Khamis, Julai 23, 2009

Lagenda Lembing Awang Pulang Ke Dayang


View Larger Map


Lama tidak bertemu teman-teman semasa menuntut di Lembah Pantai dahulu. Begitu juga lama rasanya tidak bertanya khabar rakan-rakan sejawat di sekolah pertama bertugas. Banyak cerita suka duka yang dikongsikan apabila bertemu. Sedih melihat rakan yang telah dipotong kedua-dua kakinya kerana penyakit. Simpati buat teman yang telah berpisah setelah mempunyai anak tiga. Kasihan kepada teman yang putus ikatan pertunangannya. Bimbang melihat kekecewaannya kerana tunangnya diambil orang. Katanya ingin mengamuk. Takut-takut 'amukannya' akan mengulangi amukan Panglima Awang dalam Lagenda Lembing Awang Pulang Ke Dayang dalam sejarah Muar sekitar tahun 1776.



Diperturunkan secara ringkas kisah Awang yang pergi merantau telah meninggalkan tunangnya, Dayang selama tiga tahun. Setelah memperolehi ilmu, Awang pulang ke kampongnya di Parit Raja Muar. Alangkah terkejut dan kecewanya Awang apabila mendapat berita tunangnya akan dikahwini oleh Bachok musuhnya. Awang yang kecewa dan marah menuntut pembalasan pada hari berlangsungnya perkahwinan Bachok dan Dayang. Amukan Awang dengan lembingnya telah meragut 99 nyawa termasuklah Bachok.



Kisah Lembing Awang Pulang Ke Dayang amat popular jika pun tidak lebih popular daripada Cerita Panglima Lidah Hitam dalam kalangan masyarakat Melayu Muar. Semoga tidak ada Awang pada era moden ini yang kecewa dan mengamuk sebegitu rupa. Bersabarlah atas ketentuan takdir Illahi. Terimalah ketentuan jodoh pertemuan dan ajal maut daripadNya. Bersabarlah...








Ahad, Julai 12, 2009

Mengimbau Natrah



(Natrah dalam dokongan Che Aminah untuk ke Mahkamah, Singapura)

Natrah nama yang bagai telah dilupakan oleh sejarah. Generasi muda ada yang langsung tidak mengetahui tentangnya, meski pun suatu ketika dahulu mencatat tragedi dalam sejarah khususnya di Singapura dan Tanah Melayu. Sesungguhnya tragedi sedih yang menimpa Natrah, Che Aminah dan keluarganya serta umat Islam pada ketika itu adalah suatu takdir. Kekalahan perjuangan mempertahankan Natrah juga takdir. Kematian Natrah pada 8 Julai 2009 juga ketentuan Illahi. Namun kesedaran menjaga kepentingan umat Islam pada masa kini agar tidak berulang tragedi Natrah bukanlah suatu takdir. Ini memerlukan kesungguhan, keikhlasan dan keberanian agar ianya tidak terus menjadi 'takdir' yang menimpa umat Islam.

Nadrah Bte Maarof atau Bertha Hertogh ( 1937-2009), lahir di Tjimahi, Jawa, Indonesia. Anak kepada Adeline dan Sarjan Adrianus Petrus Hertogh berasal dari Belanda. Ketika umurnya lima tahun, Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya. Bertha dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dan diberi pendidikan Islam. Bertha dibawa ke Kemaman, Trengganu oleh Che Aminah.

Natrah yang beragama Islam kemudiannya dicari oleh bapanya yang telah dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat. Dengan bantuan banyak pihak dan rakan-rakannya maka Hertogh berjaya menemui Natrah. Maka bermula episode perebutan antara ibu peliharaan Natrah, Che Aminah dengan bapa kandungnya. Kes perebutan ini berlangsung di mahkamah. Walaupun pada awalnya mahkamah memutuskan Che Aminah berhak ke atas Natrah tetapi perbicaraan seterusnya Memihak kepada Hertogh. Natrah berkahwin dengan Cikgu Mansor Abadi dalam usia 13 tahun dan perkahwinan ini sah mengikut Hukum Syariah. Namun pada 12 Disember 1950, Natrah diarahkan diserah kepada bapanya kerana mengikut Undang-Undang Belanda, bapa berhak menentukan agama anaknya. Natrah dihantar ke Belanda dan seterusnya dijadikan Katholik. Kehidupan Natrah dikongkong dan dikawal ketat oleh polis Belanda. Kebebasannya untuk mengamalkan Islam juga terhalang dan akhirnya berkubur.

Pada tarikh ini juga maka tercetus rusuhan di Singapura dan Tanah Melayu membantah tindakan memurtadkan Natrah. Bantahan juga meletus di Karachi Pakistan. Simpati buat Natrah, kerana tekanan dan paksaan akhirnya beliau meninggalkan Islam tanpa rela hati. Kasih dan cintanya kepada suami tidak mudah padam tetapi akhirnya terputus buat selama-lamanya.


Penderitaan demi penderitaan menimpa Natrah termasuk dilaporkan menghidap penyakit mental dan sakit jantung. Beliau hidup dalam kesukaran dan tersiksa termasuk kehilangan orang tersayang. Pada 1984, Natrah meninggalkan Belanda dan menetap di Nevada, Amerika Syarikat. Beliau meninggalkan anak-anaknya di Belanda . Pernah bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan.


Pada 8 Julai 2009, Natrah dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit leukimia. Ini menamatkan suatu cerita penderitaan hidup insan yang menjadi mangsa keadaan dan percaturan insan lain.

