dan sesusuan kita, jiran, rakan-rakan, atau pun saudara seagama dan juga yang berlainan agama.

Amat memilukan,bagi ibu dan ayah kehilangan anak dalam sekelip mata, dengan suaranya masih lagi terngiang-ngiang di telinga dalam korban tanah runtuh. Amat menyedihkan anak-anak kehilangan ayah dan ibu secara mengejut dalam tragedi kemalangan jalan raya. Hancur luluh hati seorang nenek yang menyaksikan cucunya yang baru pandai bertatih tergelincir ke dalam sungai lalu lemas di depan matanya sendiri.

Tidak tertanggung kesedihan dan kepiluan anak-anak yang mana ketika keluar mencari rezeki ibunya dalam keadaan sihat dan ceria tetapi kepulangannya kepangkuan keluarga sudah lagi tidak bernyawa. Tercabut rasanya jantung seorang ibu tua yang mana anak perempuan bongsunya 'pergi' secara tiba-tiba. Banyak lagi tragedi menimpa kita yang amat traumatik, merobek dada dan menikam rasa sepanjang hayat yang ada. Tragedi-tragedi sedih ini terutama yang meragut korban nyawa merupakan 'pengorbanan' kita sebagai hamba Allah untuk redha dan sabar menerimanya kerana '...bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu adalah benar... (Ar-Rum:60).

Dengan kata lain' kita perlu bersedia dan rela menerima ketentuan Allah kerana '... tidak sekali-kali menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami...' (At-Taubah:51)

Sesungguhnya musibah, ujian atau dugaan yang diturunkan oleh Allah merupakan janji dan ketetapan Allah. Sesungguhnya penderitaan dari musibah yang diturunkan oleh Allah perlu dihadapi dengan ikhlas sebagai bukti keimanan kita kepada Allah. Sememangnya bukan perkara yang mudah untuk menanggung musibah yang diterima tetapi ingatlah sesungguhnya Allah menurunkan ujian atau musibah sesuai dengan kemampuan hambanya.

Bersabarlah kita menghadapi musibah kerana ' apa sahaja yang ditimpakan ke atas seseorang mukmin sama ada kesakitan, kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukannya'. ( Riwayat Muslim). Allah tidak menzalimi hambanya dengan tertimpanya musibah kerana apabila mencintai sesuatu kaum, Allah akan menguji kaum itu. Sesiapa yang redha dengan ujian itu maka keredhaan Allah untuknya. Sebaliknya jika sesiapa yang marah, maka ia akan menerima kemurkaan Allah.

Justeru itu bersabar dan redhalah dengan ujian atau musibah dari Allah supaya kita tidak menderita berpanjangan kerana tidak ada kebaikan daripada perasaan sedih yang berterusan atau berpanjangan kerana ia hanya akan menambah musibah yang baru. Tabahkan dan perkukuhkanlah iman dengan lafaz istirja', berzikir dan berdoa untuk menghadapi musibah ini. Mohon dijauhi dari tangisan dan rintihan yang berterusan dan melampau kerana ini dilarang dalam Islam. Berhati-hatilah ketika berkata-kata agar ianya tidak menghapuskan pahala musibah dan sebaliknya menimbulkan kemurkaan Allah.