Selasa, Julai 07, 2009

Si Tenggang, Nakhoda Manis Dan Malin Kundang Moden

Lagenda Si Tenggang, Nakhoda Manis dan Malin Kundang sinonim dengan perlakuan durhaka anak terhadap ibu. Nakhoda Tenggang anak malang yang disumpah oleh sang ibu kerana pendurhakaannya. Seisi kapalnya menjadi batu dan dikhabarkan terdampar di Bukit Treh, Muar dan Batu Caves, Selangor. Kisah tragedi pendurhakaan yang sama diceritakan berlaku di Brunei. Nakhoda Manis disumpah oleh siibu. Nakhoda Manis dan seisi kapalnya menjadi batu dan dinamakan Jong Batu. Di Padang, Sumatera Barat muncul juga lagenda pendurhakaan Malin Demang terhadap ibunya. Kapalnya juga pecah dipukul ribut dan menjadi batu digelar Batu Malin Kundang yang terdampar di Pantai Manis, Padang.


Kasihan Si Tenggang, Nakhoda Manis dan Malin Kundang. Setelah lama belayar, pulang ke kampong halaman untuk mengubat rindu. Oleh kerana malu di hadapan isteri, mereka enggan mengakui wanita tua yang telah lama menanti kepulangan mereka sebagai ibu. Siibu yang berkecil hati terguris perasaannya telah memohon kepada Allah supaya memberi balasan kepada sianak, lalu kesemuanya menjadi batu. Itu lagenda tentang tiga orang anak yang durhaka terhadap ibu. Mungkin mereka ini baik tetapi akibat satu kesilapan mereka dihukum sebegitu berat.


Pada zaman moden ini ramai anak yang bertingkah laku seperti Si Tenggang, Nakhoda manis dan Malin Kundang. Malah ada yang lebih durhaka dan zalim berbanding dengan mereka pada usia yang muda. Ramai anak-anak sekolah yang tanpa rasa bersalah menipu ibu bapa. Ada tanpa memikirkan dosa mengherdik dan menengking ibu di hadapan guru. Tidak kurang juga yang tanpa berasa malu bersoal jawab dengan ibu tanpa menghirau batasan agama dan moral.


Maka tidak hairanlah apabila dewasa mereka mengabai dan meninggalkan ibu bapa tanpa dijenguk. Ada yang mendera emosi dan fizikal ibu. Malah lebih kejam lagi ada yang tergamak membunuh ibu bapa sendiri. Mereka ini lebih kejam daripada Si Tenggang. Namun begitu berbeza dengan Si Tenggang tulen, Si Tenggang atau Malin Kundang moden yang kejam ini tidak menerima balasan dasyat dengan kadar semerta. Mungkinkah ibu-ibu Si Tenggang moden ini lebih baik dan sayangkan anak-anak mereka berbanding ibu Si Tenggang atau ibu Nakhoda Manis. Mereka tidak mahu anak-anak Si Tenggang moden ini dimurkai Allah dan menjadi batu. Jika tidak mungkin banyak kereta, rumah atau bungalow yang menjadi batu bersama Si Tenggang moden akibat sumpahan ibu yang terguris hatinya.

Ahad, Julai 05, 2009

Perpisahan Dan Budi

Pantun Perpisahan

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai

Malam ini menanam jagung
Malam esok menanam serai
Malam ini kita berkampung
Malam esok kita bercerai

Hari ini menugal jagung
Hari esok menugal jelai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai

Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Orang Aceh sedang sembahyang
Hari Jumaat tengah hari
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri

Mana Manggung, mana Periaman
Mana batu kiliran taji
Tinggal kampung tinggal halaman
Tinggal tepian tempat mandi

Bintang Barat terbit petang
Bintang Timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi?

Dian tiga lilin pun tiga
Tanglung tergantung rumah laksamana
Diam juga sabar pun juga
Ada umur tidak ke mana

Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi


Pantun Budi

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi

Banyak ubi perkara ubi
Ubi keledek ditanam orang
Banyak budi perkara budi
Budi baik dikenang orang

Lipat kain lipat baju
Lipat kertas dalam puan
Dari air menjadi batu
Sedikit tak lupa budi tuan

Jentayu burung jentayu
Hinggap di balik pokok mayang
Bunga kembang akan layu
Budi baik bilakan hilang

Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Dewa sakti melayang ke Daik
Hendak mencari Dewa Jaruga
Kalau ada budi yang baik
Sampai ke mati orang tak lupa

Baik-baik bertanam padi
Jangan sampai dimakan rusa
Baik-baik termakan budi
Jangan sampai badan binasa

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga

Pergi ke sawah menanam padi
Singgah disungai menangkap ikan
Hidup hendaklah bersendikan budi
Sifat sombong jangan amalkan

Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibayar mati

Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari

Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin

Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Tuan Puteri membeli ginseng
Singgah di pasar mencari kari
Jangan ikut budaya samseng
Kelak menyesal di kemudian hari

Sabtu, Julai 04, 2009

' Belasungkawa' dan Simpati Buat Kalian...




Amat sukar untuk mencoret sesuatu sejak akhir-akhir ini. Keletihan badani dan kelesuan akal membataskan niat dan rangsangan untuk menulis. Kebekuan idea menambahkan lagi kesukaran ini.

Mendepani masalah disiplin anak-anak di sekolah menjadi kelaziman kami di sini. Memarahi, mengherdik, memujuk dan merayu menjadi wahana kami. Meski pun merotan, menggantung dan membuang sekolah antara tindakan yang diberi, pelanggaran disiplin dan perlakuan devian terus mencabar kami. Kasihan anak-anak ini. Peribadi dan perlakuan mereka diacukan oleh keadaan masa kini. Kenakalan mereka adalah tuaian pengabaian. Kekasaran dan keganasan mereka adalah manifestasi keruntuhan kekeluargaan. Protes mereka cetusan ketidakpuasan. Kehilangan tumpuan mereka adalah letusan hidup yang serba kekurangan. Nilai diri yang rendah tanda motivasi yang ketandusan. Kegagalan mereka cetusan kekurangan daya juang.

Mengunjungi kalian, dapat melihat apa yang ada. Menziarahi kalian dapat memahami situasi dan kondisi yang ada. Bertamu ke rumah kalian, setidak-tidaknya dapat menyisih prasangka yang ada. Sememangnya simpati dan bantuan mahu kami hulurkan. Namun ada ketikanya kami tidak mampu membuat segalanya. Ada ketikanya kami tiada pilihan...







Isnin, Jun 01, 2009

Antara Kezaliman dan Kebebalan

Keganasan dan kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) tercatat sebagai fakta sejarah bukan sahaja di Malaysia malah di dunia. Kezaliman dan keganasan Chin Peng yang mengepalai segolongan manusia komunis melakukan penyiksaan dan pembunuhan terhadap penduduk negara ini termasuk wanita dan kanak-kanak serta orang tua telah diterima kesahihannya. Tindakan Chin Peng dan pengikutnya membunuh anggota keselamatan sudah mendapat 'pengikhtirafan' umum. Matlamat Chin Peng mendokong cita-cita Komunis Antarabangsa ( Comintern ) untuk menubuhkan republik Komunis di Malaysia telah diketahui umum. Untuk mencapai matlamat itu, Chin Peng sanggup mensabotaj ekonomi negara dan menggadai maruahnya sebagai manusia. Ini juga tidak dapat dilupakan.


Tegasnya Chin Peng bukan pejuang negara. Chin Peng bukan nasionalis negara. Hakikat abadi, Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan negara. Chin Peng berjuang untuk cita-cita dan matlamat Comintern.Perjuangan Chin Peng sebenarnya bukanlah untuk membebaskan negara dari penjajahan Jepun dan British tetapi untuk memenuhi order Komunis Antarabangsa. Ini diketahui umum termasuklah murid-murid sekolah yang belajar sejarah.

Malangnya ada kebebalan dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat kita yang meminta Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan dan kasihan. Tidakkah bebal individu ini kerana membuat cadangan sebegini terhadap manusia yang pernah menjadi pemimpin kepada suatu gerakan yang berteraskan penyiksaan, keganasan dan seribu satu macam kezaliman yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana rakyat Malaysia setakat ini? Malah ramai rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan termasuk kes pemimpin Al-Maunah dijatuhkan hukuman mati, meskipun dosa mereka tidak sehebat dosa Chin Peng kepada rakyat dan negara Malaysia.

Sesungguhnya Chin Peng adalah musuh utama pejuang-pejuang Melayu yang menumpahkan keringat, darah dan air mata demi mempertahankan watan tercinta ini. Chin Peng dan konco-konconya menyebabkan penderitaan isteri yang kehilangan suami. Chin Peng dan pengikut-pengikut kejamnya menjadi penyebab kepada kesedihan dan derita anak-anak yang kehilangan bapa. Chin Peng menjadi sebab kepada kecacatan dan penderitaan berpanjangan anggota keselamatan kita. Chin Peng dan komrade-komradenya yang zalim menjadi penyebab kepada ibu bapa yang kehilangan anak-anak tercinta. Chin Peng dan tali barutnyalah yang telah mencemar maruah gadis-gadis yang tidak berdosa. Chin Penglah yang memimpin gerakan mengkhianati negara dan raja. Chin Peng dan konco-konconya juga bertindak tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Tanyalah ini kepada penduduk di Batu Pahat, Pontian, di Bahau, Sekinchan Selangor dan banyak lagi. Tanyalah kepada waris-waris patriot balai Polis Bukit Kepong? Bagaimana deritanya mereka ini.

Bagi kaum bukan Melayu, mereka juga menerima padah kezaliman Chin Peng. Mereka disiksa dan dizalimi. Ahli keluarga dibunuh terutama yang berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara seperti tragedi yang menimpa ke atas Ketua Polis Perak dan ramai lagi angota polis bukan Melayu. PKM pimpinan Chin Peng telah membakar api perkauman dalam kalangan rakyat negara ini pada zaman selepas pendudukan Jepun.

Membawa balik Chin Peng ke Malaysia merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima. Tindakan ini seolah-olah menghina perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang sejati negara kita yang cedera dan terkorban menentang penjajah serta PKM pengkhianat negara. Membenarkan Chin Peng balik bererti mempersendakan ahli keluarga dan waris pejuang-pejuang ini. Perlakuan ini samalah ertinya dengan kita memijak-mijak pusara mereka. Tindakan ini menjadikan kita manusia hipokrit dalam perjuangan menegakkan kedaulatan dan maruah diri serta negara.

Sungguh malang, apabila kezaliman masa lalu Chin Peng dan kebebalan individu-individu tertentu pada hari ini bersatu menggugat perasaan dan emosi umat Melayu yang terpendam selama ini. Mengapakah agaknya manusia yang bebal ini mencadangkan sesuatu yang mengguris hati umat Melayu dan bukan Melayu yang mempunyai sejarah hitam dengan Chin Peng dan PKM? Tidakkah terfikir jika kezaliman dan kehinaan itu menimpa di atas kepala mereka? Tidakkah bebal mereka ini?

Isnin, Mei 25, 2009

Antara merempit, meragut dan A H1N1


Kebelakangan ini ketenangan dan kebahagiaan hidup masyarakat kita digugat dan digusari oleh kebiadaban dan keganasan Mat rempit yang kini dilabel sebagai samseng jalanan, kerakusan peragut dan serangan wabak H1N1.

Apakah perbezaan ketiga-tiga isu ini? Pastinya amat mudah untuk membezakannya. Mat Rempit atau samseng jalanan dan peragut adalah manusia manakala H1N1 berpunca dari binatang.

Walaupun berbeza diantara manusia dan binatang namun ketiga-tiganya mempunyai persamaan iaitu membawa malapetaka kepada insan di muka bumi ini terutama kepada masyarakat Malaysia. Ketiga-tiganya membawa kepada penderitaan dan kematian. Justeru itu, di sini tiada beza antara manusia dan binatang.
Malah ada ketikanya manusia yang tidak punya nilai kemanusiaan ini lebih banyak membawa kesedihan, kedukaan dan penderitaan kepada manusia lain berbanding makhluk haiwan itu tadi. Setakat ini kematian yang disebabkan oleh kedua-dua jenis manusia ini amat tragik. Mereka ini menyebabkan kematian wanita hamil dan warga emas. Lebih malang lagi walaupun mereka ini manusia, mereka tidak berfikir seperti manusia. Semakin banyak nasihat, peringatan dan amaran diberi semakin berterusan dan melampau perlakuan mereka.

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat Hari Guru, Cikgu

Selamat Hari Guru. Terima kasih buat rakan-rakan guru dan pengetua




































Khamis, Mei 14, 2009

Peringatan Tentang Kematian

Setiap yang hidup pasti merasai mati. Hanya waktu, cara dan masa kematian sahaja yang berbeza. Justeru sudahkah kita bersedia untuk menghadapinya?
Pesan Rasulullah SAW: jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalanan ( riwayat al- Bukhari ). Firman Allah bermaksud:' bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke dalam kubur' ( At-Takaatsur: 1-2 )




Banyak lagi peringatan tentang kematian oleh Allah di dalam Al-Quran. Antaranya yang bermaksud: ' tiap-tiap yang hidup akan mati' ( Al- imran:165). 'Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh' ( An- Nisaa' : 78).
Maksud firman Allah lagi yang bermaksud : 'katakanlah: Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan mendatangi kamu' ( Al-m Jumu'ah: 8). ' 'Maka apabila telah tiba waktu yang ditentukan bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya walau sesaat pun dan tidak pula boleh mendahulukannya' ( An- Nahl : 61).






Sabtu, Mei 09, 2009

Oh Ibu Oh Guru!




Epilog 10 Mei

Ibu insan mulia milik anak-anak. Mengandung, melahir dan mengasuh penuh kasih sayang. Mendidik dan membimbing hingga dewasa menjadi insan berguna. Mentarbiah dengan keimanan untuk bekalan akhirat. Sentiasa di sisi, sedia membantu andai anak-anak tersendu. Demi anak-anak selalu didahulu, walaupun kudrat tidak segagah dulu. Mengungkit menyebut tidak pernah terlintas, pengorbanan besar tidak minta dibalas.


Allah mengingatkan: Berbuat baiklah kepada ayah dan ibu. Jangan berkata kasar walaupun sekadar 'Ha'. Apatah lagi tengkingan dan sergahan. Berkatalah dengan penuh kesantunan dan kemuliaan.


Nabi mengajar: Martabatkan dan muliakanlah ibu. Pesannya lagi, melayan dan berbuat baik kepada ibu untuk satu malam lebih baik daripada menyertai perang jihad selama setahun. Itulah syurga di bawah telapak kaki ibu.


Ibu kaulah kekasih, kaulah pelindung, kaulah sahabat karib, kaulah pemujuk, kaulah penyejuk, kaulah pemberi semangat, kaulah guru dan kaulah segalanya.


Epilog 16 Mei

Guru insan mulia pewaris nabi. Walau apa pun gelaran diberi; sama ada cikgu, muallim, muaddib, murabbi, dan sebagainya kau tetap bagai lilin yang berjasa membakar diri. Biarlah ada insan yang mempersendakannya... kau tetap umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Guru, jangan endahkan persepsi masyarakat tentang tugas dan statusmu, biarkan mereka meraguinya, biarkan mereka mempers0alkan keprofesionalanmu, biarkan mereka bertanya tentangmu. Tabahlah mendepani dergama yang mungkin ada, kerana yang terpenting teruskan kerja muliamu dengan penuh kualiti dan keikhlasan.

'Selamat Hari Guru, Cikgu'

Selasa, April 21, 2009

Isnin, April 20, 2009

Fakta Sejarah Dan Keikhlasan Kita

Ahmad Boestamam
Lama rasanya tidak mencatat isu-isu yang agak berat di ruangan ini. Hari ini tergerak hati untuk menghujah polemik tentang penulisan semula silibus sejarah dalam sukatan pelajaran di sekolah. Beberapa hari lalu topik ini hebat diisu dan dipolemikkan di dada-dada akhbar berbahasa ibunda dan berbahasa Melayu. Malas rasanya untuk turut serta dalam polemik ini. Tidak bermunafaat rasanya berhujah dengan golongan yang 'opportunist' dan pekat hipokrasinya. Namun begitu atas kesedaran sebagai seorang muwarikh yang berakar tunjangkan kejujuran dan kebenaran, menjadi tanggungjawab menegakkan fakta, menepis dan mematahkan hujahan munafik pemungkar fakta sahih sejarah negara.


Sejarah adalah fakta dan kebenaran. Sejarah seperti juga disiplin ilmu yang lain sama ada sains atau sastera merupakan ilmu gunaan. Sejarah adalah"saksi masa...guru sekalian raja, pengajar sekalian sultan, pemimpin sekalian rakyat ke jalan keutuhan ke lorong kebetulan, pengingat yang berguna, penyeru yang kuat suara dan pengejut yang memberi bekas..." Berasaskan dalil kebenaran, maka sejarah tidak boleh ditulis dan ditafsir mengikut kepentingan puak, etnik atau kumpulan tertentu.


Jika selama ini kita tahu kebenaran fakta sejarah merugikan kelompok atau etnik kita maka tanpa rasa malu dan bersalah kita meminta silibus atau penulisan sejarah 'dipost- mortem' dan ditulis semula supaya menepati aspirasi keperluan puak kita. Kita juga tanpa rasa malu dan berdosa menuntut pemikiran atau perlakuan buruk yang dilakukan oleh etnik kita yang tercatat sebagai fakta sejarah digugurkan dari penulisan sejarah negara. Sebaliknya kita dengan lantang dan berdegar-degar menuntut perjuangan atau pengorbanan yang dibuat oleh etnik kita diangkat dan dimahkotakan seolah-olah jasa besar walaupun hakikatnya terlalu kecil berbanding pengorbanan etnik lain.


Dalam konteks sejarah negara kita tercinta, ada 'pejuang' etnik tertentu sibuk memekik lolong mendakwa peranan dan sumbangan tokoh etnik mereka dipinggirkan dari arus perdana penulisan sejarah Malaysia. Tahukah mereka, bahawa dalam penulisan sejarah negara kita, ramai pejuang Melayu yang terlibat secara hebat dalam perjuangan kemerdekaan sehingga mengorbankan semua yang ada termasuk kebebasan diri telah disingkirkan dari sejarah negara. Malah lebih mengharukan lagi mereka ini digelar sebagai radikal, golongan kiri, militan dan menyokong komunisme walhal mereka ini penganut Islam berlatar belakangkan pengajian agama dan dikhabarkan khatam Al-Quran berkali-kali.


Ironinya, apabila penulisan sejarah negara atas perhitungan neraca keharmonian kaum telah 'meminggirkan fakta sejarah' tentang pengelibatan etnik tertentu dalam gerakan komunis, mereka ini tidak pula menuntut agar penulisan ini 'dibedah siasat' dan ditulis sejarah sebenar dan realitinya. Mengapakah mereka 'selective' dalam meminta penulisan semula sejarah. Episod sejarah yang menguntung dan mengenakkan, mereka mahu manakala episod yang tidak 'menyelerakan', mereka tolak walaupun ianya suatu realiti yang amat persis kesignifikanannya.

Ahad, April 19, 2009

Selawat dan Salam Buat Junjungan Besar


Semalam 22 Rabiulakhir, kami melaksanakan majlis besar iaitu sambutan Maulidur Rasul meskipun lewat lebih sebulan. Bukan tarikh dan tempoh masa yang perlu diperhujahkan kerana motif yang wahid adalah menzahirkan kasih dan sayang serta sanjungan kepada penghulu segala rasul yang diutuskan oleh Allah ' untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam' ( Al-Anbiyak:107 ). Nabi Muhammad dengan sifat-sifat keperibadian unggul menjadi penyempurna kepada akhlak yang mulia menjadi idola dan model ikutan kepada semua umat di muka bumi ini khususnya umat Islam.

Perjalanan majlis yang lancar dan licin disempurnakan lagi dengan ceramah oleh Ust. Sabri Omar menjadikan majlis ini lebih bermakna bukan sahaja dari segi ritualnya tetapi yang lebih penting nilai ilmu yang disampaikan. Pengisahan riwayat hidup Rasulullah dengan sifat-sifat keunggulannya dikaitkan dengan tugas pelajar untuk belajar dan tanggungjawab kepada ibu bapa memberi makna kepada majlis ini. Peringatan tentang tanggungjawab hakiki terhadap Allah terutama dalam melaksanakan solat dan balasan siksa kepada yang mengingkarinya sepatutnya menerbitkan kegerunan kepada khalayak pendengar.


Unsur kesepaduan ummah dan kerjasama amat terkesan dalam perjalanan menjayakan majlis ini sejak mula hingga selesai. Semua warga SMKMS memberi sumbangan yang maha bermakna. Sumbangan kewangan, tenaga, idea dan sokongan moral diberikan dengan seikhlas dan sepenuhnya oleh warga muslim sekolah. Penghargaan dan terima kasih atas bantuan dan sokongan oleh Pengetua dan rakan-rakan bukan muslim yang turut mendokong kelancaran majlis mulia ini.


Untuk semua sumbangan dan pengorbanan ini, kami mengucapkan terima kasih. Tiada keupayaan kami membalasnya, semoga keikhlasan ini mendapat balasanNya dalam pelbagai bentuk kebaikan, jika tidak pada hari ini mungkin pada masa-masa mendatang.

Rabu, April 08, 2009

Antara Kebaikan Dan Keburukan

Ajaran Islam menyeru umatnya kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Abraham Lincoln pula pernah berkata: 'The triumph of evil is for good men to do nothing'. Islam menegaskan bahawa cegahlah kejahatan atau kemungkaran melalui perbuatan, perkataan atau selemah-lemah keupayaan melalui hati. Jika insan-insan yang baik tidak melakukan sesuatu untuk menentang kemungkaran maka kejahatan akan menang.
Jika cahaya tidak menerangi kegelapan maka kegelapan akan berpanjangan, jika keilmuan tidak membasmi kejahilan maka kejahilan memimpin kehidupan. Jika kebaikan tidak mentarbiah keburukan maka keburukan membudayakan kehidupan. Jika kebenaran tidak memintas kedustaan maka kedustaan mendominasi kehidupan. Jika Keimanan tidak memadamkan kekufuran maka kekufuran menyuburi kehidupan.
Jika umarak mengasingi ulamak maka khalayak akan berselerak. Jika ibu ayah tidak membimbing, seluruh keluarga terumbang-ambing, jika guru gagal mendidik, anak didik melawan balik. Jika ketua gagal memimpin pengikut pasti saling berkempen.

Sabtu, Mac 28, 2009

Mengkritik dan Dikritik

Mengkritik dan dikritik adalah dua situasi yang kerap kita alami dalam kehidupan ini. Kedua-duanya mempunyai etika atau adab untuk dilakukan. Mengkritik biasanya amat menyeronokkan, sehingga kadang kala pihak yang mengkritik lupa mengambil kira etika dan adab mengkritik. Lebih malang lagi yang mengkritik tidak pasti apa tujuan sebenarnya kritikan dibuat, bagaimana sepatutnya kritikan dibuat, adakah kritikan itu konstruktif untuk pihak yang dikritik dan sebagainya. Jika tidak diambil kira semua ini, pastinya kritikan yang dibuat akan membunuh pihak yang dikritik atau akan menimbulkan konflik yang pastinya merugikan semua pihak terlibat.
Justeru itu mengkritiklah dengan menggunakan akal, berlandaskan etika dan adab, bertunjangkan kerasionalan dan bersandarkan ilmu.

Insan yang menerima kritikan perlulah berlapang dada, bersedia mendengar isi kritikan, mempertimbangkan kritikan dengan rasional dan bersedia membuat koreksi kepada kekhilafan dan kesilapan yang ada. Janganlah kita membawa cawan yang penuh, yang tiada lagi ruang untuk diisi dengan kritikan membina dan tidak memberi peluang kepada pembaikan diri.






Selasa, Mac 24, 2009

Kemiskinan - Kegagalan Suatu Retorik


Keputusan SPM dan STPM telah diumumkan. Seperti lazimnya pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan disebar luaskan beritanya. Kuantiti serta kualiti pencapaian yang cemerlang menjadi taruhan ramai pelajar masa kini. Saban tahun mereka bertarung mengambil sebanyak mungkin subjek dengan cuba mencapai sebanyak mungkin 1A. Kekaguman demi kekaguman cuba dicipta. Kekentalan dan kegigihan semangat ditonjolkan untuk mencipta kecemerlangan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga.

Turut serta dalam perlumbaan mencipta kecemerlangan ini ialah Nik Nur Madiha, anak nelayan Sungai Sabak yang datang dari dunia kemiskinan, dunia yang penuh dengan ketidakmampuan material, dunia yang penuh dengan keperitan hidup, dunia yang mengharapkan simpati insan yang simpati, dunia kelompok marhaen yang tidak dipandang oleh sesiapa waktu itu termasuk mungkin oleh ahli-ahli politik setempat kecuali warga guru di sekolahnya yang menghulur bantuan bulanan untuk keluarga ini serta tuan rumah yang tidak menagih sewa tidak berbayar.

Kini, dunia hidup adik Nik Nur Madiha telah berubah. Insan kerdil dan keluarga daif berjiwa besar bersemangat kental ini membuktikan kedaifan dan kemiskinan material bukan halangan hidup. Pencapaian 19 1A dan 1 2A, telah menjegilkan mata banyak pihak termasuk 'pejuang-pejuang bangsa' setempat yang selama ini terlepas pandang kerana kesibukan 'perjuangan.' Semua pihak mula menunjukkan keprihatinan, menyuarakan simpati dan berlapang dada memberi bantuan.

Dalam sekelip mata rumah usang dikhabarkan akan diganti dengan yang baru. Tawaran biasiswa yang bertali arus datangnya dari syarikat-syarikat GLC, sehingga mungkin menyukarkan pilihan. kini, keluarga Nik Nur Madiha bertukar dari terlepas pandang kepada terlebih pandang.


Beruntung keluarga ini mempunyai anak seperti ini. Kemiskinan bukan halangan kejayaan, kedaifan hidup bukan alasan untuk merintih dan berputus asa, kepapaan bukan penyebab kekufuran dan keperitan hidup bukan pematah semangat.

Membandingkan kecemerlangan dalam kedaifan adik Nur Madiha dengan anak-anak lain yang dimanjai dengan kemewahan tetapi gagal mencapai kejayaan sememangnya amat memalukan. Tercabut rasanya maruah dan harga diri apabila anak-anak kita yang hidupnya mewah atau lebih baik daripada Nik Nur Madiha kecundang dalam pelajaran.

Semoga roh, semangat, kekentalan, ketabahan dan kegigihan Nik Nur Madiha akan menjadi penyuntik semangat kepada anak-anak kita yang lembik dan longlai apabila diasak oleh cabaran yang tidak seberapa. Gagahlah seperti Nik Nur Madiha yang berdiri teguh walaupun hidup bergelumang dengan cabaran dan dugaan kemiskinan. Kemiskinan dan kedaifan hanyalah menjadi retorik yang menghalang kejayaan buat adik ini.

Isnin, Mac 23, 2009

Bersyukurlah Kita ... jika kita ...

Dalam hidup ini kekayaan bukan perkara mutlak yang kita cari, meskipun itu yang dituntut oleh agama. Apa yang lebih penting, bagaimana kita menguruskan kekayaan, kejayaan, kemewahan dan kenikmatan yang dikurniakan oleh Allah. Adakah kita menjadi insan yang semakin tamak haloba dan takbur atau menjadi insan yang sentiasa melahirkan kesyukuran atas nikmat yang diberi.

Ketika ditimpa kesusahan, kemiskinan dan penderitaan, kita dituntut agar bersabar dan bersyukur. Inikan pula apabila diberi kemewahan, kenikmatan dan bersenang lenang. Janganlah kita menjadi insan yang dikurnia kenikmatan oleh Allah tetapi tidak diredhaiNya. Janganlah kita menjadi manusia yang 'istidraj' di mana kekayaan dan kenikmatan yang diterima membawa kehancuran bukannya kebahagiaan

Ingatlah insan yang lupa daratan bagaikan anai-anai yang diberi sayap oleh Allah lalu menjadi kalkatu. Kalkatu yang mendapat nikmat sayap telah cuba melawan api sedangkan ketika tidak bersayap, hanya duduk diam dan merayap dicelah-celah batu. Manusia yang telah diberi nikmat janganlah lupa diri dan lupa kepada Allah malah lebih zalim lagi mencabarNya.

Janganlah kita menjadi umpama Firaun, angkuh dengan nikmat kesihatan yang berpanjangan, sombong dengan kemewahan dan kekuasaan. Akhirnya dengan nikmat itulah Allah membinasakannya. Namrud, besar pangkat dan kekuasaan sehingga cuba membakar Nabi Ibrahim dan sombong kepada Allah, akhirnya mati angkara seekor nyamuk melolosi lubang hidungnya. Hindarilah kesombongan akibat kekayaan kerana Qarun manusia terkaya akhirnya mati ditimbus oleh kekayaannya.

Jadilah seperti Rasulullah yang telah naik ke langit bertemu Allah, Nabi Sulaiman kebesaran pangkat dan kuasa, perintahnya menundukkan semua makhluk di muka bumi. Ketampanan nabi Yusuf dan kemerduan suara Nabi Daud tidak menjadikan mereka ini sombong dan bongkak. Sampai waktu dan detiknya mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Ahad, Mac 22, 2009

Bersyukurlah Kita... meskipun kekurangan

Dalam hidup ini kita dituntut mencapai kegemilangan, kita dibolehkan menghimpun kekayaan halal tanpa hadnya, kita diminta berusaha semaksimum mungkin, kita disaran mencari kebahagiaan dalam kehidupan, kita digesa mencipta kejayaan setinggi yang mungkin dan dihambat agar melakukan keterbilangan serta kesempurnaan dalam hidup ini. Tuntutan-tuntutan ini mungkin berwajaran dengan kehendak manusia yang tidak terhad atau nafsu manusia yang sentiasa bergelojak.


Namun begitu dalam keghairahan memburu kehendak dan nafsu manusia, ianya ada kekangan dan keterbatasannya. Umpamanya dalam keghairahan pemimpin-pemimpin negara di dunia merancakkan kemakmuran ekonomi, memacu kemajuan dan kecanggihan teknologi, tiba-tiba dunia dilanda kegawatan ekonomi. Dalam kebanggaan pemimpin korporat besar memperkatakan tentang kejayaan syarikat masing-masing tiba-tiba banyak syarikat-syarikat gergasi dan multi nasional di negara gergasi dunia tumbang dan terpaksa dibantu oleh kerajaannya. Kebanggan ini mungkin tinggal memori sahaja buat masa terdekat ini.

Sebagai insan meskipun kita perlu mengejar kemajuan, kegemilangan, kekayaan atau kejayaan tetapi ada masanya kita perlu akur dengan ketentuan dan takdir kita. Sebagai insan ciptaan Allah kita perlu menerima apa yang telah ditentukan untuk kita. Kita perlu bersyukur dengan apa yang kita miliki di samping usaha yang kita perjuangkan.

Kita perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Ketika orang lain bersedih akibat kehilangan orang yang disayangi, kita bergembira bersama kehadiran semua ahli keluarga. Pada saat orang lain kekurangan makanan, kita tersandar kekenyangan. Ketika orang lain berjuang menentang penderitaan penyakit yang dihidapi, kita masih mampu tersenyum menikmati kesihatan hidup. Ketika insan lain bergelut dengan kemiskinan kita masih mampu mengumpul harta kekayaan.

Andainya ditakdirkan kita kehilangan orang yang tersayang, bersyukurlah kerana ada orang lain yang hidup berseorangan. Sekiranya kita hidup sederhana tanpa kemewahan, bersyukurlah kerana ada insan lain yang hidup bertemankan penderitaan. Andainya kita gagal mencipta kecemerlangan, bersyukurlah kerana ada orang lain yang gagal mengatasi kegagalan.


Ketika orang lain berduka kehilangan pekerjaan , kita masih terus. bekerja tanpa kebimbangan. Ketika orang lain kekurangan pendapatan kita terus diberi peningkatan pendapatan. Pada saat insan lain bergelut kehilangan pangkat dan kenaikan, kita pula bergelut berjuang dalam PTK .


Bersyukurlah kita. Seandainya kita serba kekurangan, ingatlah ada insan lain yang tiada apa-apa. Andainya kita tidak mempunyai kasut, janganlah bersedih dan kecewa kerana ada insan lain yang tidak mempunyai kaki... Justeru itu, bersyukurlah kita kepada Allah yang terus memberi rahmatNya kepada kita. Buktikanlah kesyukuran kita dengan menjalankan tugas dan amanah sebaik mungkin. Berusahalah untuk peningkatan kehidupan ini.

Isnin, Mac 09, 2009

TUN TEJA DAN SULTAN ALI: MUHASABAH DIRI





Tun Teja Grave)



Memandu dari Melaka ke Muar, kerap kali deria pandangan ini tertarik kepada papan tanda makam Tun Teja dan Sultan Ali yang disemadikan di luar kota bersejarah. Ini membuka pemikiran tentang untung nasib kita dalam hidup ini dan sekaligus mengimbau sejarah destini kedua-dua orang tokoh ini.Dalam melayari hidup ini kita tidak tahu untung nasib kita. Kita tidak tahu jodoh pertemuan dan ajal maut. Mungkin hari ini kita hartawan berharta, esok lusa manakan tahu kita menjadi insan biasa yang papa. Hari ini mungkin kita ilmuan berjaya, tetapi siapa tahu esok lusa menjadi jahil pada hujung usia. Mungkin hari ini kita tinggi ketakwaan dan keimanan, tiba-tiba menjadi mungkar menjelang detik kematian. Mungkin hari ini kita punya tanah kediaman, esok lusa tercampak menjadi marhaen jalanan. Mungkin hari ini kita pemimpin digeruni esok lusa bersendiri tanpa ditemani. Mungkin hari ini kita bangsawan ternama tetapi esok lusa disingkir tanpa bernama.



Inilah mungkin untung nasib yang ditakdirkan buat Tun Teja dan Sultan Ali. Tun Teja puteri jelita dari Pahang dilarikan daripada ayahanda dan bonda kesayangan, dipisahkan daripada tunangan tercinta Megat Panji Alam oleh janji manis dan serapah Hang Tuah Lima Bersaudara. Setelah hati dan perasaannya mabuk kepada Si Tuah, janji manis dinoda. Tun Teja diserah untuk diperisteri oleh sultan Melaka. Kasihan Tun Teja kasihnya ditukar ganti tanpa rela. Akhirnya mati jauh dari ayah dan bonda tercinta. Dimakamkan di Merlimau jauh dari Kota Melaka malah jauh dari negeri kelahiran tercinta.


Sultan Ali, pemerintah Muar Kesang, keturunan bangsawan Johor. Hilang takhta dan wilayah kekuasaan. Disingkir dan dihina dengan pelbagai kekurangan serta kelemahan. Akhirnya dimakamkan di Umbai. Jauh dari tanah kelahiran dan kawasan pemerintahan.


Inilah takdir ke atas kedua-dua tokoh bangsawan ini. Kehidupan mereka penuh cabaran dan kematian mereka jauh dari kerabat dan dimakam di luar tanah kelahiran. Kebangsawanan mereka tidak menjamin apa yang ingin mereka miliki. Kita bagaimana?

Ahad, Mac 01, 2009

Ceritera Air Mata

Air mata mengalir dalam pelbagai situasi tanpa diundang. Dalam tawa kegembiraan, ada masanya kita mengalirkan air mata. Apabila ditimpa kesedihan dan kedukaan, linangan air mata adalah suatu kepastian mengiringi sebuah tangisan. Malah ada detiknya air mata membasahi pipi tanpa kawalan. Air mata mengalir tanpa mengira gender, etnik dan darjat keturunan. Air mata mengalir melepasi batasan keimanan. Pemergian orang tersayang pasti mengundang linangan air mata setiap insan. Pemergian puteranya Ibrahim dan puteri baginda ditangisi oleh Rasulullah. Kewafatan Rasulullah ditangisi oleh Abu bakar As- Siddiq. Air mata belas kasihan sering mengiringi setiap pemergian.
Linangan air mata simbol kepelbagaian keadaan dan 'tujuan'. Linangan air mata mengiringi kegembiraan. Linangan air mata tanda kesedihan dan kedukaan. Linangan air mata lambang simpati dan belas kasihan. Titisan air mata tanda kebimbangan dan ketakutan. Ada ketikanya linangan air mata adalah sandiwara hipokrasi dan kepalsuan. Linangan air mata juga merupakan manifestasi penyesalan di atas kesalahan atau kealpaan yang dilakukan terutama ketika proses memuhasabah diri setiap insan. Linangan air mata juga sebahagian daripada ketulusan dan keluhuran taubat yang dipohonkan.
Air mata yang mengalir atas apa sebab atau alasan sekali pun menuntut perubahan diri. Apalah ertinya kita meratap hiba, menangis duka membengkak mata atau meraung bagaikan dirasuk histeria, jika kita tidak berubah ke arah kebaikan. Jika air mata itu air mata belas kasihan maka kita perlu membuktikan belas kasihan itu dengan pertolongan dan bantuan kepada orang yang kita kasihani itu. Jika linangan air mata itu menifestasi penyesalan atas kesalahan dan kesilapan, maka kita perlu memperbaiki diri dan bertaubat di atas kesalahan itu. Jika linangan air mata itu kerana kesedihan di atas pemergian orang yang kita sayangi, maka marilah kita membuktikan kasih sayang itu dengan mendoakan simati dan berbuat amal untuknya.
Namun sekiranya, linangan air mata sekadar wahana sandiwara hipokrasi dan kepalsuan maka berhentilah kita menangis. Kerana tangisan dan linangan air mata ini tidak memunafaatkan umat dan diri kita. Umpama anak-anak yang mengikuti program bina insan, yang meratap dan berhiba mengenang kesilapan diri, meraung menyedari dosa yang ada dan merintih nasib ayah dan ibu mereka tetapi kemudiannya tidak berubah menjadi anak yang baik, ini contoh tangisan hipokrasi yang sia-sia.
Apalah erti air mata jika ianya sia-sia dan menambah dosa.